Empat Penjenayah ‘Terancang Sempadan’ Didakwa

Fairul Mazlan
2017.09.26
Alor Setar, Kedah
170926-my-gengpaksu620.jpg Ketua Geng Pak Su Johari Ariffin dibawa keluar oleh pegawai khas polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Alor Setar, Kedah pada Selasa untuk menghadapi dakwaan terlibat dalam aktiviti jenayah terancang, 26 September, 2017.
(Fairuz Mazlan/BeritaBenar)

Empat individu termasuk seorang ketua kumpulan “Geng Pak Su” telah didakwa  di Mahkamah Seksyen Alor Setar, Kedah pada Selasa atas dakwaan terlibat dalam jenayah terancang di kawasan sempadan Malaysia dan Thailand sejak dua tahun lalu.

Ketua kumpulan itu, Johari Ariffin, 35, dan tiga pengikutnya Norazif Ahmad, 37, Shahadan Salim, 38 dan Rosidi Aziz, 35, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh juru bahasa di hadapan Hakim Azman Abu Hassan, atas dakwaan terlibat dalam jenayah tersebut antara 1 Januari 2015 dan 30 Ogos tahun ini.

Keempat individu berkenaan telah ditahan di beberapa lokasi di utara Semenanjung Malaysia sejak akhir Ogos lepas, dan dituduh di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan, (Akta 574) yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika disabitkan kesalahan.

'Geng Pak Su', menurut sumber, terlibat secara aktif dalam pelbagai kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand selama bertahun-tahun. Johari juga dipercayai ketua kumpulan ‘Red Dragon Gang’ yang bergerak di selatan Thailand.

Mahkamah Sesyen itu dikawal ketat oleh pihak berkuasa Malaysia sejak awal pagi.

Pihak pendakwaan di ketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias manakala Johari, Shahadan dan Rosidi di wakili peguam, Jay Moy Juin dan Norazif diwakili peguam Faizal Rahman.

Hakim Azman tidak membenarkan kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan kerana pertuduhan berkenaan tidak menawarkan jaminan. Mahkamah menetapkan 26 Oktober untuk tarikh sebutan semula.

Menurut laporan media tempatan, Johari adalah antara sembilan lelaki yang sebelum ini ditahan untuk membantu siasatan pembunuhan seorang sub-inspektor polis Malaysia, Abu Hashim Ismail, 54, pada Ogos lalu yang ditembak mati dari belakang oleh seorang pembunuh upahan di rumah Johari di Taman Sri Hosba, Changlun, negeri Kedah.

Enam das tembakan dilepaskan dari jarak jauh dan empat daripadanya telah mengenai mangsa dalam kejadian pada pukul 10.25 malam itu.

Abu Hashim yang sepatutnya bersara beberapa hari selepas kejadian itu sedang menyiasat sindiket penyeludupan senjata di sempadan Malaysia-Thailand.

Insiden itu telah membawa kepada penangkapan Johari dan suspek lain di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas perintah reman mereka untuk siasatan pembunuhan  berakhir.

Sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, Kedah dan Kelantan sering digunakan oleh penyeludup untuk pelbagai aktiviti penyeludupan rentas sempadan termasuk kes pengedaran dadah, senjata api, manusia dan komoditi seperti beras, yang menjadi makanan ruji negara itu.

Siasatan pembunuhan diteruskan

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Mior Farid Al Atrash Wahid yang hadir sama dalam prosiding pada Selasa berkata siasatan ke atas pembunuhan Abu Hashim masih dijalankan walaupun empat suspek telah dituduh terlibat dalam aktiviti kongsi gelap pada selasa.

“Lebih ramai anggota 'Geng Pak Su' akan dihadapkan tidak lama lagi apabila pihak polis meneruskan tindakan membanteras  kegiatan menyeludup merentas sempadan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Selama bertahun-tahun, sindiket penyeludupan telah menyasarkan pelbagai agensi penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand Kedah dan Perlis tanpa mengenal penguatkuasa lelaki atau wanita.

Sebahagian daripada kumpulan ini bertindak kejam dan tidak akan teragak-agak untuk mengugut sesiapa yang menghalang aktiviti penyeludupan, bahkan sehingga ke tahap mencederakan mereka. Selain harta dan kenderaan mereka dirosakkan, beberapa pegawai anggota seragam dilaporkan hampir kehilangan nyawa.

Pada tahun 2010, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rawak di depan kediaman seorang pegawai kanan yang bertugas di Jabatan Kastam Bukit Kayu Hitam, tetapi tiada yang cedera dalam kejadian itu.

Pada Oktober 2014, pegawai kanan Jabatan Kastam yang sama, sekali lagi mendapat ancaman bunuh apabila keretanya dibakar dalam serangan 5 pagi di rumahnya di Taman Bukit Indah, Jitra. Polis mengesahkan bahawa serangan membakar itu merupakan cubaan untuk menggertak mangsa dan menghalangnya daripada menjalankan tugasnya.

Manakala pada 9 Oktober 2015, seorang pegawai penguatkuasa Kastam Padang Besar telah dimasukkan ke dalam hospital dalam keadaan koma manakala dua rakan sekerjanya mengalami kecederaan, kejadian berlaku apabila kenderaan pelbagai guna yang dipandu oleh salah seorang daripada mereka telah dirempuh sebuah Proton Perdana yang dipandu oleh tonto sebuah sindiket.

Tonto tersebut merempuh kenderaan itu ketika para petugas sedang mengejar sebuah lori kecil yang berdaftar di Thailand yang sarat minuman keras yang diseludup.

Kenderaan mereka dirempuh dua kali dari belakang dan sekali dari sisi. Kenderaan pelbagai guna tersebut terbabas dan merempuh perhentian bas di  di Km 20, Jalan Padang Besar-Kangar, dalam insiden pada pukul 4.15 pagi. Mat Zohir Mohd Saad, 47, dan Mohd Safawi Rosdi, 27, tercampak keluar dari kenderaan kenderaan itu dan Safawi mengalami kecederaan serius dan kini di dalam keadaan koma,  sementara Zohir mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

Manakala itu, seorang lagi anggota Kastam, Abdullah Ayob, 46, yang berada di ruang belakang penumpang MPV tersebut sempat melarikan diri, tetapi mengalami kecederaan ringan di belakang badan, dada dan pipinya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.