Polis Malaysia Tahan Suspek Rancang Serangan Keganasan
2018.12.10
Kuala Lumpur, Malaysia

Polis Malaysia pada Isnin berkata ia telah menggagalkan rancangan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) untuk menyerang rumah ibadat di ibu negara Kuala Lumpur dengan penangkapan dua suspek pada bulan lalu.
Mereka adalah antara tujuh anggota kumpulan militan yang ditahan dalam beberapa operasi pada 19 hingga 28 Nov di negeri-negeri Kelantan, Selangor, Sabah dan Kedah.
Turut ditahan adalah suspek kumpulan militan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Filipina.
“Secara keseluruhannya, polis menahan lima rakyat Malaysia dan dua rakyat Filipina,” kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
Beliau berkata, seorang daripada dua suspek yang ditangkap di Kelantan telah berhubung dengan Akel Zainal, seorang rakyat Malaysia yang menyertai perjuangan IS di Syria.
"Lelaki berusia 28 tahun itu yang bekerja sebagai penjual madu ditahan di Kelantan pada 19 Nov. Dia menerima arahan daripada Akel supaya melancarkan serangan di Malaysia," kata Mohamad Fuzi dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Seorang lagi suspek iaitu tenaga pengajar sekolah memandu, yang berusia 35 tahun, juga menerima arahan daripada Akel, kata Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua cawangan khas anti pengganas Polis DiRaja Malaysia, sambil memberitahu bahawa kedua-dua lelaki itu merancang untuk melakukan serangan berkenaan awal tahun depan.
"Mereka merancang untuk melancarkan serangan di rumah-rumah ibadat di sekitar Kuala Lumpur dan balai polis di Kelantan. Sasaran mereka tidak diketahui kerana ia masih dalam peringkat merancang," kata Ayob kepada BeritaBenar.
"Januari bakal menjelang dan kami tidak mahu mengambil sebarang risiko, jadi kami menahan mereka sebagai langkah proaktif. Kami enggan mengambil sebarang risiko," kata Ayob.
Siasatan awal menunjukkan bahawa kedua-dua suspek itu berhubung dengan Akel sejak awal tahun ini, katanya.
Mereka lewat dikesan kerana Akel didapati mengguna pakai kaedah sama yang digunakan oleh seorang lagi pengganas Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, untuk merekrut anggota baru sebelum dia terbunuh di Syria tahun lepas. Pada Oktober lalu, Ayob memberitahu wartawan bahawa Akel mengambil alih kepemimpinan dalam usaha merekrut rakyat Malaysia untuk ke Syria berikutan kematian Wanndy di Raqqa pada April 2017.
Akel mengguna pakai kaedah Wanndy dalam merekrut individu yang akan menjalankan tugas tertentu dan hanya berkomunikasi dengan ketua yang ditugaskan melakukan serangan, kata penyiasat itu.
"Seorang akan ditugaskan untuk melakukan hanya satu perkara…ia adalah kaedah untuk memastikan bahawa mereka tidak mengetahui identiti masing-masing. Kami mengambil masa untuk menghubungkaitkan siasatan kami. Dan ia adalah cara untuk melambatkan siasatan kami," jelas Ayob.
Wanndy telah menggunakan kaedah itu dalam mengatur serangan di Malaysia pada 2016 di mana sebutir bom tangan meletus di sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur yang mencederakan lapan orang, kata pegawai polis.
Penangkapan lain
Polis juga menahan seorang jurutera petroleum Malaysia berusia 52 tahun yang ditahan pada 20 Nov kerana didakwa menyalurkan RM14,000 (AS$3,350) kepada Wanndy antara 2016 dan 2017 bagi membiayai aktiviti keganasan.
Selain itu, seorang pemandu van berusia 26 tahun ditahan di Kedah kerana didakwa memberi dana kepada rangkaian pengganas pro-IS iaitu Jamaah Ansharut Daulah (JAD), yang dikaitkan dengan serangan ke atas sebuah balai polis di Jawa Tengah pada April 2017. JAD juga dipersalahkan oleh polis Indonesia terhadap pengeboman bunuh diri di kota Surabaya pada Mei 2018, di mana tiga gereja diserang oleh sebuah keluarga Muslim yang radikal.
Polis juga menahan seorang pekebun warga Filipina berusia 45 tahun, yang dipercayai seorang daripada anggota kumpulan Abu Sayyaf, di Sabah pada 21 Nov lalu.
Pada 28 Nov pula, polis menahan seorang lagi rakyat Filipina berusia 48 tahun di Tenom dan isterinya, yang merupakan rakyat Malaysia, kerana bersubahat dan tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai mengenai kehadiran anggota Abu Sayyaf di negeri itu.
Fuzi berkata, kesemua suspek sedang disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas).
Sejak Januari lalu, polis di Malaysia telah menahan 452 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan.