Asia Sambut Baik Jawapan G7 Mengenai Program Pembangunan Infrastruktur China

Namun, Kerjasama Bina Semula Dunia Lebih Baik yang diterajui Amerika Syarikat perlu menyaingi usaha Beijing dalam membina Laluan Sutera moden, kata pemerhati.
Staf BenarNews
2021.06.22
Bangkok, Dhaka, Jakarta
Asia Sambut Baik Jawapan G7 Mengenai Program Pembangunan Infrastruktur China Presiden Amerika Syarikat Joe Biden bercakap pada sidang media selepas berakhirnya sidang kemuncak G7, di Lapangan Terbang Cornwall Newquay, England, 13 Jun 2021.
[Reuters]

KEMASKINI pada 11.00 pagi waktu tempatan ETS - 2021-06-24

Bangladesh dan negara-negara di Asia Tenggara menyambut baik jawapan Kumpulan Tujuh (G7) berhubung inisiatif Satu Jalur Satu Laluan China (OBOR), dengan menyatakan bahawa ia akan menjadi satu lagi sumber untuk membiayai keperluan infrastruktur mereka yang semakin meningkat.

Namun, tanpa maklumat terperinci mengenai bila dan bagaimana pelaburan itu akan dilaksanakan, para penganalisis di rantau Asia menyatakan bahawa mereka perlu menunggu dan melihat sama ada Kerjasama Bina Semula Dunia Lebih Baik (B3W) yang diterajui Amerika Syarikat (AS) dapat menyaingi perancangan yang sudah dilaksanakan sejak lapan tahun lalu dengan ratusan bilion dolar telah dilaburkan oleh China bagi memulakan program pembangunan infrastruktur globalnya.

B3W, yang diumumkan awal bulan ini pada sidang kemuncak G7 di Cornwall, England, menjanjikan pelaburan infrastruktur yang mampan dan memacu nilai hingga "ratusan bilion dolar" di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana dalam beberapa tahun akan datang.

Program ini akan membantu memenuhi keperluan projek-projek bernilai AS$40 trilion di negara-negara membangun berkenaan, kata Presiden Joe Biden ketika beliau mengumumkan inisiatif baru itu.

B3W merupakan "peluang yang baik untuk kami," kata Menteri Perancangan Bangladesh Abdul Mannan kepada BenarNews minggu ini.

“Kami akan cuba memanfaatkan peluang bagi usaha pembangunan kami. Selain daripada sumber China, B3W akan membolehkan kami mencari dana untuk pembangunan infrastruktur di Bangladesh,” katanya.

Thailand juga "menyambut baik" inisiatif G7 dan percaya bahawa inisiatif itu dan OBOR yang diusahakan Beijing akan "saling memperkukuh," kata Thanee Sangrat, jurucakap Kementerian Luar Negeri kepada BenarNews.

"Kedua-dua insiatif ini bertujuan memperkukuhkan hubungan dan mewujudkan rantaian bekalan yang berdaya tahan di rantau kami," katanya.

Sementara itu, Filipina menyambut baik B3W "tetapi mahu melihat dan menerima manfaat itu sebelum mempercayainya," kata jurucakap presiden Harry Roque kepada BenarNews.

Indonesia, negara terbesar dan mempunyai penduduk paling ramai di Asia Tenggara, juga mahu melihat bagaimana pelaburan B3W dilaksanakan, kata Jodi Mahardi, jurucakap kementerian pelaburan.

“Kami menyambut baik inisiatif pembangunan B3W yang diusulkan oleh G-7, tetapi kami mahu melihat cara pelaksanaannya. Ada banyak inisiatif diterajui AS yang tidak direalisasikan,” kata Jodi kepada BenarNews.

"Skim ini haruslah fleksibel, yang berdasarkan keperluan negara-negara rakan kongsi dan bukannya berdasarkan apa yang dilihat oleh negara-negara Barat. Saya menggunakan perkataan 'rakan kongsi' kerana kami tidak mahukan hubungan di antara penyumbang dan penerima, kami mahu ia menjadi [kerjasama] yang saksama."

BenarNews menghubungi agensi pelaburan Malaysia, kementerian perdagangan dan menteri yang bertanggungjawab dalam bidang ekonomi untuk mendapatkan ulasan namun para pegawai berkenaan tidak membalas panggilan kami.

Ahli ekonomi dan penganalisis politik di negara-negara tersebut menyatakan bahawa pelaburan B3W akan menjadi sumber pembiayaan alternatif yang baik untuk projek infrastruktur.

Ahsan H. Mansur, ahli ekonomi dan pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Dasar di Dhaka, menggambarkan inisiatif baru G7 sebagai "peluang besar bagi kami, negara-negara membangun dan berpendapatan rendah."

"Ini kerana kami kini mempunyai pilihan alternatif untuk mendapatkan dana," katanya kepada BenarNews.

