Rakyat Malaysia terlibat pengeboman Bali perlu jalani hukuman penjara tidak lebih 6 tahun

Keputusan itu dibuat oleh hakim mahkamah tentera AS susulan syor panel dalam prosiding di Teluk Guantanamo bahawa Mohammed Farik bin Amin dan Mohammed Nazir bin Lep dihukum penjara 23 tahun.
John Bechtel
2024.01.26
Teluk Guantanamo, Cuba
Rakyat Malaysia terlibat pengeboman Bali perlu jalani hukuman penjara tidak lebih 6 tahun Matahari terbenam dapat dilihat dari Kem Keadilan di Pangkalan Tentera Laut di Teluk Guantanamo, Cuba dalam foto ini yang telah disemak oleh pegawai tentera AS di mana prosiding suruhanjaya tentera diadakan bagi tahanan yang didakwa melakukan jenayah perang, 29 Ogos 2021.
[Alex Brandon/AP]

Seorang hakim mahkamah tentera AS di sini pada Jumaat telah memutuskan bahawa dua rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan insiden pengeboman Bali 2002 perlu menjalani hukuman penjara tidak melebihi enam tahun sebagai sebahagian daripada persetujuan praperbicaraan atas pengakuan salah mereka bagi pertuduhan membunuh dan beberapa kesalahan lain.

Selain itu, defendan Mohammed Farik menerima 'kredit pentadbiran' yang menyaksikan tempoh hukumannya dikurangkan lebih 10 bulan manakala rakannya, Mohammed Nazir, mendapat pengurangan lebih setahun.

Persetujuan itu memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa yang mentadbir iaitu pegawai kanan pihak berkuasa tentera yang menyelia perbicaraan di Kem Keadilan, Pangkalan Tentera Laut di Teluk Guantanamo.

Persetujuan bagi pengakuan salah itu mengesyorkan agar hukuman penjara kurang 23 tahun dikenakan oleh panel lima anggota tentera yang berbincang kira-kira dua jam selepas mendengar keterangan sanak-saudara sebahagian daripada 202 mangsa yang terkorban dalam serangan maut pengganas paling buruk di Indonesia. Turut memberi keterangan pada prosiding itu ialah kedua-dua defendan dan dua saudara lelaki Mohammed Farik.

Kedua-dua defendan dan sanak-saudara mangsa insiden pengeboman Bali yang hadir pada prosiding di sebuah bangunan tidak menonjol yang menempatkan mahkamah tentera itu bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika panel berkenaan mengemukakan cadangan tersebut sebelum hakim menjatuhkan hukuman.

Pada Jumaat malam, masih tidak jelas sama ada kedua-dua defendan akan menghabiskan tempoh hukuman mereka di Pangkalan Tentera Laut AS di Cuba atau di Malaysia atau negara ketiga.

Ketua Pendakwa Kolonel George C. Kraehe belum memberikan sebarang maklum balas terhadap soalan ini yang dikemukakan oleh BenarNews. Hukuman itu berkuat kuasa mulai minggu lepas apabila Hakim Wesley Braun, seorang pegawai Tentera Udara AS, menerima pengakuan salah kedua-dua defendan.

Mereka telah ditahan di Guantanamo selama 17 tahun sejak diterbangkan ke sini dari sebuah lokasi tapak hitam CIA di luar negara dan hanya pada Ogos 2021 mereka berpeluang buat pertama kalinya menjejakkan kaki di mahkamah tentera di sini.

Terdahulu pada Jumaat, Kraehe mengemukakan hujah penutup pendakwaan yang menyaksikan beliau bercakap bagi pihak keluarga mangsa tragedi itu, sama ada yang hadir untuk melihat prosiding tersebut dan ribuan lagi yang tidak dapat datang.

“Hati mereka sudah remuk dan hancur buat selamanya,” katanya.

Mohammed Farik dan Mohammed Nazir, yang sebelum ini berjubah sepanjang prosiding itu, hadir di mahkamah pada Jumaat dengan memakai blazer ala Amerika dan kemeja berbutang.

Mohammed Nazir memakai songkok iaitu topi tradisional Malaysia yang dipakai oleh kaum lelaki ketika memberikan kenyataan kepada mahkamah pada Khamis dan Jumaat manakala Mohammed Farik memakai kasut sniker pada Khamis.

