Keluarga mangsa pengeboman Bali ceritakan kesengsaraan mereka di mahkamah Guantanamo
2024.01.24
Teluk Guantanamo, Cuba

Dua dekad selepas insan tersayang mereka terbunuh dalam pengeboman Bali pada 2002, saudara-mara mangsa tampil memberi keterangan pada prosiding jatuh hukum pada Rabu ke atas dua tertuduh Malaysia, dengan menggambarkan kesengsaraan berterusan yang dialami mereka.
Sambil membaca kenyataan mangsa terhadap Mohammed Farik bin Amin dan Mohammed Nazir bin Lep - yang kedua-duanya telah mengaku bersalah membunuh dalam serangan itu - Susanna Miller dari Britain menceritakan bagaimana beliau pergi ke Bali selepas abangnya, Dan, 31, dilaporkan hilang.
Beliau berharap abangnya akan selamat.
"Tiada keajaiban yang berlaku," katanya sambil memberitahu bahawa mayat abangnya dikenal pasti melalui ujian DNA.
"Kami inilah insan sebenar yang sengsara... menderita akibat kematian amat menyakitkan," kata Miller di mahkamah tentera di Pangkalan Tentera Laut AS di Cuba.
Dan adalah antara 202 orang yang terbunuh dalam dua pengeboman yang memusnahkan sebuah kelab malam dan sebuah bar di Bali pada malam 12 Okt. 2002. Serangan pengganas paling maut di Indonesia itu dipersalahkan kepada sekutu Asia Tenggara al-Qaeda.
Isteri Dan yang baru dikahwininya selama lima minggu, Polly, terselamat tetapi melecur hampir separuh badannya. Polly juga menderita dan terpaksa menjalani beberapa pembedahan, kata Miller. Keluarga itu dapat mengumpulkan 3 juta pound untuk mangsa-mangsa dewasa yang melecur akibat terbakar.
Miller berkata kakak iparnya turut menulis kenyataan impak mangsa tetapi tidak dapat ke mahkamah itu di Cuba.
"Ia akan kekal bersama saya selama-lamanya," kata Miller. “Ia tidak sepatutnya berlaku.”
"Saya berucap pada majlis perkahwinan, pengebumian Dan dan kini di sini pula," katanya kepada mahkamah.
Pada awal hari itu, pasangan dari Florida - Frank Heffernan dan Bonnie Hall - memberitahu mahkamah mengenai anak perempuan Heffernan, Megan, yang berusia 28 tahun ketika dia terbunuh di Bali.
"Megan adalah insan yang jiwanya hampir bebas sepenuhnya seperti mana yang dinikmati oleh anak-anak Tuhan," kata Heffernan dalam keterangannya.
"Kami pastinya meratapi kehilangan Megan selama-lamanya," katanya, sambil memberitahu bahawa beliau sentiasa mengingati dan berdoa untuk anaknya itu setiap hari.
Heffernan berkata abang dan kakak Megan juga mencacah tatu bagi memperingatinya.
"Dunia tidak lagi indah tanpa Megan," katanya.
"Mereka mesti hidup dengan perasaan penuh aib."
Isteri Heffernan selama 20 tahun, Bonnie Hall, pula merujuk Megan sebagai anak tirinya.
Hall bercakap tentang ibu Megan, Sandy, yang telah berkahwin dengan Heffernan selama 25 tahun.
Beliau berkata Sandy sedang menghadiri persidangan jauh dari kediamannya di Anchorage, Alaska.
"Pastinya beliau berasa amat kecewa," kata Hall, sambil menyatakan bahawa Sandy bersendirian di dalam bilik hotel dan terpaksa pulang sendirian selepas menerima berita itu.
Seorang lelaki meletakkan lilin di tapak peringatan untuk mangsa yang terkorban dalam pengeboman Bali 2002 pada ulang tahun ke-20 seranganitu yang mengorbankan 202 orang di Kuta, Bali, Indonesia, 12 Okt. 2022. [Sonny Tumbelaka/AFP]
Saksi pertama yang memberi keterangan pada Rabu ialah Matthew Arnold dari Birmingham, England, yang abangnya, Timothy, 43, terbunuh dalam pengeboman itu.
Arnold berkata abangnya tinggal di Singapura bersama tunangnya, seorang warga Thailand, yang terpaksa pulang ke Bangkok selepas kematiannya. Tunangnya hamil namun kehilangan bayinya itu.
