Guantanamo: Rakyat Malaysia mengaku bertanggungjawab dalam insiden pengeboman Bali, dakwa sudah berubah
2024.01.25
Teluk Guantanamo, Cuba

Dua lelaki rakyat Malaysia yang mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh minggu lepas melalui peranan yang dimainkan mereka dalam insiden pengeboman Bali 2002 memaklumkan mahkamah tentera di Teluk Guantanamo pada Khamis bahawa mereka sudah berubah selepas berada lebih dua dekad dalam tahanan AS.
Mohammed Farik bin Amin dan Mohammed Nazir bin Lep berkata demikian semasa prosiding jatuh hukum terhadap mereka di bilik perbicaraan Kem Keadilan di sini sehari selepas saudara mara sebahagian daripada 202 mangsa yang terbunuh dalam insiden pengeboman itu menceritakan kesakitan serta kepedihan yang terpaksa dilalui sehingga hari ini.
Panel yang terdiri daripada lima pegawai tentera dijangka memutuskan hukuman ke atas kedua-dua defendan pada Jumaat di Pangkalan Tentera Laut AS di Cuba.
“Saya minta maaf. Saya mengaku bertanggungjawab atas segala tindakan saya,” kata Mohammed Farik kepada mahkamah sambil menambah dia tidak berniat untuk memberikan sebarang alasan.
Semasa sesi pendengaran kes itu pada Khamis, peguamnya mengemukakan lakaran oleh Mohammed Farik yang memaparkan teknik 'waterboarding' dan penyeksaan lain yang didakwa terpaksa ditempuhi ketika dia berada dalam tahanan AS sebelum dihantar ke Teluk Guantanamo pada 2006.
“Saya bukan lagi orang muda yang berdarah panas dan mudah melenting,” katanya lagi.
Mohammed Nazir turut membuat kenyataan serupa.
“Saya sudah berubah dan menjadi insan yang lebih baik berbanding 20 tahun lepas,” katanya kepada panel itu. “Saya belajar daripada kesilapan saya.”
Meskipun kedua-dua defendan bertutur dalam Bahasa Inggeris, seorang jurubahasa terpaksa menterjemah beberapa frasa yang diungkapkan oleh Mohammed Farik agar difahami oleh mereka yang hadir di kamar mahkamah itu.
Tahanan dari Afghanistan duduk dalam sel mereka di Kem X-Ray, Pangkalan Tentera Laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba, 2 Feb 2002. [Lynne Sladky/gambar fail AP]
Dalam kenyataannya di mahkamah, Mohammed Farik berkata dia telah pergi ke Afghanistan sebelum insiden pengeboman Bali di mana dia berasa bimbang dengan penderitaan orang Islam di seluruh dunia. Mohammed Farik berkata dia ingin membela agamanya.
Katanya dia bersetuju menghantar sejumlah wang pada Disember 2002 bagi membantu mereka yang terlibat dalam serangan yang berlaku di pulau peranginan Indonesia tersebut dua bulan sebelum itu.
“Saya ingin maklumkan bahawa saya sudah berubah menjadi seorang insan yang lebih baik,” kata Mohammed Farik ketika mengakhiri kenyataannya. “Saya serahkan kepada anda untuk menentukan nasib saya."
Mohammed Nazir
Selepas memperkenalkan diri, Mohammed Nazir mengakui segala kesalahannya. “Saya bersalah bagi peranan yang telah saya mainkan dalam insiden pengeboman Bali itu.
“Saya ingin menyatakan bahawa saya minta maaf,” katanya. “Tindakan saya salah dan saya terpaksa hidup dengan apa yang telah saya lakukan buat selama-lamanya.”
Mohammed Nazir, 47, berkata insiden pengeboman itu berlaku ketika dia masih “muda, tidak matang dan degil.”
“Hanya dengan usia dan kematangan barulah saya memahami perkara itu sepenuhnya.”
Mohammed Nazir dan Mohammed Farik, 48, juga berkata mereka telah bekerjasama dengan pihak pendakwaan. Mohammed Farik berkata dia mula memberikan kerjasama itu pada 2014.
