Malaysia Tamatkan Perlumbaan Formula 1: Perdana Menteri

Fadzil Aziz
2017.04.07
Kuala Lumpur
170407-my-formula1-620.jpg FIA Formula One World Championship 2015, Grand Prix of Malaysia yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, 29 Mac 2015.
AFP

Selepas 19 tahun menjadi tuan rumah untuk sukan permotoran berprestij dunia, Malaysia akhirnya memutuskan untuk menamatkan penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) di Sepang berikutan  kos penganjuran terlalu tinggi sehingga mencecah RM300 juta (AS$67.7 juta) setahun.

Perlumbaan F1 2017 di Litar Antarabangsa Sepang pada 29 September hingga 1 Oktober depan akan menjadi perlumbaan terakhir dianjurkan oleh Malaysia.

Perdana Menteri Najib Razak semasa mengumumkan keputusan itu berkata, Kabinet Malaysia telah memutuskan untuk menamatkan kontrak penganjuran perlumbaan F1 mulai tahun depan berikutan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara itu.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira laporan dan pandangan daripada Sepang International Circuit (SIC) mengenai impak kewangan acara F1 ini kepada semua pihak yang  berkepentingan,” kata Perdana Menteri itu yang membuat pengumuman tersebut menerusi laman webnya najibrazak.com pada Jumaat.

Beliau berkata, penamatan penganjuran itu akan membolehkan kerajaan meningkatkan pembiayaan dalam sukan permotoran bagi pembangunan bakat, infrastruktur, pemindahan kemahiran dan pengetahuan.

“Kerajaan juga akan menggunakan peruntukan yang ada bagi kegunaan perlumbaan lain seperti MotoGP dan Go-kart, membina litar perlumbaan khas di Sungai Petani, menaik taraf kemudahan di SIC di samping membantu pemandu profesional negara menjadi pemandu F1,” tambah beliau lagi.

Beliau turut memberitahu bahawa pada peringkat awal penganjurannya, F1 telah mempromosikan negara sebagai destinasi bagi acara sukan bertaraf dunia, selain mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong global.

“Namun begitu, sudah sampai masanya Kerajaan menilai penganjuran kejohanan F1 ini dengan mengambil kira perubahan yang berlaku sejak kita menganjurkan perlumbaan ini pada tahun 1999,” tambah beliau.

Kali pertama Malaysia menyertai kalendar F1 adalah pada tahun 1999 dan merupakan tuan rumah kedua yang menganjurkannya di Asia selepas Jepun.

Najib bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kos yang diperlukan untuk menganjurkan perlumbaan itu, hanya berkata ia menanggung kos penganjuran yang sangat tinggi.

“Namun begitu, pulangan daripada menganjurkan kejohanan ini semakin berkurangan dari segi penonton, pengunjung dan jumlah kedatangan pelancong asing semasa perlumbaan berlangsung sejak beberapa tahun yang lalu,” katanya lagi

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohd Nazri Aziz memberitahu kos menanggung perbelanjaan sukan itu membabitkan RM300 juta setiap tahun.

“Penganjuran F1 terlalu mahal untuk diteruskan dan sambutan daripada peminat sukan permotoran ini semakin hari semakin berkurangan,” kata dalam laporan media Nov lepas.

Najib menambah, syarikat minyak negara Petronas akan terus menaja Pasukan Mercedes AMG Petronas dalam perlumbaan F1 sebagai strategi pemasaran syarikat berkenaan.

Legasi Mahathir


Penganjuran F1 yang pertama, 19 tahun lepas telah disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang kini menjadi musuh politik Najib.

Litar tersebut yang bernilai RM286 juta masih dilihat sebagai salah satu daripada projek mega bekas Perdana Menteri itu dan pemberhentian itu dianggap sesetengah pihak sebagai usaha untuk menghapuskan satu lagi legasi Mahathir.

Laporan awal yang dikeluarkan mengenai perlumbaan Formula 1 Malaysia yang lepas, mendapati jumlah penonton yang menyaksikan perlumbaan itu pada tahap yang terendah dalam sejarah.

Dalam pada itu, menurut kenyataan media F1, keputusan pengunduran Malaysia dibuat oleh badan permotoran di negara berkenaan dan juga,  Sepang International Circuit (SIC).

Sementara itu, Pengarah Urusan Komersil F1 Sean Bratches sedih dengan keputusan pengunduran Malaysia sebagai  tuan rumah sukan berprestij itu.

“Amat menyedihkan apabila perlu mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga Formula 1 Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sambil menambah hampir dua dekad peminat Formula 1 Malaysia telah membuktikan yang mereka adalah antara peminat sukan paling mengujakan.

“Seperti yang diumumkan di Melbourne, kami mempunyai perancangan besar untuk membawa peminat global kami dengan lebih dekat kepada sukan itu, " tambah Sean.

Sementara itu, SIC turut menjelaskan, keputusan menghentikan acara berprestij itu amat sukar namun ianya sememangnya perlu dilakukan selepas penilaian terperinci dibuat terutamanya dari sudut ekonomi yang membabitkan kos penganjuran dan pulangan.

“Meskipun demikian, SIC tetap mengumumkan perancangan terkini selepas perlumbaan F1 2017 sah merupakan perlumbaan terakhir selepas 19 tahun penganjuran di Litar Antarabangsa Sepang,” kata SIC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Pada Oktober tahun lepas, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah dilaporkan sebagai berkata, penganjuran Formula 1 Malaysia berkemungkinan dihentikan seketika berikutan faktor kos yang tinggi, dan tidak memberikan pulangan yang memberangsangkan kepada negara.

“Penganjuran F-One ketika ini langsung tidak melibatkan pemandu negara, sekaligus tiada peluang kepada mekanik negara untuk turut serta berikutan ketiadaan tajaan. Situasi kini juga berbeza berbanding ketika F1 mula dibawa masuk,” katanya seperti di laporkan media tempatan.

Najib juga berkata, ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 1999 hanya 16 buah negara menjadi tuan rumah kepada perlumbaan berprestij itu termasuk dua negara Asia.

“...tetapi ianya kini telah meningkat kepada 21 buah negara dengan 6 negara Asia, sekaligus mengakibatkan penurunan pulangan kepada penganjur dan negara,” katanya.

“Kerajaan juga akan menggunakan peruntukan yang ada bagi kegunaan perlumbaan lain seperti MotoGP dan Go-kart, membina litar perlumbaan khas di Sungai Petani, menaikkan taraf kemudahan di SIC di samping membantu pemandu profesional negara menjadi pemandu F1, ” kata Najib.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.