Kekurangan Jurubahasa Jejaskan Perbicaraan Tiga Lelaki Asia Tenggara di Guatanamo
2022.02.11
Washington

Setelah hampir 20 tahun tiga suspek pengganas berprofil tinggi Asia Tenggara ditangkap dan ditahan di "lokasi hitam" CIA sebelum ditempatkan di penjara tentera terkenal Amerika Syarikat di Guantanamo, perbicaraan kes mereka berdepan kelewatan berikutan kekurangan jurubahasa yang berkelayakan.
Masalah itu bukan sahaja menjejaskan proses pengadilan yang sewajarnya tetapi menggambarkan satu lagi halangan yang perlu diatasi oleh Amerika Syarikat untuk menutup fasiliti di Cuba itu, yang dilihat dunia sebagai noda yang mencemari rekod hak asasi manusia Amerika Syarikat, dua dekad selepas tahanan pertama pasca perang keganasan 9/11 tersebut tiba di Teluk Guantanamo pada Januari 2002.
Dokumen mahkamah yang dilihat oleh BenarNews bagi kes tiga warganegara Asia Tenggara itu mendedahkan mengenai kekurangan jurubahasa mahkamah bertauliah yang fasih dalam bahasa Melayu atau bahasa Indonesia – bahasa yang dipertuturkan di negara yang mempunyai penduduk Muslim paling ramai di dunia itu – serta memenuhi peraturan keselamatan ketat Amerika Syarikat.
Pendakwa raya bagi kes terhadap tiga lelaki itu mengakui mengenai kekurangan jurubahasa bertauliah dan diberi pelepasan untuk tugasan dalam kamar mahkamah itu di Guantanamo, tetapi peguam pembelaan berkata ia merupakan "halangan besar" dalam memberikan perbicaraan yang adil untuk anak guam mereka.
Kebimbangan mengenai kualiti dan ketepatan penterjemahan dalam kamar mahkamah itu dibangkitkan semasa pendakwaan dilakukan pada Ogos lalu ke atas Encep Nurjaman Indonesia (yang juga dikenali sebagai Hambali) dan rakyat Malaysia, Nazir Bin Lep dan Farik Bin Amin, yang menghadapi pertuduhan Amerika Syarikat bagi kes pengeboman pengganas di Indonesia pada 2002 dan 2003.
Peguam mereka menghabiskan sebahagian besar hari pertama prosiding dua hari itu, di Camp Justice di pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di Cuba, dengan menyatakan bahawa tertuduh tidak memahami apa yang diperkatakan mengenai mereka.
Pada 19 Januari, Hakim Tentera Hayes Larsen mengarahkan pihak pendakwa raya di Pejabat Suruhanjaya Tentera (OMC) untuk membentangkan rancangan mereka selewat-lewatnya pada 1 Februari bagi meningkatkan kualiti penterjemahan dan menamakan jurubahasa tambahan sebelum perbicaraan ditetapkan untuk bermula pada 28 Feb.
"Semua pasukan pembelaan menyatakan bahawa mereka memerlukan jaminan untuk dapat menggunakan khidmat jurubahasa pembelaan yang disediakan kerajaan bagi tujuan komunikasi antara peguam dan anak guam," menurut catatan beliau.
Pendakwa raya dapat menepati tarikh akhir bagi memberi maklum balas itu namun, gagal memenuhi perintah hakim.
“Walaupun adanya usaha OMC untuk mengenal pasti jurubahasa tambahan bagi membantu dalam perbicaraan yang dijadualkan dari 28 Februari hingga 4 Mac 2022, ia tidak dapat mengenal pasti dua jurubahasa tambahan yang diberikan pelepasan keselamatan sewajarnya,” kata pendakwa raya seperti yang tercatat dalam dokumen mahkamah yang difailkan pada 1 Februari.
Pendakwa raya berkata mereka sedang berusaha untuk mengambil empat jurubahasa sepenuh masa dengan dua orang masing-masing bagi setiap bahasa itu.
"Memandangkan garis masa yang tidak menentu dalam mendapatkan pelepasan untuk pekerja baru, adalah sukar untuk menyatakan anggaran masa bila jurubahasa sepenuh masa yang diberi pelepasan dapat disediakan untuk membantu suruhanjaya itu," kata mereka.
“Kerajaan menyedari bahawa disebabkan kekurangan jurubahasa Melayu dan Indonesia sambilan dengan pelepasan keselamatan sewajarnya – tidak seperti suruhanjaya tentera lain yang mempunyai jurubahasa Arab sambilan – dan bergantung kepada tarikh perbicaraan, dua jurubahasa Melayu dan dua jurubahasa Indonesia mungkin tidak sentiasa ada untuk membantu suruhanjaya itu,” kata pendakwa raya.
Seorang wanita Malaysia yang enggan dikenali memberitahu BenarNews bahawa beliau dihubungi untuk tugasan itu, tetapi isu pelepasan keselamatan adalah antara sebab beliau tidak berminat menerimanya. Selain itu, katanya, beliau tidak mahu pergi ke "pulau tersebut."
