Kapal Malaysia Belayar Bawa Bantuan Rohingya di Myanmar, Bangladesh

Hata Wahari
2017.02.03
Port Klang, Selangor
170203-MY-BD-Flotila620.jpg Kapal sarat dengan bekalan makanan dan perubatan bagi umat Islam Rohingya di Myanmar dan Bangladesh meninggalkan Boustead Cruise Center, Port Klang, 3 Feb, 2017.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Sebuah kapal Malaysia yang membawa bekalan untuk etnik Rohingya, yang terperangkap di dalam keganasan di Myanmar, belayar pada Jumaat ke Yangon dan Teknaf, Bangladesh.

Nautical Aliya, yang membawa 2,200 tan makanan dan bekalan perubatan, belayar sekitar pukul 4 petang selepas majlis pelancarannya yang berlangsung di Port Klang, kira-kira 44 km dari Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebuah parti pembangkang, Tuan Ibrahim Tuan Man menyaksikan kapal berkenaan meninggalkan pelabuhan. Najib juga memuji misi tersebut dan menganggapnya sebagai simbol "perpaduan ummah".

Kapal tersebut dijadual tiba di Pelabuhan Yangon pada Selasa dan kemudiannya akan berlayar ke Bangladesh. Ia membawa bekalan makanan bernilai RM3.3 juta (AS$745,000), bekalan keperluan harian bernilai RM1.6 juta (AS$361,000) dan barangan pakaian bernilai RM500, 000 (AS$113,000).

Nautical Aliya juga membawa 230 sukarelawan termasuk doktor, dari beberapa NGO tempatan dan antarabangsa – termasuk dari Turki, Indonesia, China, Amerika Syarikat, Perancis, Thailand dan wilayah Palestin.

Bangladesh tukar fikiran

Rancangan perjalanan kedua itu, tergendala seketika apabila Menteri Luar Anifah Aman pada Jumaat mengumumkan bahawa Bangladesh tidak membenarkan kapal itu berlabuh di Teknaf dan beberapa jam kemudian, Kementerian Luar mengumumkan bahawa Dhaka telah menyatakan kesediaan untuk menerima kapal itu berlabuh yang dijadualkan tiba pada 10 Februari.

"Perkara ini berjaya diselesaikan kerana perhubungan baik di antara Malaysia dan Bangladesh. Kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Bangladesh kerana kesediaannya untuk membenarkan konvoi makanan demi bantuan kemanusiaan untuk pelarian Rohingya yang berada di sekitar pelabuhan Teknaf, " kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan lewat malam Jumaat.

Pada mulanya kapal berkenaan yang dijadualkan belayar pada 10 Jan, tertangguh sebelum mendapatkan pelepasan diplomatik, berikutan amaran jurucakap pejabat Presiden Myanmar  Zaw Htay yang berkata bahawa misi itu boleh dihentikan atau diserang oleh pasukan keselamatan negara berkenaan jika kelulusan tidak diperolehi.

Permohonan Malaysia untuk menghantar bantuan ke wilayah Sittwe dan kawasan sekitar di mana ramai Rohingya menetap, bagaimanapun telah ditolak oleh kerajaan Myanmar. Kebenaran untuk menghantar bekalan itu hanya diberikan sehingga Pelabuhan Yangon sahaja.


Perdana Menteri Malaysia Najib Razak diberi taklimat tentang sistem operasi Nautical Aliya, 3 Feb, 2017. [HataWahari/BeritaBenar]



‘Semangat kemanusiaan’

Selepas majlis di pelabuhan, Najib mengutuk keganasan terhadap etnik Rohingya, yang telah dilucutkan hak asasi kemanusiaan di Myanmar, dengan dikenakan tindakan kejam oleh tentera di negeri barat Rakhine berikutan pembunuhan sembilan orang polis oleh militan Rohingya pada Oktober lepas.

"Atas semangat kemanusiaan dan persaudaraan di kalangan umat Islam, Malaysia (kami) tidak rela melihat saudara dari etnik Rohingya yang mempunyai kepercayaan agama yang sama terus dizalimi, dibunuh, dibakar dan dirogol," katanya. Kerajaan di Naypyidaw telah menafikan tuduhan itu.

“Ini tidak akan menjejaskan hubungan kita dengan Myanmar. Ini adalah satu bantuan, sumbangan dan satu harapan. Kami bertindak sebagai kerajaan yang prihatin, atas semangat dan prinsip kemanusiaan," katanya mengenai penghantaran bantuan itu.

Najib berkata, Malaysia telah melakukan segalanya untuk etnik Rohingya dengan menganjurkan perhimpunan perpaduan, menekan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk membincangkan krisis berkenaan, dan menjadi tuan rumah pada mesyuarat luar biasa Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini.

Hampir 90 orang terbunuh dalam keganasan di Rakhine, manakala seramai 66,000 Rohingya lagi telah melarikan diri ke Bangladesh, menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB]. Pelarian baru merupakan tambahan kepada sekurang-kurangnya  300,000 Rohingya yang sudah berada di pusat perlindungan di daerah tenggara Bazar Cox.

Bangladesh enggan memberi status pelarian kepada kaum Rohingya kerana ia menganggap mereka warga Myanmar. Myanmar pula, menganggap mereka yang kembali ke negara itu sebagai pendatang haram dari Bangladesh, dan menafikan kerakyatan kepada mereka dan tidak memberikan sebarang perkhidmatan asas sejak beberapa dekad lalu.

Lebih 90,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia. Daripada jumlah itu, 56,000 telah menerima kad status pelarian dari Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian [UNHCR] di Kuala Lumpur.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.