Laman Sosial Rasmi Facebook dan Twitter Polis Malaysia Digodam
2015.07.13

Laman sosial rasmi Facebook dan Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digodam lebih dua jam oleh pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai #AnonGhost, kembali pulih seperti sedia kala, pada kira-kira pukul 5 petang.
Penggodam dipercayai mula menggodam kedua-dua akaun milik pasukan itu pada kira-kira pukul 2.20 petang Isnin dengan menukar gambar kulit muka hadapan dan gambar profil laman sosial Facebook PDRM.
Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya pada kira-kira pukul 6 petang berkata “Alhamdulillah Facebook dan Twitter PDRM telah pulih. Tahniah team sosial media PDRM,”
Terdahulu itu, Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) PDRM Asmawati Ahmad mengesahkan bahawa laman web pasukan itu telah digodam oleh mereka yang menggelar diri sebagai #Anon Ghost.
“Sebarang maklumat yang dikeluarkan melalui kedua-dua platform tersebut sehingga kini bukan daripada pentadbir rasmi PDRM,
“Sehingga kini, akaun Facebook dan Twitter PDRM masih belum dapat dibaik pulih,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada pukul 4.20 petang Isnin.
Semasa laman sosial Facebook PDRM digodam, penggodam telah menukar gambar di bahagian 'cover photo' kepada gambar seorang individu berdiri sambil memegang bendera tertera Negara Islam Syria dan Iraq yang tertulis 'La ila ha ill alah' dan berlatarbelakangkan tulisan 'Khilafah Has Returned' manakala gambar profil menggunakan gambar bahagian mata dengan tulisan tertera 'La ila ha ill alah', Allah, Rasul, Muhammad'.
Penggodam kemudiannya mengemas kini laman sosial FB itu dengan memuat naik sekeping gambar sepasukan lelaki memegang senjata dengan kapsyen 'VIVA ISLAMIC STATE!'.
Kemas kini yang dibuat penggodam berkenaan turut memperkenalkan diri mereka sebagai 'We are :Mauritania Attacker - AnonxoxTn - StingerByte - Mr.Domoz - Th3Falcon - HusseiN98D - Dr'SaMiM-008 - n0name-haxor - hAxOr tr0jAn - BillGate - Mr.Ajword - Extazy007 - Psyco_Hacker - Black Cracker - Virusa Worm - Donnazmi - X-Wanted - De_Reb0rNz - Tunisian Cracker - L'APoca-Dz - Psyf3r - Vortex'.
Penggodam juga mengubah suai status dengan menulis 'kami warga pdrm tak sabar tunggu najib letak jawatan'.
Laman Twitter pasukan itu juga telah digodam dengan tweet yang sama seperti dalam akaun Facebook PDRM.
Pihak PDRM baru-baru ini menahan beberapa rakyat tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq kerana berkomplot untuk melancarkan serangan di beberapa sasaran penting di Lembah Klang.
Khalid dalam satu kenyataan media pada Khamis lepas berkata, polis menahan dua lelaki kerana dipercayai cuba melancarkan serangan keatas kedutaan-kedutaan asing dan terhadap beberapa bangunan milik syarikat multinasional negara Eropah di kawasan Lembah Klang.
Katanya, kedua-dua lelaki itu ditahan dalam operasi berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis (2 Julai) dan Selasa (7 Julai) lepas.
Pada April lepas Polis menangkap sekumpulan 17 orang dan kemudiannya 12 orang lagi yang disyaki mempunyai hubungan dengan jaringan kumpulan militan IS. Polis juga menggagalkan rancangan kumpulan itu, untuk melancarkan serangan di ibu negara Kuala Lumpur.
Mahkamah Tinggi Malaysia pada akhir Jun lepas telah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 18 dan 12 tahun terhadap dua beranak yang merupakan bekas anggota militan IS selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan di Malaysia.
Dalam pada itu, pada 13 Jun lepas, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis telah menahan 108 individu yang mempunyai elemen pembabitan dalam kegiatan militan itu.
"Daripada jumlah itu, enam individu telah didakwa manakala selebihnya masih dalam siasatan polis dengan sejumlah 66 individu dari Malaysia dilaporkan berada di Syria dan Iraq," katanya.