Malaysia Tahan 9 Individu Dikaitkan Dengan Kumpulan Pengganas Afrika

Ray Sherman
2019.03.10
Kuala Lumpur, Malaysia
190310-MY-fuzi-620.jpg Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mendengar soalan yang dikemukakan pada sidang berita di Kuala Lumpur, 22 April 2018.
[AFP]

Ketua Polis Malaysia pada Ahad mengumumkan mengenai penangkapan sembilan suspek yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas berpangkalan di Afrika, termasuk lima orang dipercayai ahli Ikhwanul Muslimin Mesir, yang merancang untuk melancarkan serangan besar-besaran di beberapa negara.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun, dalam kenyataannya berkata dua rakyat Malaysia, enam warganegara Mesir dan seorang rakyat Tunisia itu ditangkap antara 2 dan 9 Feb lalu di Lembah Klang dan Sarawak di Malaysia Timur. Kesemua rakyat Mesir dan Tunisia itu telah diusir ke negara asal mereka.

Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat penangkapan itu selepas menerima maklumat daripada beberapa agensi perisikan asing bahawa beberapa pejuang pengganas sedang merancang untuk melakukan serangan. Suspek berkenaan digambarkan sebagai ahli Ansar-al Sharia di Tunisia, yang beroperasi di Afrika Utara dan diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berikutan gabungannya dengan Al-Qaeda, kata Fuzi.

"Lima suspek warganegara Mesir yang ditahan mengaku ahli Ikhwanul Muslimin dan telah menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan, pekerjaan dan membantu membeli tiket penerbangan untuk dua  ahli (rakyat Mesir dan Tunisia lain) kumpulan Ansar-al Sharia," kata Fuzi.

"Operasi ini adalah susulan kepada operasi Bahagian Counter Terrorism yang dijalankan pada April dan November tahun lepas di mana dua ahli Ikhwanul Muslimin Mesir telah ditangkap dan dihantar pulang kerana penglibatan mereka dalam kumpulan pengganas Negara Islam (IS) dan al-Qaeda," kata beliau.

Fuzi berkata operasi itu dimulakan di Sarawak pada 2 Feb lalu dengan penahanan seorang lelaki Mesir serta seorang lelaki dan seorang wanita Malaysia.

"Ketiga-tiga individu itu, yang berusia antara 20 dan 54 tahun, ditahan kerana menyembunyikan maklumat mengenai kehadiran ahli Ansar al-Sharia yang sedang transit di Malaysia dengan menyediakan tempat perlindungan bagi mereka serta bertindak sebagai fasilitator dalam menyediakan tempat tinggal, pekerjaan dan tiket penerbangan," jelasnya.

Pada hari yang sama, kata Fuzi, seorang lelaki Mesir berusia 42 tahun yang bekerja sebagai tenaga pengajar sebuah sekolah agama ditangkap di Kuala Lumpur. Suspek mengaku menganggotai Ikhwanul Muslimin dan menyediakan penginapan kepada dua ahli Ansar al-Sharia yang menyusup masuk ke Malaysia pada Oktober 2018.

Seorang warganegara Mesir berusia 24 tahun, yang merupakan penuntut di sebuah universiti di Lembah Klang, turut ditahan di Kuala Lumpur pada 2 Feb lalu. Lelaki itu, yang mengaku sebagai anggota Ikhwanul Muslimin, memberitahu bahawa dia telah membeli tiket penerbangan untuk dua ahli Ansar al-Sharia yang datang ke Malaysia pada Oktober 2018, kata Fuzi.

Seorang pelajar Mesir berusia 28 tahun yang bertindak sebagai fasilitator kepada anggota kumpulan Ansar al-Sharia dan membantu Essam Marzouk Al Hafez iaitu ahli al-Qaeda yang telah diusir ke negara asalnya, juga ditangkap pada 2 Feb di Selangor , kata ketua polis negara itu.

Dua hari kemudian, seorang rakyat Tunisia dan seorang warganegara Mesir, yang berusia 21 dan 22 tahun, pula ditahan di Kuala Lumpur. Mereka disyaki anggota kumpulan Ansar al-Sharia dan pernah ditangkap pada 2016 kerana cuba menyelinap masuk ke sebuah negara Afrika Tengah, kata Fuzi.

"Kedua-dua suspek memasuki Malaysia menggunakan pasport palsu Syria, dengan tujuan menggunakan Malaysia sebagai destinasi transit sebelum memasuki negara ketiga untuk melancarkan serangan," katanya.

Fuzi berkata seorang rakyat Malaysia berusia 50 tahun yang bertugas sebagai guru bahasa Arab telah ditangkap pada 9 Feb lalu di Selangor. Suspek itu disyaki menganggotai Ikhwanul Muslimin dan menyediakan tempat tinggal kepada dua ahli Ansar al-Sharia itu pada tahun lalu.

Pada Disember lalu, Fuzi mengumumkan bahawa polis telah menggagalkan rancangan IS untuk menyerang tempat-tempat ibadat di ibu negara Kuala Lumpur dengan penangkapan dua suspek. Kedua-duanya adalah antara tujuh suspek militan - lima rakyat Malaysia dan dua warganegara Filipina – yang ditahan dalam siri serbuan antara 19 hingga 28 Nov di negeri Kelantan, Selangor, Sabah dan Kedah.

Tempat selamat

Fuzi berkata para penyiasat yakin bahawa suspek asing yang ditangkap pada Februari lalu cuba menjadikan Malaysia sebagai destinasi transit dan pangkalan logistik yang selamat. Mereka dipercayai memasuki negara ini menggunakan dokumen sah dan palsu, dan dalam beberapa kes, mereka berkahwin dengan penduduk tempatan bagi mendapatkan visa pasangan dan mengeksploitasikan kemudahan pendidikan atau menjalankan perniagaan.

"Penyusupan masuk pejuang pengganas asing ke negara ini perlu diambil serius terutamanya selepas kekalahan Negara Islam di Syria dan Iraq," kata Fuzi. "Mereka boleh menggunakan negara ini sebagai pangkalan untuk menyerang negara lain atau melancarkan serangan di dalam negara."

“Memandangkan kehadiran warganegara asing ini boleh membahayakan keselamatan negara, semua suspek (asing itu) telah diusir ke negara asal mereka mengikut undang-undang imigresen, dan dicadangkan untuk disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia seumur hidup," kata Fuzi.

Penganalisis anti keganasan,  Ahmad el-Muhammady, memberitahu BeritaBenar bahawa penangkapan anggota Ikhwanul Muslimin itu mencerminkan kerjasama rapat antara agensi-agensi keselamatan Malaysia dan perkhidmatan perisikan asing.

"Kes ini boleh menghantar mesej kuat kepada kumpulan Ikhwanul Muslimin yang radikal bahawa Malaysia bukanlah tempat selamat untuk mereka beroperasi dengan bebas," kata Ahmad yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sementara itu, pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya, sebelum ini berkata bahawa suspek yang ditangkap itu boleh dipancung oleh rejim tentera di Mesir.

Dalam siri catatan Twitter pada Khamis, beliau berkata suspek adalah anggota kepada bekas presiden Mesir yang dipenjarakan, Mohamed Morsi, dan berdepan dengan tindakan penindasan berikutan kepercayaan politik mereka.


Zam Yusa di Kota Kinabalu, Sabah, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.