George Town, Malaysia: Kilauannya Semakin Pudar Dengan Kemunculan Pembangunan Baru?


2017.03.03
170303-ID-georgetown-620.jpg Pelancong bersiar-siar di Chulia Street, satu daripada jalan di George Town, Malaysia, di mana kewujudan hotel dan kafe hipster semakin banyak bagi menggantikan rumah-rumah kedai lama. 11 Feb, 2017.
[S.C. Lei/BeritaBenar]

George Town, ibu negeri Pulau Pinang di Malaysia, menampilkan tarikan penjajahan silam yang menambat hati pelancong untuk mengunjungi bandar permata ini yang terletak di  Selat Melaka.

Namun, pemelihara warisan tempatan bimbang tarikan rumah kedai lama di kawasan bersejarah Georgetown, yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan di mana peniaga etnik Melayu, Cina dan India tinggal dan menjalankan perniagaan, semakin pudar hingga memberi laluan kepada kemunculan butik mewah, kafe hipster dan hartanah komersil moden yang lain.

Untuk pemelihara warisan seperti Mark Lay, usaha pegawai-pegawai perbandaran dan pemaju untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan daripada pelancongan dengan membawa masuk projek-projek baru dan mengambil kesempatan dengan ‘menjual’ senarai tempat warisan, mengancam untuk melemahkan "warisan hidup" bandar itu, jelas beliau.

Pihak berkuasa tempatan nampaknya "lebih prihatin dengan pelancongan dan pelaburan daripada memelihara Nilai Sejagat Unggul (OUV) George Town," kata Lay kepada BeritaBenar. OUV adalah istilah yang digunakan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB untuk menggambarkan sifat bandar - seperti jalan yang mempunyai deretan rumah kedai lama - yang membawa kepada penyenaraian bandar itu  sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2008.

"Pelancongan telah mengambil alih beberapa kawasan warisan seperti Lebuh Armenia dan Lebuh Keng Kwee. Jika dibiarkan begitu sahaja, kami menjangkakan sebahagian besar tapak warisan itu akan diberikan kepada pelancongan, " tegas Lay, yang merupakan ahli kumpulan pemerhati tempatan George Town Heritage Action (GTHA).

Beliau memberi contoh kes di mana pemilik bangunan di zon warisan itu telah mengusir penyewa lama dan membenarkan penghuni baru berpendapatan tinggi untuk mendiami kawasan itu dan mengubah suai struktur lama dengan cara yang tidak mematuhi garis panduan warisan, dakwanya.

"Ia bertentangan dengan apa yang senarai UNESCO maksudkan... Matlamat utama seolah-olah membangunkan taman tema warisan pelancongan, dan bukannya melindungi kriteria OUV di mana George Town sebenarnya telah dianugerahkan status UNESCO, "katanya.

Sebuah beca diletakkan di luar kedai Choo Choon Yew, satu-satunya pembuat  beca yang masih ada di Pulau Pinang, 11 Feb, 2017. [S.C. Lei / BeritaBenar]

Rangsangan untuk pelancongan

George Town – bekas Kawasan Penempatan Selat yang diwujudkan lebih daripada 500 tahun lalu hasil pertukaran dagangan dan budaya di antara Timur dan Barat - menjadi Tapak Warisan Dunia sembilan tahun lalu bersama-sama dengan bandar Melaka, sebuah bandar Semenanjung Malaysia yang juga terletak di Selat Melaka.

Zon warisan George Town adalah seluas kira-kira 260 hektar (642.4 ekar).

Penyenaraian itu telah meningkatkan pelancongan, dengan menarik kunjungan  6,310,000 pelancong sejak 2008, menurut Institut Penang, sebuah badan pemikir di negeri itu.

Prestij antarabangsa diperoleh bersama-sama penyenaraian itu yang "sering membantu meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat dan kerajaan untuk pemeliharaan warisan," menurut UNESCO yang berpejabat di Paris.

"Kesedaran yang meluas membawa kepada peningkatan secara umum dalam tahap perlindungan dan pemuliharaan yang diberikan kepada sifat-sifat warisan," kata agensi PBB itu. Ia menjelaskan bahawa negara-negara berkenaan boleh memohon bantuan kewangan dan nasihat pakar daripada Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO untuk menyokong pemeliharaan tapak yang disenaraikan.

Tetapi, masih banyak yang belum dilakukan untuk memelihara tapak warisan di bandar itu, dan pelan pengurusan pemuliharaan yang dikenali sebagai Pelan Kawasan Khas George Town (SAP) telah ditangguhkan selama lima tahun sehingga ia akhirnya diwartakan pada September lalu, kata Lay.

"Kesungguhan politik juga masih kurang bagi mengurus, memantau dan menguatkuasakan kandungan dokumen itu kerana bimbang menjejaskan sektor pelancongan dan pelaburan masa depan," kata Lay.

Beliau menggesa  Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) - badan-badan yang mengurus, memantau dan menggalakkan ciri-ciri Warisan Dunia bandar itu - untuk bekerjasama dengan UNESCO dan Jabatan Warisan Negara bagi menguatkuasakan peraturan-peraturan yang digariskan dalam pelan kawasan khas itu .

'Pelawat datang'

Dr. Ang Ming Chee, Pengurus Besar GTWHI, semasa menjawab isu itu dengan Lay mendakwa bahawa tapak warisan itu telah menjadi "Disneyfied"berkata, bahawa pertumbuhan pelancongan adalah perkara biasa bagi Tapak Warisan Dunia.

"Pengunjung datang untuk melihat seni bandar, seni bina, budaya dan gaya hidup tempatan. Ada pelabur yang berada di sini kerana mereka menghargai warisan seni bina, "katanya kepada BeritaBenar.

Pendapatan pelancongan memanfaatkan dan memperkasakan masyarakat di bandar, yang digalakkan untuk memainkan peranan  aktif dan menjual produk buatan Pulau Pinang bagi menggalakkan budaya tempatan, katanya.

Dan, menurut Noorhanis Noordin, yang mengetuai jabatan pemuliharaan warisan majlis bandaraya itu, memelihara warisan seni bina George Town adalah satu proses yang berterusan.

Pihak berkuasa juga mengambil tindakan terhadap pemilik bangunan yang tidak mematuhi garis panduan warisan yang ketat itu, katanya.

Majlis bandaraya itu turut menganjurkan bengkel dan seminar untuk mendidik pemilik hartanah, kontraktor dan orang awam mengenai peraturan pembangunan yang berkaitan warisan, tambah beliau.

"Jika mereka gagal mematuhinya, mereka perlu berhenti dan memindahkan semua kerja yang menyalahi undang-undang itu, atau berdepan risiko  dihadapkan ke mahkamah," kata Noorhanis kepada BeritaBenar.

 

 

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.