Arnold berkata kematian Timothy amat mengecewakan bapanya, yang meninggal dunia pada 2010.
"Seolah-olah kehidupannya tidak lagi bermakna pada masa itu," kata Arnold. "Beliau tidak pernah pulih susulan kematiannya."
Arnold berkata beliau dan keluarga mangsa lain juga berusaha mendapatkan keadilan, sambil memberitahu bahawa usaha itu memakan masa dan wang.
“Kesengsaraa ini berterusan sehingga hari ini,” katanya.
Walaupun keseluruhan ruang mahkamah dapat dilihat dari cermin bilik sebelah yang dipenuhi pemberita yang membuat liputan prosiding itu, paparan TV menunjukkan prosiding secara litar tertutup yang disiarkan lewat 40 saat atas faktor keselamatan. Pegawai tentera juga melarang gambar dirakam dalam ruang mahkamah itu.
Prosiding itu disambung pada Khamis kerana kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk menyampaikan kenyataan mereka di mahkamah. Selain itu, adik-beradik Farik iaitu Faizal dan Fadil bin Amin tiba di Cuba pada Selasa dan boleh bercakap bagi pihak saudara kandung mereka itu.
Pada 18 Jan, pendakwa raya berkata berlakunya kerumitan untuk mendapatkan visa bagi kedua-dua lelaki itu dan mereka mungkin tidak dapat pergi ke Teluk Guantanamo. Peguam bela Christine Funk meluahkan rasa kekecewaannya dengan menyatakan bahawa pasukannya telah menghabiskan masa berbulan-bulan untuk mendapatkan kelulusan yang sepatutnya.
Lebih seminggu yang lalu, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir mengaku bersalah melakukan pembunuhan, konspirasi dan tiga pertuduhan lain yang berkaitan dengan pengeboman Bali 2002. Selepas menerima pengakuan itu, Hakim Wesley Braun, seorang pegawai Tentera Udara AS mengesyorkan mereka menjalani hukuman penjara 20 hingga 25 tahun dan dihantar pulang ke negara ketiga.
Panel lima pegawai tentera, yang serupa dengan juri di mahkamah awam, tidak perlu bersetuju dengan cadangan hakim. Mereka akan mula berbincang selepas mendengar semua kenyataan dan hujah penutup.
Pegawai polis memeriksa kelab malam yang musnah akibat letupan bom di Kuta, Bali, Indonesia, 13 Okt. 2002. [Gambar fail AP]
Mohammed Farik dan Mohammed Nazir telah ditangkap di Thailand pada 2003 dan kemudian dihantar ke tapak hitam CIA di lokasi yang tidak diketahui sebelum dipindahkan ke Guantanamo pada 2006 di mana mereka telah dipenjarakan. Penjara di sini dibuka pada 2002 sebagai sebahagian daripada Perang AS Menentang Keganasan susulan serangan pengganas pada 11 September 2001 ke atas New York dan Washington.
Kedua-dua lelaki itu dibawa ke pangkalan Tentera Laut AS di Guantanamo pada tahun yang sama dengan Encep Nurjaman, seorang warga Indonesia yang juga dikenali sebagai Hambali, yang turut dihantar ke tapak hitam itu selepas penahanannya di Thailand pada 2003.
Dia disyaki menjadi perancang utama pengeboman Bali. Ketiga-tiga warga Asia Tenggara itu pada asalnya akan dibicarakan bersama di Guantanamo tetapi kes Hambali dipisahkan daripada kes rakyat Malaysia tersebut pada 2023.
Dokumen pertuduhan yang difailkan terhadap rakyat Malaysia itu dan Encep Nurjaman Indonesia menyatakan bahawa pada penghujung 2001 "termasuk tempoh sebelum, semasa, dan selepas pengeboman Bali 12 Oktober 2002", Mohammed Farik dan Mohammed Nazir membantu Nurjaman "memindahkan wang untuk operasi, dan mendapatkan serta menyimpan barang-barang seperti dokumen pengenalan diri palsu, senjata dan arahan tentang cara membuat bom."
Dokumen tersebut menyatakan bahawa seorang pengebom berani mati masuk ke Paddy’s Bar di Bali pada 12 Okt. 2002 dan meletupkan jaket yang dipakainya manakala pengebom berani mati kedua memandu van yang "sarat bahan letupan" ke lokasi berhampiran Kelab Sari sebelum meledakkan bom itu.