Peruncit, Pengguna Dijangka Nikmati Manfaat Daripada Tempoh Singkat Tanpa Cukai
2018.06.04
Kuala Lumpur, Malaysia

Peruncit dan pengguna Malaysia dijangka menikmati manfaat semasa tempoh singkat tanpa cukai berikutan langkah kerajaan baru menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang tidak popular dan menggantikannya dengan cukai jualan baru yang lebih berkesan pada September depan.
Sementara itu, kerajaan Perdana Menteri Mahathir Mohamad percaya ia dapat memastikan defisit belanjawan negara dalam keadaan terkawal meskipun melaksanakan pemansuhan 6 peratus GST, yang diperkenalkan pada 2015 oleh pentadbiran Barisan Nasional yang dipimpin Najib Razak.
Pakatan Harapan pimpinan Mahathir, yang mencatatkan kemenangan besar pada pilihan raya umum 9 Mei, berjanji untuk menghapuskan GST jika ia dapat berkuasa, dengan menyatakan bahawa cukai yang menghasilkan berbilion ringgit bagi pendapatan kerajaan itu telah menyebabkan berlakunya peningkatan kos sara hidup rakyat.
Sebaliknya, kerajaan baru itu merancang untuk mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan yang lebih sederhana berkuat kuasa 1 Sept nanti.
Peruncit dan pengguna berkata, mereka akan mendapat manfaat daripada sifar peratus GST berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Amanullah Maideen, ahli Persatuan Peruncit Malaysia berkata, harga barang akan terus menurun apabila barangan stok lama dapat dijual dan barangan stok baru yang sifar GST diperoleh.
"Harga akan menjadi lebih murah apabila barangan stok baru tiba, ia pasti murah."
Amanullah, yang juga presiden Persatuan Pemborong dan Peruncit Islam Malaysia (MAWAR) berkata, para peruncit berasa lega kerana tidak lagi perlu berdepan dengan beban dokumentasi berikutan pemansuhan GST. Terdapat penalti 10 peratus sehari bagi mereka yang lewat mengemukakan dokumentasi pulangan cukai mereka.
Kerajaan berkata, semua syarikat diberikan tempoh sebulan untuk menggantikan tag harga barangan bagi menunjukkan pelarasan harga, yang dijangka melonjakkan lagi jualan menjelang sambutan Aidilfitri selepas berakhirnya bulan berpuasa Ramadan bagi umat Islam.
"Kami tahu mereka yang ingin membeli barangan besar seperti TV atau peti sejuk telah meninjau harga untuk beberapa minggu yang lalu dengan harapan dapat membuat pembelian selepas GST diletakkan pada kadar sifar," kata Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Roslan Mahyuddin seperti yang dipetik oleh akhbar The Star.
"Saya percaya dengan harga barangan diturunkan sekarang, orang ramai akan merasa adanya galakan untuk berbelanja," katanya selepas melakukan pemeriksaan harga di pusat-pusat jualan.
Kerajaan dijangka kehilangan RM21 bilion (AS$ 5.28 bilion) hasil pendapatan tahunan berikutan pemansuhan GST, tetapi ia tetap yakin bahawa defisit belanjawan tidak akan meningkat kerana adanya langkah-langkah perbelanjaan berhemat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada taklimat kepada media asing di pejabatnya minggu lalu.
"Langkah-langkah ini tertumpu kepada mengkaji semula perbelanjaan, termasuk mengurangkan, menangguhkan dan menghapuskan program dan projek bertindih dan tidak perlu disegerakan," katanya, yang mengunjurkan penjimatan sebanyak RM10 bilion (AS$ 2.5 bilion) dalam kos perbelanjaan tahunan.
Defisit bajet yang diunjurkan kerajaan juga akan meningkat sedikit kepada RM40.1 bilion (AS$ 10 bilion) pada 2018 berbanding RM39.8 bilion dengan defisit dikekalkan pada 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), nilai barang dan perkhidmatan yang dihasilkan negara.
Kerajaan turut percaya bahawa RM21 bilion (AS$ 5.2 bilion) yang dimasukkan ke tabung kerajaan menerusi GST sebaliknya akan disuntik ke dalam ekonomi dalam negara dalam bentuk pendapatan boleh guna.
Lim dan para pegawai lain menyatakan bahawa kerajaan baru mereka telah mewarisi hutang dan liabiliti yang berjumlah RM1 trilion (AS$ 250 bilion), dan menyalahkan pentadbiran Najib, yang dibelenggui dakwaan skandal, bagi keadaan itu. Najib sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah melibatkan skandal berbilion dolar dana negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas perdana menteri itu berkata bahawa GST diperkenalkan untuk menghentikan negara pengeluar petroleum itu daripada terlalu bergantung kepada pendapatan minyak.
Sementara itu, cukai jualan dan perkhidmatan baru (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Sept ini dijangka meraih pendapatan tambahan sebanyak RM4 bilion (AS$1 bilion) tahun ini, demikian dianggarkan Kementerian Kewangan.
Kadar SST dijangka sekitar 10 peratus. SST adalah sistem cukai Malaysia sebelum pelaksanaan GST pada 2015.
"Ia akan menjadi satu cukai baru, kami tidak akan melaksanakan cukai SST seperti sebelum ini. Ada perkara yang kami sedang semak sekarang. Pada masa yang sama, kami berikan tiga bulan tanpa cukai sehingga kami membentangkan SST baru di Parlimen pada September ini, "kata Lim.
GST dikenakan ke atas produk dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian bekalan manakala SST terhad kepada pembuatan dan perkhidmatan dan dikenakan hanya pada satu peringkat.