Gitmo-2.jpg

Orang ramai berhimpun untuk berdoa di memorial yang dibina bagi memperingati mangsa pengeboman Bali 2002 semasa ulang tahun ke-20 insiden letupan yang mengorbankan 202 orang di Kuta, Bali, Indonesia, 12 Okt 2022. [Sonny Tumbelaka/AFP]

Ketika berhujah pada prosiding itu dalam kes terhadap kedua-dua rakyat Malaysia, Kraehe memaklumkan mahkamah bagaimana Mohammed Farik dan Mohammed Nazir “mematuhi seruan Osama bin Laden” pada 1990-an. Mereka berhijrah ke Afghanistan pada 2000 di mana mereka berlatih untuk mengambil bahagian dalam jihad yang ganas dan melafazkan taat setia kepada Osama selepas tragedi 11 Sept 2001.

“Ini adalah apa yang mereka mahukan dan kenapa mereka menjalani latihan,” kata Kraehe sambil menambah kedua-dua defendan telah berlatih untuk menjadi tentera jihad.

Beliau berkata ketika itu, mereka telah bertemu rakyat Indonesia iaitu Encep Nurjaman (juga dikenali sebagai Hambali), yang disyaki sebagai dalang atau perancang utama insiden pengeboman Bali 2002 Bali yang meragut 202 nyawa.

Kes mereka diasingkan daripada kes Hambali pada 2023 dan peguam rakyat Indonesia itu berkata anak guamnya tidak menjangka untuk diberikan perjanjian bagi pengakuan salah yang serupa.

Kraehe juga berhujah mengenai kenyataan Mohammed Farik dan Mohammed Nazir pada Khamis yang mendakwa bahawa mereka sudah berubah selepas lebih 20 tahun berada dalam tahanan – kali pertama di Thailand susulan penahanan mereka pada 2003, kemudian di tapak hitam CIA sebelum tiba di pangkalan tentera laut AS di Cuba pada 2006.

Mengenai dakwaan kedua-dua defendan bahawa mereka telah diseksa di bawah polisi kerajaan Amerika iaitu Rendition, Detention and Interrogation (RDI), Kraehe berhujah perkara itu sudah lama berlaku. Mereka telah menerima layanan yang baik di Teluk Guantanamo dan anggota panel tidak perlu menghakimi polisi tersebut.

“Tugas kita ialah menegakkan keadilan untuk mangsa,” katanya. “Tertuduh bukanlah mangsa di sini.”

Beliau juga berkata Mohammed Farik dan Mohammed Nazir langsung tidak menunjukkan sebarang belas kasihan kepada mangsa dan mereka “tidak layak dikasihani.”

Bercakap mewakili sanak-saudara mangsa yang sanggup melakukan perjalanan ke Cuba untuk memberi keterangan bagi pihak orang yang tersayang, beliau berkata “mereka ke sini demi keadilan. Selepas bertahun-tahun, mereka masih percayakan proses keadilan.”

Beliau turut membuat rayuan kepada panel itu yang dianggotai oleh seorang wanita dan empat lelaki yang mewakili pasukan tentera darat, tentera laut, tentera udara dan marin AS.

“Jangan biarkan sesiapapun meragui bahawa anda di sini adalah untuk menegakkan keadilan,” kata Kraehe.

Gitmo-3.jpg

Peguam Brian Bouffard (kiri), diiringi oleh Leftenan Komander Tentera Laut AS Aaron Shephard dan Mejar Jaspm Cordova daripada Tentera Udara AS, bercakap kepada pemberita selepas prosiding hari kedua anak guamnya, Mohammed Nazir bin Lep, di Pangkalan Tentera Laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba, 31 Ogos 2021. [Alex Brandon/AP]

Christine Funk, peguam utama Mohammed Farik bin Amin, pula berkata perkara paling teruk pernah dilakukan oleh anak guamnya ialah mengambil wang pada Disember 2002 – dua bulan selepas insiden pengeboman pada 12 Okt itu, untuk menyembunyikan pengkomplot. Konspirasi itu telah membawa kepada pengakuan salah terhadap pertuduhan membunuh dan empat kesalahan lain.

“Anda terpaksa memikul tanggungjawab atas perbuatan orang lain,” katanya.

Beliau mengakui penderitaan yang dialami oleh mangsa namun merayu bagi pihak Mohammed Farik.

“Kami percaya kepedihan yang dialami oleh mangsa bergerak seiring dengan hak-hak defendan,” hujahnya di hadapan panel itu.

Funk, yang memakai tudung pada prosiding itu sebagai menghormati anak guamnya yang beragama Islam, berhujah mengenai seksaan yang didakwa dialami oleh Mohammed Farik susulan penahanannya di Thailand dan ketika berada di tapak hitan CIA. Beliau turut mengemukakan beberapa lakaran defendan pada Khamis untuk membuktikan seksaan itu termasuk penggunaan teknik 'waterboarding.'

