1MDB: Permohonan Maaf Goldman Sachs 'Tidak Cukup', kata Menteri Malaysia

Hadi Azmi & Ali Nufael
2019.01.18
Kuala Lumpur, Malaysia
190118-MY-GoldmanSach620.jpg Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng ketika menghadiri sidang berita di Putrajaya, 18 Jan., 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Menteri Kewangan Malaysia pada Jumaat menggambarkan permohonan maaf daripada firma kewangan global, Goldman Sachs, berhubung kaitannya dengan skandal 1MDB sebagai tidak mencukupi, dan menuntut supaya ia membayar sebanyak AS$7.5 bilion (RM30.85 bilion) sebagai pampasan untuk menyelesaikan masalah itu.

Menteri berkenaan Lim Guan Eng membuat kenyataan itu dalam maklum balasnya kepada permohonan maaf Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Goldman Sachs, David Solomon, kepada rakyat Malaysia awal minggu ini berikutan peranan bekas ketua firma itu bagi Asia Tenggara, Tim Leissner, dalam penyelewengan 1MDB, yang membawa kepada penyingkiran kerajaan Perdana Menteri Najib  Razak pada tahun lepas.

"Mohon maaf sahaja tidak cukup. Ia perlu, tetapi belum mencukupi. Kami mahu mndapatkan pampasan $7.5 bilion, "kata menteri kewangan itu di Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia.

"Sekiranya kami tidak menukar kerajaan pada 9 Mei, apakah Goldman Sachs akan membuat permohonan maaf?" soal beliau.

Leissner telah mengaku bersalah di sebuah mahkamah Amerika Syarikat pada tahun lalu atas pertuduhan berkonspirasi untuk melakukan pengubahan wang dan rasuah berhubung urusannya dalam skandal yang menyelubungi 1MDB, dana negara yang diasaskan Najib pada 10 tahun lalu.

Dalam satu kenyataan mahkamah, Leissner berkata dia telah menyembunyikan fakta-fakta tertentu daripada Goldman, dan mendakwa bahawa ia adalah ‘sangat selari’ dengan budaya di bank berkenaan, menurut laporan.

Seorang lagi pegawai kanan Goldman, Roger Ng, ditahan di Malaysia pada November lalu atas permintaan pihak berkuasa AS dan dia sedang berusaha menolak ekstradisi ke AS selepas membat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan yang difailkan oleh pihak berkuasa Malaysia terhadapnya.

Kira-kira AS$4.5 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB oleh pegawai-pegawai tinggi dana itu dan rakan-rakan mereka antara 2009 dan 2014, menurut Jabatan Kehakiman AS.

Goldman telah mengaturkan urusniaga tiga bon yang dapat meraih hasil $6.5 bilion untuk 1MDB tetapi, menurut Wall Street Journal, sebahagian besar daripada wang itu telah hilang.

Berikutan kekalahannya pada pilihan raya umum lalu, Najib telah didakwa dengan berpuluh-puluh pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang melibatkan wang berkaitan 1MDB.

Pada Rabu, Salomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas peranan Leissner dalam skandal 1MDB.

"Amat jelas bahawa rakyat Malaysia telah ditipu oleh banyak individu, termasuk anggota tertinggi kerajaan terdahulu," katanya.

“Bagi peranan Leissner dalam penipuan itu, kami memohon maaf kepada rakyat Malaysia."

Pada Khamis, Najib memberi maklum balas kepada permohonan maaf Salomon dengan menyatakan bahawa Goldman Sachs mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya kerana gagal melindungi kepentingan Malaysia dalam skandal tersebut.

Bercakap dalam satu wawancara dengan CNN di Hong Kong, Lim berkata adalah munasabah bagi Malaysia untuk mendapatkan pampasan sebanyak AS$7.5 bilion daripada firma kewangan selepas negara itu terpaksa melalui penderitaan dan trauma akibat skandal tersebut.

"Kita mestilah ada perasaan. Kadang-kala kita bertanya, apakah Goldman mempunyai perasaan?" kata Lim yang dipetik sebagai berkata demikian.

Sementara itu, Oh Ei Sun, seorang pegawai kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Goldman Sachs jelas cuba menenangkan kerajaan Malaysia ketika Kuala Lumpur sedang berusaha mendapatkan ganti rugi bagi urusniaga yang dilakukan bank itu dengan 1MDB.

"Tetapi mereka juga cuba menterbalikkan persepsi negatif para pelabur Amerika terhadap prestasi saham mereka," katanya kepada BeritaBenar.

Sambil menjelaskan bahawa bayaran balik atau pampasan adalah sekurang-kurangnya langkah yang boleh dilakukan firma perbankan gergasi itu bagi menunjukkan keprihatinannya, Oh berkata sikap pelabur serta pilihan bakal pelanggan pada masa depan adalah jauh lebih penting.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.