B3W masih belum diperincikan tetapi, pada dasarnya, adalah sumber pembiayaan yang baik untuk Indonesia, kata Fithra Faisal Hastiadi, pengarah eksekutif Next Policy, sebuah badan pemikir Indonesia.

"Saya rasa B3W akan menjadi alternatif yang baik untuk Indonesia sebagai negara berkecuali. Tetapi, saya rasa masalahnya ialah inisiatif ini masih belum diperincikan,” kata Fithra kepada BenarNews.

Walden Bello, pengerusi bersama Board of Focus on the Global South iaitu badan pemikir di Bangkok, sangat berterus terang. Beliau menganggap inisiatif G7 itu sebagai usaha "tindak balas semata-mata."

"[Dan] program tindak balas seperti ini dirancang secara tergesa-gesa dengan kurangnya pemikiran serius bagi tindakan lanjut," katanya.

Bagi Oh Ei Sun, pakar hubungan antarabangsa yang berpusat di Singapura, B3W akan membawa negara-negara di rantau itu "melayani kedua-dua pihak untuk melihat siapa yang mampu membuat tawaran yang lebih baik."

"Ini semua berkaitan dengan wang, janganlah kita membohongi diri sendiri," kata Oh kepada BenarNews.

OBOR, yang dilancarkan pada 2013, merupakan program geopolitik khas Presiden China Xi Jinping untuk membina Laluan Sutera moden melalui rangkaian pelabuhan, landasan kereta api, jalan raya dan laluan perdagangan yang menghubungkan China ke pasaran-pasaran di Asia Tenggara, Asia Selatan dan negara-negara lain.

OBOR dimulakan lapan tahun lalu dengan memberi tumpuan kepada pelaburan di seluruh dunia dalam projek-projek tenaga, infrastruktur dan pengangkutan. Anggaran besar OBOR adalah antara $1 trilion hingga $8 trilion.

Menurut firma data kewangan yang berpusat di London, Refinitiv, pada Januari 2020, OBOR merangkumi hampir 3,000 projek yang bernilai $3.87 trilion.

Pembangunan yang sedang dijalankan di Asia Tenggara termasuklah projek kereta api berkelajuan tinggi Bandung-Jakarta bernilai $6 juta di Indonesia dan pelabuhan laut dalam Kyaukphyu bernilai $1.3 bilion di Myanmar.

Di Bangladesh, China membelanjakan hampir $7 bilion untuk sembilan projek pembangunan sejak Oktober 2016, menurut data daripada Bahagian Hubungan Ekonomi di bawah Kementerian Kewangan. Namun, Dhaka tidak menganggapnya sebagai pinjaman OBOR, kata Menteri Perancangan Abdul Mannan.

‘Cara yang lebih saksama’

Sesetengah pihak mungkin melihat B3W dan OBOR saling melengkapi tetapi Presiden Biden dan G7 melihat kedua-dua inisiatif itu pada dasarnya amat berbeza.

"Apa yang berlaku ialah China mempunyai Inisiatif Satu Jalur, Satu Laluan, dan kami berpendapat bahawa ada cara yang lebih saksama bagi memenuhi keperluan negara-negara di seluruh dunia," kata Biden pada sidang media di Cornwall pada 13 Jun, menurut transkrip White House.

"Dan kami percaya bahawa ia bukan sahaja memanfaatkan negara-negara berkenaan, malah baik untuk seluruh dunia serta membawa nilai-nilai yang didukung oleh negara-negara demokrasi kami, dan bukannya yang kurang nilai autokratik."

Negara demokrasi yang dirujuknya merupakan negara-negara yang menganggotai G7 iaitu AS, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan United Kingdom.

Biden menekankan bahawa China bukanlah negara demokrasi, dan membangkitkan tentang apa yang diperkatakan oleh pengkritik mengenai amalan Beijing dalam memberi pnjaman pemangsa atau diplomasi perangkap hutang OBOR.

Sebagai contoh, penganalisis menarik perhatian secara khususnya kepada satu pinjaman China kepada Sri Lanka yang perlu dijadikan kisah teladan bagi negara-negara yang merancang untuk meminjam daripada Beijing.

Pada 2017, sebuah syarikat milik China mengambil alih saham majoriti dalam pelabuhan Hambantota Sri Lanka selepas Colombo gagal membayar balik pinjamannya kepada China.

B3W, sebaliknya, memberi tumpuan kepada apa yang disebutnya sebagai "pembiayaan multilateral yang dipertingkatkan," kata G7 dalam pernyataan yang dikeluarkan dari Cornwall pada 13 Jun.

Bank-bank pembangunan multilateral dan institusi kewangan antarabangsa lain "telah berkembang maju untuk mewujudkan standard tertinggi bagi perancangan, pelaksanaan, perlindungan sosial dan alam sekitar serta keupayaan analitik projek," menurut pernyataan itu.

