Malaysia Bersedia Untuk Gantung Dua Beradik Bagi Kes Pembunuhan 2006: Amnesty International

Ray Sherman
2017.03.14
Kuala Lumpur
170314-MY-execution-620.jpg Ahli keluarga antara yang menyertai perhimpunan nyalaan lilin untuk adik beradik Batumalai di Penjara Kajang pada malam Selasa.
[Ihsan Amnesty International]

Pihak berkuasa Malaysia akan melaksanakan hukuman gantung sampai mati terhadap dua beradik pada Rabu bagi kes pembunuhan 11 tahun dahulu walaupun Lembaga Pengampunan belum lagi mendengar rayuan terbaru mereka, kata Amnesty International (AI).

Rames dan Suthar Batumalai akan digantung, kata para pegawai AI, yang menyatakan bahawa ahli keluarga mereka telah dimaklumkan pada Isnin bahawa hukuman gantung itu akan dilaksanakan pada Jumaat. Pada Selasa,  pihak berkuasa penjara meminta keluarga Batumalai supaya melakukan lawatan buat kali terakhir terhadap dua beradik itu.

Pengarah Eksekutif AI Malaysia Shamini Darshni Kaliemuthu mengutuk tindakan "tergesa-gesa dan penuh sulit" bagi melaksanakan hukuman mati terhadap dua beradik itu.

"Malaysia melaksanakan hukuman gantung pada setiap pagi Jumaat dan kami menyedari bahawa dua hukuman yang akan dilaksanakan ini bakal menjadi yang pertama seumpamanya yang dilakukan pada pagi Rabu," katanya dalam satu kenyataan. "Ini adalah simbolik kepada sifat tergesa-gesa untuk melaksanakan hukuman gantung ini."

BeritaBenar cuba menghubungi pegawai-pegawai Jabatan Penjara namun gagal.

Dua beradik itu, yang berumur 40 dan 45 tahun, telah diberi penangguhan sementara bagi hukuman gantung sampai mati pada 24 Feb lalu susulan  petisyen daripada ibu mereka yang berusia 70 tahun kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Petisyen itu merayu supaya hukuman mati itu diringankan atau digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup.

AI berkata bulan lepas, Sultan Sharafuddin Idris Shah Selangor telah mengampunkan banduan lain yang menghadapi hukuman gantung sampai mati dengan mengurangkannya kepada hukuman penjara seumur hidup.

Dua beradik itu, yang mengaku tidak bersalah, telah dijatuhi hukuman mati pada April 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Krishnan Raman pada 4 Feb 2006. Shamini mendakwa dia beradik itu telah disabitkan kesalahan berdasarkan keterangan mengikut keadaan kerana Mahkamah Tinggi menolak dakwaan mereka bahawa mereka hanya campur tangan untuk menghentikan dua lelaki lain daripada menyerang dan membunuh mangsa.

"Amnesty International dimaklumkan bahawa permohonan pengampunan baru telah dikemukakan oleh peguam mereka pada 23 Feb lalu dan ia belum  didengar oleh Lembaga Pengampunan. Permohonan ini termasuklah suatu akuan berkanun daripada isteri mangsa, merayu kepada Lembaga Pengampunan supaya dua beradik itu tidak digantung dan sebaliknya diberikan  hukuman penjara seumur hidup, "kata Shamini.

Malaysia adalah antara 25 negara di dunia yang mengenakan hukuman mati  bagi sabitan jenayah yang membabitkan pembunuhan, dadah, penculikan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan dan pemimpin masyarakat Malaysia telah membincangkan tentang memansuhkan hukuman mati mandatori.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.