Polis Malaysia Tahan Lapan Suspek Anggotai Sel Pengganas Salafi Jihadi
2018.10.06
Kuala Lumpur, Malaysia

Tujuh warganegara asing adalah antara lapan lelaki yang ditangkap pihak berkuasa Malaysia kerana disyaki terlibat dalam usaha merekrut ahli di Asia Tenggara oleh sebuah rangkaian pengganas yang dikaitkan dengan kumpulan ektremis Salafi Jihadi yang berpangkalan di Yaman, demikian diumumkan ketua polis Malaysia pada Sabtu.
Tangkapan itu dilakukan dalam serbuan bersepadu di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor pada 24 September, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan. Enam rakyat asing itu pernah menjadi penuntut di sebuah pusat pengajian Islam yang terletak di negeri utara Perlis, kata Fuzi.
Tangkapan oleh polis anti-pengganas itu dibuat "susulan maklumat risikan diperoleh pihak polis berhubung usaha sebuah kumpulan pengganas yang berpegang kepada ideologi Salafi Jihadi di Yaman untuk menubuhkan pusat pengajian Islam di Asia Tenggara bagi menyebarkan fahaman itu," kata Fuzi.
Lima daripada suspek itu berasal dari negara Eropah yang sama manakala suspek keenam adalah warganegara di Amerika. Beliau tidak mengulas lanjut tetapi berkata, lapan suspek itu berusia antara 24 hingga 38 tahun dan sebahagian besar daripada mereka, berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh risikan asing, dikaitkan dengan organisasi yang dikenali sebagai Negara Islam (IS) atau kumpulan ekstremis lain yang bergerak di negara asal mereka.
Seorang bekas pelajar dan seorang bekas tenaga pengajar pusat pengajian itu adalah antara mereka yang ditangkap polis, kata Fuzi. Beliau tidak mendedahkan nama sekolah tersebut. Bekas tenaga pengajar itu yang berusia 33 tahun dan berasal dari Timur Tengah ditangkap di Kuala Lumpur dan diketahui menganjurkan kelas agama tanpa tauliah di ibu negara Malaysia itu bagi menyebarkan ideologi Salafi Jihadi, kata ketua polis itu.
Kesemua lapan suspek itu dikaitkan dengan sebuah madrasah atau pusat pengajian Islam di Yaman, yang diasaskan oleh tokoh pergerakan Jihad Salafi, allahyarham Muqbil bin Hadi al-Wadi'i, kata Fuzi.
"Madrasah di Yaman itu berpegang kuat dengan ideologi Salafi Jihadi yang menghalalkan pembunuhan orang bukan Islam dan orang Islam yang tidak sealiran dengan mereka," kata Fuzi.
“Mereka juga melabelkan sistem demokrasi sebagai toghut (tidak mengikut hukum Allah).”
Kesemua lapan lelaki itu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan yang berkaitan dengan keganasan dan sedang disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA), kata Fuzi. Mereka belum dihadapkan ke mahkamah.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu BeritaBenar bahawa pusat pengajian itu yang terletak di Perlis, yang mempunyai kaitan dengan kebanyakan suspek tersebut, telah beroperasi sejak 2011. Namun, beliau enggan mendedahkan nama pusat pengajian itu.
Perlis dikatakan mengizinkan aliran Salafi atau Wahhabi, yang dibawa masuk ke negara-negara Islam di Asia Tenggara oleh kebanyakannya Sunni Arab Saudi. Ajaran Salafi Jihadi adalah pergerakan kebangkitan semula Islam yang mahu membawa umat Islam kembali kepada ajaran seperti yang diamalkan semasa zaman Nabi Muhammad SAW.
Dalam reaksinya kepada pengumuman Fuzi mengenai penangkapan itu, Mufti Perlis Asri Zainal Abidin berkata, negeri itu bukanlah ‘pusat ajaran radikal’, katanya seperti yang dilaporkan agensi berita nasional, Bernama.
Beliau berkata, pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di pusat-pusat pengajian agama di Perlis serta tenaga pengajar yang ingin bekerja di negeri utara itu, perlulah melalui tapisan keselamatan oleh polis sebagai langkah-langkah keselamatan.
"Saya selalu bertanya kepada ketua polis negeri mengenai pelajar-pelajar di pusat-pusat pembelajaran ini, terutama orang asing," kata Bernama. "Hanya dengan pengesahan polis kami akan membenarkan mereka (untuk melanjutkan pengajian di pusat-pusat pengajian agama)."
“Saya kerap bertanya kepada ketua polis mengenai pelajar di pusat-pelajar pengajian ini khususnya dari negara asing,” katanya kepada Bernama. ”Setelah polis mengesahkan, barulah kita benarkan (mereka melanjutkan pengajian di pusat-pusat pengajian agama itu).”
Awal bulan lalu, polis Malaysia berkata, mereka telah menahan lima suspek yang didakwa terlibat dalam rancangan keganasan yang menyasarkan negara di Timur Tengah. Semasa beliau mengumumkan mengenai penangkapan tersebut ketika itu, Fuzi tidak menyatakan negara berkenaan tetapi berkata bahawa lima suspek itu dipercayai ahli kumpulan ekstremis yang dikenali sebagai Asoib.
Sumber kerajaan memberitahu BeritaBenar bahawa suspek tersebut merancang untuk melakukan perjalanan ke Yaman bagi melaksanakan serangan di negara jiran berjiran Arab Saudi.
"Yaman merupakan sarang al-Qaeda, seperti di negara-negara lain di Timur Tengah. Sesetengah kumpulan yang menganjurkan ideologi Salafi Jihadi turut menubuhkan madrasah di sana," kata Ahmad El Muhammady, seorang pakar mengenai menangani keganasan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BeritaBenar.
Menurutnya, kumpulan sedemikian mengambil kesempatan daripada minat kalangan rakyat Malaysia yang mengikuti pengajian Islam dengan membawa masuk ajaran yang berasaskan dari Yaman ke negara itu.
"Malangnya, kandungan ajaran itu adalah mengenai Salafi Jihadi," kata El Muhammady.