"Kami menekankan pentingnya standard yang telus, terbuka, cekap dari segi ekonomi, adil dan berdaya saing bagi pinjaman dan perolehan, yang selaras dengan kemampanan hutang, serta pematuhan peraturan dan piawaian antarabangsa bagi negara-negara pemiutang utama," kata pernyataan bersama itu.

Inisiatif B3W merancang untuk dipimpin standard seperti yang dipromosikan oleh Blue Dot Network yang dikemas kini, menurut pernyataan G7.

Blue Dot Network, yang diumumkan oleh Amerika Syarikat, Jepun dan Australia pada November 2019, menilai dan memperakukan projek-projek infrastruktur bagi kelestarian alam sekitar, ketelusan kewangan dan impak ekonomi.

‘Thailand alu-alukan usaha G7’

Thailand amat mengalu-alukan tumpuan B3W terhadap pelaburan yang telus dan mampan melalui mekanisme antarabangsa yang jelas dan mantap, kata Thanee, jurucakap kementerian luar negeri.

"Thailand menyokong usaha G7 dalam membangunkan infrastruktur berkualiti tinggi dengan pendekatan baru yang mengunjurkan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan rakyat; kemampanan fiskal; penyertaan pelabur antarabangsa dan institusi kewangan; serta kesesuaian standard global dengan menerima pakai norma-norma antarabangsa,” kata Thanee.

"Inisiatif B3W ... mendukung keutamaan kami."

Bidang pelaburan utama B3W merangkumi iklim, kesihatan dan keselamatan kesihatan, teknologi digital serta kesetaraan dan kesaksamaan gender, menurut lampiran fakta White House mengenai inisiatif tersebut.

Tetapi, ketelusan dalam pelaburan serta pembiayaan bagi kesetaraan gender dan projek kesihatan mungkin dilihat oleh beberapa negara sebagai "projek peliharaan" yang diberi "dengan ikatan," kata Oh, felow kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

"Ini penting hanya pada pandangan negara-negara liberal maju" dan tidak dianggap penting di beberapa negara lain, kata Oh kepada BenarNews.

"G7 juga memperjuangkan ketelusan yang bukannya sesuatu yang lazim di sebahagian besar negara membangun," kata Oh kepada BenarNews.

Oh dan ahli ekonomi Indonesia, Fithra, turut membangkitkan persoalan sama ada negara-negara G7, yang amat maju dan perindustriannya meluas, mempunyai kewangan mencukupi untuk menyaingi pelaburan besar OBOR China.

Bello, penganalisis yang berpusat di Bangkok, berkata komitmen awal China terhadap OBOR adalah sebanyak $1 trilion bagi tempoh 2013-2014 tetapi sekarang ia telah bertambah - dengan beberapa pihak menganggarkan – kira-kira $4 trilion.

"Washington telah memberi komitmen bagi sejumlah besar peruntukan yang akan diperolehnya daripada cukai program dasar perindustrian teknologi tinggi AS yang diluluskan Senat lebih seminggu lalu," kata Bello kepada BenarNews, merujuk kepada Akta Inovasi dan Persaingan, yang menurut para penganalisis bertujuan untuk menyaingi China.

"Masalah terbesar [bagi B3W] ialah wang, dan dengan semua negara berkenaan sedang mengalami krisis fiskal, mungkin pengecualian bagi Jerman, dari manakah mereka mahu mendapatkan trilion dolar untuk menyaingi pelaburan China?"

Negara-negara Eropah G7 akan menghadapi masalah untuk meyakinkan warganegara mereka bahawa pelaburan infrastruktur diperlukan di seluruh dunia ketika mereka sedang pulih daripada pandemik serta kesan Brexit, kata Fithra.

"Jika mereka perlu menyumbang kepada inisiatif ini, dari mana datangnya wang itu? Pasti ada bantahan daripada rakyat mereka sendiri. Jadi, ia umpama ‘harimau kertas’," katanya.

Chan Hoi Cheong, penganalisis kanan mengenai risiko politik dan keselamatan di Safeture AB cawangan Malaysia, berkata B3W mungkin lewat dalam menyertai saingan geopolitik.

"Jika B3W mahu menambat hati dan pemikiran negara-negara Asia, nampaknya ia perlu berusaha dengan lebih gigih lagi," kata Chan kepada BenarNews.

Nontarat Phaicharoen di Bangkok dan Kunnawut Boonreak di Chiang Mai, Thailand, Kamran Reza Chowdhury di Dhaka, Ahmad Syamsudin di Jakarta, Hadi Azmi di Kuala Lumpur dan Ken Chang di Kota Kinabalu, Malaysia, dan Marielle Lucenio di Manila turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.