Ibu bapa bimbang kesan gelombang haba cuaca panas semasa sesi persekolahan dibuka

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan status Cuaca Panas Tahap 1, iaitu tahap berjaga-jaga, dan situasi telah berubah lebih panas di beberapa tempat.
Noah Lee & Ili Shazwai Ihsan
2023.05.01
Kuala Lumpur
Ibu bapa bimbang kesan gelombang haba cuaca panas semasa sesi persekolahan dibuka Seorang guru di sebuah sekolah mengambil suhu pelajar semasa hari pertama pembukaan sesi persekolahan di Kota Kinabalu, Sabah, 24 Jun, 2020.
[Ryu Syakur/BenarNews]

Ibu bapa di Malaysia melahirkan rasa bimbang untuk menghantar anak ke sekolah disebabkan gelombang haba yang sedang melanda negara akibat cuaca panas sehingga menyaksikan kematian, apabila semester baharu persekolahan bermula pada Selasa.

Jabatan Meteorologi Malaysia bagaimanapun menjangka yang cuaca panas di kebanyakan tempat akan kembali reda susulan hujan dan ribut petir yang turun sejak beberapa hari lepas, dengan kebanyakkan ibu bapa menyuarakan kerisauan mengenai kesan akibat gelombang haba kepada kanak-kanak semasa sesi persekolahan dibuka.

Dua kematian kanak-kanak akibat strok haba dengan lima kes membabitkan insiden kekejangan haba dilaporkan berlaku di Malaysia, dengan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah berkata gelombang haba itu terjadi disebabkan Malaysia sedang mengalami fasa peralihan monsun yang dijangka akan berpanjangan sehingga pertengahan Mei.

"Jabatan Meteorologi telah mula mengeluarkan status Cuaca Panas Tahap 1, iaitu tahap berjaga-jaga, sejak 19 Mac lepas, dan situasi telah berubah lebih panas di beberapa tempat termasuk di daerah Jeli di negeri Kelantan yang merekodkan Cuaca Panas Tahap 2... Sinaran matahari ketika langit cerah pada waktu pagi sehingga awal petang menyebabkan suhu permukaan bumi meningkat.

"Namun begitu, ribut petir dan hujan pada lewat petang dan langit yang kurang dilitupi awan pada sebelah malam telah merendahkan suhu permukaan bumi," kata beliau semasa dihubungi BenarNews.

Muhammad Helmi berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mengurangkan aktiviti di luar terutama pada sebelah petang bagi mengelakkan risiko dehidrasi, kekejangan haba, kelesuan haba dan strok haba.

Ibu bapa yang bercakap kepada BenarNews pula mahu pihak pentadbiran sekolah memberikan beberapa kelonggaran daripada segi pemakaian uniform serta perjalanan aktiviti membabitkan murid.

Nur Diyanah Anuar, 38, seorang surirumah yang berasal dari Kuala Lumpur berkata beliau telah menasihatkan supaya dua orang anaknya yang belajar di dua buah sekolah berasrama di negeri Kedah supaya banyak minum air dan mengelak daripada berada di bawah panas terik matahari.

"Saya tetap hantar juga anak-anak saya ke asrama selepas habis cuti Hari Raya ini kerana belum ada keputusan dibuat pihak berkuasa sama ada cuti sekolah akan disambung atau tidak.

"Apa pun, saya telah kerap berpesan kepada anak-anak saya supaya banyak minum air dan elakkan darpada berada di bawah terik matahari serta memberitahu guru mereka sekiranya berasa tidak sihat," kata Nur Diyanah.

Siti Suriani Shafai, 39, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan pula keberatan untuk menghantar anak-anaknya yang berusia 7, 12 dan 16 tahun ke sekolah namun terpaksa akur.

“Memadangkan anak-anak saya baharu sahaja pulih dari demam disebabkan oleh cuaca panas, Saya agak berat hati untuk menghantar mereka ke sekolah... Saya berharap sekolah akan memberikan kelonggaran dari segi pakaian murid kerana uniform kemeja yang dipakai bersama tali leher akan menyebabkan berasa lebih panas,” tambah beliau.

Dalam pada itu, sebuah akhbar tempatan melaporkan yang Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membenarkan pentadbir untuk menutup sekolah sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Akhbar Sinar Harian yang melaporkan mengenainya telah memetik sepucuk surat siaran pekeliling yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Norisah Suhaili yang memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat memandangkan situasi cuaca dan gelombang haba yang berlaku di beberapa lokasi di seluruh negara itu.

“Pentadbir hendaklah mengemukakan surat permakluman rasmi kepada pendaftar berhubung penutupan institusi pendidikan atas sebab status suhu harian bagi cuaca panas pada tahap amaran dua.

“Ia mesti dilampirkan bersama-sama dokumen sokongan yang menjelaskan tentang proses penilaian risiko dijalankan sebelum keputusan untuk menutup institusi pendidikan,” kata Norisah seperti dilaporkan oleh akhbar itu.

Cuaca panas

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Zaini Hussin, di mana dua kes kematian kanak-kanak berpunca dari strok dan kelesuan haba yang dilaporkan berlaku berpendapat pembukaan semula sekolah tidak mendatangkan risiko masalah kesihatan sekiranya masyarakat umum memberi perhatian lebih kepada langkah berjaga-jaga.

"Pelu menghadkan aktiviti luar premis, perbanyakkan minum air kosong dan gunakan perlindungan seperti payung ketika berada di luar.

"Tiada yang luar biasa, langkah pencegahan seharusnya menjadi amalan harian namun mungkin akibat dari keghairahan menyambut Aidilfitri atau kesibukan harian menyebabkan segelintir dari kita terlepas pandang perkara ini,” Zaini memberitahu BenarNews ketika dihubungi pada Isnin.

Selain dua kes kematian kanak-kanak di Kelantan pada Selalu lalu, Zaini menyatakan tiada peningkatan kes mendadak berkaitan masalah kesihatan yang dilaporkan di negeri itu setakat ini yang dipercayai kerana cuaca yang semakin baik berikutan hujan di beberapa kawasan.

Pada minggu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan telah meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan kerajaan di daerah Bachok, selepas mengalami demam dan cirit birit. Kematian itu telah disahkan Kementerian Kesihatan sebagai berpunca daripada strok haba.

Dalam minggu yang sama, seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan di Kelantan juga dilaporkan telah meninggal dunia akibat kelesuan haba.

Pada Jumaat lalu, lima negeri telah merekodkan status kawasan bercuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga disebabkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut iaitu Kedah, Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Bagaimanapun, semakan terkini pada Isnin menunjukkan hanya dua kawasan iaitu Negeri Sembilan, terletak di selatan Malaysia dan Kedah, negeri utara, yang mencatatkan status cuaca panas tahap satu manakala setakat ini tiada negeri yang mencapai tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.