Bagi pihaknya, Mohammed Nazir berkata, “Saya di sini untuk memberikan kerjasama sepenuhnya.”
Selain itu, kedua-dua lelaki berkata mereka telah diseksa susulan penahanan mereka pada 2003 di Thailand. Mereka telah dibawa ke tapak hitam CIA di mana kedua-duanya berada dalam tahanan sehingga dipindahkan ke sini pada 2006, demikian menurut satu laporan siasatan kongres AS.
Mohammed Farik berkata dia tidak mahu membandingkan apa yang berlaku terhadapnya semasa berada dalam tahanan CIA dengan apa yang terjadi kepada mangsa yang terkorban atau cedera dalam letupan berganda Bali pada 12 Okt 2002.
“Saya tidak berniat untuk bersaing dengan mangsa,” katanya.
Sanak saudara berdoa untuk mangsa pengeboman Bali semasa ulang tahun peringatan ke-20 insiden serangan yang mengorbankan 202 orang, kebanyakannya pelancong asing termasuk 88 rakyat Australia dan tujuh rakyat Amerika, di Monumen Peringatan Insiden Pengeboman Bali di Kuta, Bali, Indonesia, 12 Okt 2022. [Firdia Lisnawati/AP]
Peguam utama Mohammed Farik, Christine Funk, telah mengemukakan beberapa siri lukisan yang dihasilkan ketika dia dalam tahanan di Thailand dan tapak hitam CIA. Funk telah menyoal anak guamnya mengenai lukisan itu kerana beliau berkata Mohammed Farik tidak selesa ketika bercakap mengenai seksaan yang ditempuhi susulan penahanannya sebelum dihantar ke Guantanamo.
Lukisan pertama memaparkan Mohammed Farik yang sedang tersenyum.
Beberapa lukisan lain memaparkan bagaimana dia diseksa termasuk menggunakan teknik 'waterboarding.' Kebanyakan masa dia dalam keadaan telanjang bogel manakala tangan dan kakinya dirantai.
Satu daripada lukisan itu memaparkan seseorang sedang mengambil gambarnya dan dilihat oleh seorang individu lain. Mohammed Farik berkata dia dalam keadaan telanjang bogel dan tidak dibenarkan menutup tubuhnya.
Orang itu “telah menampar tangan saya.”
Mohammed Nazir pula berkata dia telah melihat lukisan itu dan dia juga berdepan seksaan serupa. Bagaimanapun, dia memaafkan mereka yang melakukan perbuatan itu terhadapnya.
Para pegawai tentera di Pangkalan Tentera Laut itu telah melarang wartawan daripada menyiarkan mana-mana imej terbabit ketika membuat laporan mengenai sesi prosiding mahkamah pada Khamis. Pengambilan gambar di kamar mahkamah turut dilarang.
Adik-beradik defendan beri keterangan
Terdahulu, dua beradik iaitu Mohammed Fadil dan Mohammed Faizal bin Amin telah memberi keterangan bagi pihak adik mereka. Mereka tiba pada Selasa iaitu beberapa hari selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa kedua-dua beradik itu tidak mendapat visa untuk melakukan perjalanan ke AS.
Mohammed Fadil, yang merupakan anak sulung daripada 10 beradik, berkata beliau telah mendengar keterangan ahli keluarga mangsa pada Rabu. Mohammed Farik adalah anak keenam dalam keluarga itu.
“Ini adalah kali pertama saya mendengar kisah yang begitu meruntun hati,” katanya dalam bahasa Inggeris. “Kalau boleh saya ingin peluk semua orang.”
Mohammed Fadil, yang tinggal di Kuala Lumpur, berkata ibu bapa mereka telah mengajar mereka untuk mengikuti ajaran Islam. Ibu mereka memastikan bahawa mereka solat, mempunyai tingkah laku yang baik, jujur serta membesar sebagai insan berguna.
Seorang arkitek, Mohammed Fadil belajar di England manakala adik perempuannya melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat.
