Mahkamah Kekal Penjara 15 Tahun Terhadap Tertuduh Beri Latihan Keganasan
2017.09.07
Putrajaya

Mahkamah tertinggi Malaysia pada Khamis telah mengekalkan hukuman penjara 15 tahun ke atas seorang pekerja ladang kelapa sawit yang didakwa memberikan latihan militan kepada individu yang ingin melakukan aktiviti keganasan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya keatas Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi, 32, merupakan keputusan pertama yang menolak rayuan pesalah yang terlibat dalam aktiviti militan Negara Islam (IS) bagi mengurangkan hukuman penjara.
Pada 26 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan telah menambah hukuman penjara Muamar Gadaffi kepada 15 tahun dari lima tahun yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari tahun yang sama.
Hakim Suriyadi Halim Omar yang bersidang bersama-sama dengan empat lagi Hakim, iaitu Zainun Ali, Ramly Ali, Jeffrey Tan dan Alizatul Khair Osman Khairuddin pada Khamis telah menolak permohonan Muamar Gadaffi.
Suriyadi yang mengetuai panel hakim ketika mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu telah menegaskan betapa seriusnya kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.
“Anda ada baca akhbar tak? Polis telah membuat banyak tangkapan berhubung kes seperti ini. Tidakkah anda rasa kesalahan ini adalah serius?,” lapor agensi berita nasional Bernama yang memetik Suriyadi sebagai berkata.
Tegasnya, mahkamah tidak mempunyai pilihan dengan mengekalkan hukuman berat tersebut memandangkan pihak polis Malaysia telah membuat banyak tangkapan membabitkan warganegara dan bukan warganegara yang terlibat dalam aktiviti IS.
Muamar Gadaffi diwakili oleh Kee Wei Lon manakala pendakwaan dikendalikan oleh Mohd Hamzah Ismail.
Tertuduh dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah mengaku bersalah memberi latihan keganasan kepada individu untuk mengembangkan ideologi tersebut.
Muamar Gadaffi didakwa melakukan kesalahan di Bukit Ara Para, Kuala Kangsar, Perak, antara jam 2 dan 4 petang dari 25 hingga 27 Dis, tiga tahun lepas.
Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 130F (c) Kanun keseksaaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda.
Ketika prosiding di Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang telah meningkatkan hukuman tertuduh, hakim tersebut menegaskan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh amatlah menjijikkan dengan kejadian itu membabitkan anak bangsa sendiri.
“Walau bagaimanapun, hakim bicara sekadar menjatuhi hukuman lima tahun penjara bagi kesalahan yang beliau tegaskan sebagai serius dan menjijikkan dan dikutuk masyarakat. Ini bukan saja terlalu ringan atau terlampau tidak memadai tetapi satu kekhilafan,” katanya.
Abdul Karim menegaskan bahawa Mahkamah Rayuan menerima penghujahan pihak pendakwaan bahawa keganasan pengganas dan aktiviti berkaitan dengannya pada masa kini telah menjadi masalah sejagat.
Beliau dengan itu telah membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus mengetepikan hukuman 5 tahun penjara tersebut dan menggantikannya dengan pemenjaraan selama tempoh 15 tahun.
Hukuman itu dijalankan dari tarikh Muamar Gadaffi ditangkap, iaitu pada 13 Jun 2014.
Pada Jun 2016 Malaysia menjadi sasaran serangan pengganas apabila sebutir bom tangan dilemparkan ke arah kelab malam Movida yang mencederakan lapan orang.
Dua lelaki tempatan mengaku bersalah melakukan serangan berhampiran Kuala Lumpur itu dan telah dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun setiap seorang.
Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, perekrut nombor satu di Malaysia, yang berpangkalan di Syria, sebelum beliau terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria pada April, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 329 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan Negara Islam, dengan 66 orang daripadanya telah dibebaskan, menurut angka yang dikeluarkan kerajaan dan dikumpulkan oleh BeritaBenar.