Malaysia, Thailand Kukuh Kerjasama Selesai Jenayah Transnasional Libat Dwi Kerakyataan

Wilawan Watcharasakwet
2018.11.14
Bangkok, Thailand
181114-TH-MY-police-1000.jpg Ketua Polis Malaysia Mohamad Fuzi Harun berbincang sesuatu dengan rakan sejawatnya dari Thailand Jen Chakthip Chaijinda semasa pertemuan di Bangkok, Thailand, 14 November, 2018.
[Wilawan Watcharasakwet/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia dan Thailand mahu mengukuhkan kerjasama dalam menyelesaikan jenayah transnasional yang melibatkan mereka yang memiliki dwi kerakyataan dan telah melakukan jenayah di negara sendiri dan kemudian melarikan diri ke negara jiran untuk bersembunyi.

Dalam pertemuan antara Ketua Polis Malaysia Mohamad Fuzi Harun dan Thailand Jen. Chakthip Chaijinda di Bangkok, kedua-duanya bersepakat mahu mereka yang mempunyai dwi kerakyatan Malaysia dan Thailand memilih hanya satu kerakyatan sahaja.

“Kita [Malaysia dan Thailand] perlu bertegas dalam isu ini. Kami akan meminta mereka untuk memilih kerakyataan mana yang mereka hendak pegang, sama ada mereka menggugurkan kerakyataan Malaysia atau Thailand.  Kemudiaannya mereka akan dihantar ke negara yang mereka telah pilih [keraykataan] untuk didakwa atas jenayah yang dilakukan.

“Kami berharap dapat menyelesaikan permasalahan ini bersama dalam beberapa bulan akan datang, dan kerjasama ini akan diteruskan agar mereka yang melakukan jenayah dapat diadili” kata Ketua Polis Malaysia itu.

Fuzi bagaimanapun mengakui masalah penjenayah yang memiliki dwi kerakyataan itu merupakan satu masalah besar kepada kedua-dua negara dan perlu diselesaikan segera.

Katanya satu pendekataan baru akan dibuat dalam menguruskan isu dwi kerakyatan melibatkan mereka yang dipercayai melakukan jenayah samada di Malaysia atau Thailand.

Ketua Polis itu juga menambah bahawa, pihak berkuasa Malaysia telah mengenalpasti mereka yang dipercayai melakukan jenayah di dalam negara dan kini bersembunyi di negara jiran dan telah meminta pihak berkuasa Thailand untuk membantu mengesan dan menghantar mereka pulang ke Malaysia untuk tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Thailand berkata Thailand mendapat kerjasama baik dari Malaysia dalam membantu menyelesaikan masalah jenayah transnasional melibatkan penjenayah yang memiliki dwi kerakyataan itu.

“Sebagai contoh, di Thailand, namanya ialah Somchai tetapi menggunakan nama lain di Malaysia, dan itu menyukarkan pihak berkuasa Malaysia untuk membantu mengesan dan menghantar mereka pulang tetapi kami tegas dalam mencari jalan penyelesaian terhadap semua masalah yang dihadapi,” kata Chaktip.

Ketua Polis kedua-dua negara itu bertemu pada Mesyuarat ke-25 jawatankuasa bersama Malaysia -Thailand mengenai aktiviti jenayah dungeon turut menandatangani beberapa perjanjian kerjasama dalam meningkatkan rondaan dan pemeriksaan keselamatan di sempadan kedua-dua negara dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan dan transnasional.

Kedua-dua ketua polis negara itu juga berbincang mengenai keganasan di selatan Thailand, penyeludupan senjata, pemerdagangan manusia dan militan Negara Islam [IS].

"Mengenai IS, Thailand sentiasa mengambil pendekataan menghalangnya sepanjang masa dan kami percaya anggota IS yang cuba masuk ke Thailand tidak ramai dan menggunakan Thailand sebagai transit atau untuk mendapatkan perlindungan sementara, dan tidak semestinya IS wujud di Thailand. Kami telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu [IS] sejak dahulu lagi tetapi menegaskan bahawa (keganasan di selatan) adalah urusan domestik, jenayah di negara ini [Thailand] hanyalah pemberontakan dan tiada kaitan dengan IS. " kata Chakthip kepada media.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.