Beliau turut mendedahkan butiran laporan oleh Hawthorne Smith, seorang pakar yang bekerjasama dengan mangsa yang terselamat dalam insiden seksaan dan penyalahgunaan hak asasi manusia selama hampir tiga dekad. Smith mendapati bahawa Mohammed Farik mengalami PTSD yang kompleks.

“Beliau menyatakan bahawa Mohammed Farik mengalami gelaja seperti trauma berdepan semula seksaan itu dan mimpi-mimpi ngeri, kadang-kadang tiga hingga empat kali seminggu selain insomnia dan gangguan lain ketika tidur serta fikiran yang terganggu,” kata Funk.

Funk turut memaklumkan mengenai usaha Mohammed Farik untuk berubah dan kemungkinan defendan menjalani program pemulihan.

Gitmo-4.jpg

Seorang tahanan diiringi oleh seorang anggota polis tentera untuk disoal siasat di Kem X-Ray di Pangkalan Tentera Laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba, 6 Feb 2002. [Lynne Sladky/fail AP]

Merujuk kepada laporan Risikan mengenai program penahanan CIA oleh Jawatankuasa Pemilihan Senat 2014, beliau berkata Mohammed Farik dengan pantas telah menghulurkan bantuan kepada para penyiasat.

“Anda akan mendapati apabila Mohammed Farik bin Amin mula-mula hilang dan berada dalam tahanan pihak berkuasa Thailand, beliau telah memberikan maklumat kepada mereka dengan segera,” katanya.

Pada Khamis, Mohammed Farik berkata satu daripada lakarannya menunjukkan bahawa beberapa individu telah menanggalkan pakaiannya ketika dia dalam tangan terikat di belakang beberapa jam selepas dia diberkas.

Peguam Mohammed Nazir iaitu Brian Bouffard pula memaklumkan mahkamah anak guamnya memang membantu pengkomplot dalam insiden pengeboman itu dan telah mengambil tanggungjawab atas tindakannya.

“Beliau di sini bukan untuk menganggap dirinya sebagai mangsa,” kata Bouffard sambil menambah Mohammed Nazir juga tidak minta dikasihani.

Beliau berkata Mohammed Nazir turut mendoakan mangsa ketika mendengar kenyataan mereka yang terselamat dalam insiden itu pada Rabu walaupun tindakan itu tidak mengubah apa-apa dari segi jenayah yang telah dilakukan.

Bouffard juga berkata Mohammed Nazir telah melupakan segala seksaan yang dialami semasa dalam tahanan dan memberikan kerjasama yang baik kepada para penyiasat.

‘Boleh buat lebih baik’

Brigidier Jeneral Jackie Thompson, ketua pasukan pembelaan bagi Majlis Pertahanan Suruhanjaya Tentera, pula berharap pengakuan salah dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Mohammed Farik dan Mohammed Nazir akan mengakhiri perjalanan kes itu dan memberi sedikit kelegaan kepada mangsa serta keluarga mereka.

Thompson, yang melihat prosiding jatuh hukum itu dari bilik pendengaran di belakang mahkamah, memberikan kenyataan kepada BenarNews dan berkata beliau mengambil maklum kelewatan selama 20 tahun dalam membawa kedua-dua defendan ke muka keadilan adalah “amat menyedihkan dan mengecewakan hasrat semua orang yang ingin melihat akauntabiliti dan keadilan."

“Malangnya, kelewatan yang begitu lama dalam sistem keadilan jenayah adalah disebabkan oleh polisi Rendition, Detention and Interrogation yang dilaksanakan selepas serangan 11 Sept ke atas Amerika Syarikat.

240123-MY-Gitmo-Journal.jpeg

Bendera dikibarkan separuh tiang di Kem Keadilan seperti yang dilihat dalam gambar ini yang telah disemak oleh pegawai tentera AS di Pangkalan Tentera Laut di Teluk Guantanamo, Cuba, 29 Ogos 2021. [Alex Brandon/AP]

Thompson, yang bertanggungjawab bagi menyediakan peguam di mahkamah tentera, berkata sejumlah 30 banduan masih ditahan di penjara Teluk Guantanamo termasuk 16 yang telah mendapat kebenaran untuk dibebaskan atau dipindahkan.

“Sekarang adalah masa untuk menghantar pulang atau memindahkan mereka,” menurutnya dalam kenyataan itu.

“Sesebuah negara yang menghormati kedaulatan undang-undang mampu dan perlu melakukannya dengan lebih baik.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.