Semasa jurubahasa menghadiri prosiding pendakwaan pada Ogos lalu, hakim memerintahkan pendakwa raya supaya mengenal pasti jurubahasa yang bersedia pergi ke pulau itu atau bekerja dari satu lokasi di "Wilayah Ibu Negara" – kawasan di Washington D.C.
Dirujuk sebagai "pejuang ganas yang memerangi musuh asing tanpa hak” dalam beberapa dokumen mahkamah, Nurjaman, Nazir dan Farik menghadapi pertuduhan berkaitan dua pengeboman yang membunuh 202 orang di Bali pada Oktober 2002 - serangan pengganas paling maut di Indonesia setakat ini - dan pengeboman di J.W. Hotel Marriott di Jakarta pada 2003.
Tiada seorang pun daripada mereka membuat pengakuan selepas didakwa dengan pertuduhan berkenaan pada tahun lepas.
Ketiga-tiga lelaki itu ditangkap di Thailand pada 2003 dan dihantar ke lokasi hitam rahsia CIA sebelum dipindahkan ke penjara Teluk Guantanamo pada 2006. Laporan Senat AS yang dikeluarkan pada 2014 mendapati bahawa ketiga-tiga lelaki itu telah diseksa semasa berada di lokasi hitam berkenaan.
James Hodes [AP]
Peguam bela bersuara
Peguam James Hodes, yang mewakili Nurjaman, mengecam rancangan pendakwa raya
"Kerajaan mempunyai lebih 18 tahun untuk menyediakan kes terhadap Encik Nurjaman, termasuk mengambil jurubahasa yang berkelayakan bagi suruhanjaya itu kerana ia adalah tugas mereka," kata Hodes dalam dokumen mahkamah yang difailkan pada 4 Februari. "En. Nurjaman membantah langkah memulakan prosiding sehinggalah kerajaan dapat mengenal pasti jurubahasa mahkamah kedua yang berkelayakan bagi Bahasa Indonesia.”
“Inilah yang ditugaskan kepada anda dan anda telah gagal melaksanakan tugas ini,” katanya kepada BenarNews.
Hodes menganggap kekurangan jurubahasa bertauliah sebagai "halangan besar untuk mendapatkan perbicaraan yang adil" sambil memberitahu bahawa mahkamah persekutuan lain akan membatalkan kes itu jika ia tidak dibicarakan selepas hampir dua dekad.
Dalam perintah Hakim Larsen pada Januari lalu kepada pendakwa raya supaya mencari penterjemah tambahan, beliau berkata jurubahasa Malaysia untuk perbicaraan yang dijadualkan itu adalah jurubahasa sama yang ditugaskan semasa pendakwaan.
Bagi perbicaraan yang akan datang, Hodes berkata beliau tidak melihat sebarang agenda dan tidak tahu apa yang akan dibincangkan dalam tempoh lima hari itu. Tetapi, beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai kualiti penterjemahan bagi perbicaraan akan datang itu.
Perlekehkan kebimbangan
Sebelum perintah hakim berkenaan, pihak pendakwa raya cuba memperlekehkan kebimbangan pihak pembelaan berhubung penterjemahan semasa pendakwaan berlangsung pada Ogos lalu.
"Mungkin ini - dalam bahasa Tentera Laut kita akan menyatakannya sebagai 'mendapatkan keseimbangan anda.' Kami hanya melakukan perkara itu dan ini bagi memahami bagaimana ia akan dilakukan," menurut mereka dalam dokumen mahkamah yang difailkan pada 11 Januari.
"Bahagian pendakwaan dalam prosiding itu telah diterjemahkan dengan tepat."
Ulasan itu tidak dipersetujui oleh peguam Christine Funk, yang mewakili Farik, seorang daripada dua rakyat Malaysia yang menghadapi pertuduhan itu.
“Kerajaan menegaskan bahawa beberapa prosiding (dengan menakjubkan) telah diterjemahkan dengan tepat, dan ini sudah memadai. Bagaimanapun, kerajaan tidak memberikan konteks kepada pendakwaan mereka,” katanya dalam jawapan balas yang difailkan seminggu kemudian.
“Atas sebab ini sahaja, mahkamah perlu memerintahkan supaya perbicaraan ini diadakan dengan saksi untuk menentukan jawapan kepada persoalan ‘Adakah Encik Farik bin Amin diberikan jurubahasa yang dapat memastikan dia memahami prosiding ini?’”
Sekiranya jawapan itu tidak, maka Farik bin Amin "mesti diberikan pendakwaan yang baru," katanya dalam jawapan itu.
Funk menyatakan bahawa keengganan pihak pendakwa raya untuk mendedahkan bahawa adanya isu berhubung penterjemahan semasa pendakwaan dilakukan "menunjukkan bahawa mereka sanggup menyembunyikan fakta yang menyusahkan. Malah, perlakuan ini menjelaskan bahawa mereka sebenarnya tidak peduli sama ada Encik Farik bin Amin boleh memahami prosiding itu.”