Beliau berkata ibu bapanya sering menekankan bahawa “Amerika atau negara Barat adalah sumber peluang.”
Mohammed Faizal pula mengikut jejak abangnya untuk memberikan keterangan di kandang saksi – beliau adalah anak kelima dalam keluarga mereka.
Berusaha menahan sebak ketika memberi keterangan, Mohammed Faizal berkata beliau dan adiknya, Mohammed Farik rapat ketika mereka kecil.
“Kami membesar bersama. Kami main sembunyi-sembunyi bersama,” katanya.
Mohammed Faizal menyifatkan adiknya sebagai seorang yang pemalu dan rendah hati serta menambah bahawa dia adalah yang paling alim dalam kalangan mereka 10 beradik.
Katanya beliau gembira apabila Mohammed Farik mengaku bertanggungjawab atas tindakannya sambil menambah beliau tidak tahu apa kesan pengakuan itu.
Minggu lepas, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh, konspirasi dan tiga lagi berkaitan insiden pengeboman itu.
Susulan pengakuan itu, Hakim Mahkamah Tentera Wesley Braun mengesyorkan hukuman penjara antara 20 hingga 25 tahun. Panel itu, yang dijangka memulakan perbincangan pada Jumaat, tidak semestinya menerima syor itu.
Kedua-dua defendan telah dibawa ke Pangkalan Tentera Laut AS di sini pada tahun yang sama dengan Encep Nurjaman, seorang rakyat Indonesia juga dikenali sebagai Hambali, yang disyaki sebagai perancang utama serangan Bali itu.
‘Hidup anda telah musnah’
Prosiding itu dimulakan dengan keterangan Solomon Miller, yang membaca kenyataan daripada neneknya. Pada Rabu, Miller dan ibunya Susanna berbicara mengenai adik lelaki Susanna iaitu Dan, 31, yang maut dalam letupan tersebut.
Solomon berkata ibunya menulis mengenai legasi Dan yang hebat – satu dana yang berjaya mengumpulkan berjuta-juta pound untuk membantu mangsa dewasa yang terbakar dalam serangan itu.
“Hidup anda telah musnah dan tidak bernilai sama sekali,” katanya kepada kedua-dua rakyat Malaysia sambil mengakhiri kenyataan neneknya.
Ibunya Susanna juga kembali ke kandang saksi untuk membacakan kenyataan daripada adik iparnya, Polly, yang berkahwin dengan Dan lima minggu sebelum letupan itu. Polly mengalami kecederaan akibat terbakar hampir di sebahagian daripada tubuhnya dan terpaksa hidup dengan kesakitan.
Rakyat Australia Jan Laczynski pula telah menghantar e-mel kepada Braun yang menyatakan bahawa beliau kehilangan lima rakan dalam insiden pengeboman itu yang telah “mengubah hidup saya buat selamanya.”
“Tolong jangan beri diskaun terhadap memori kesemua mangsa ini dan melepaskan kedua-dua defendan dengan hukuman ringan yang tidak wajar,” katanya.
“Ia adalah tragedi 9/11 kita.”
Serpihan bom dari Kelab Malam Sari dan bangunan sekitarnya dapat dilihat di Kuta, Bali, Indonesia, 15 Okt 2002. [Achmad Ibrahim/fail AP]
Laczynski berkata beliau sering ke Kelab Sari sebelum insiden pengeboman itu dan menambah telah dimaklumkan bahawa e-melnya akan dimasukkan sebagai bukti di hadapan panel tersebut.
Katanya beliau berharap dapat menyaksikan keputusan prosiding itu.
“Saya amat kecewa kerana tidak dapat menyaksikan prosiding itu secara dalam talian,” katanya kepada wartawan BenarNews di Indonesia.
Katanya beliau kini “amat gementar dan berharap kedua-dua pengganas akan terus dipenjara atau dihantar pulang ke Malaysia untuk dipenjara. Ia adalah satu penghinaan jika mereka dibebaskan.”
Ahmad Syamsudin di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.