Kaji semula dasar nafi hak kanak-kanak pelarian, tanpa kerakyatan dapat pendidikan formal
2022.12.12
Kuala Lumpur

Yang DiPertuan Negeri Sembilan menggesa kerajaan mengkaji semula dasar yang boleh menghapuskan kitaran generasi kemiskinan di kalangan kanak-kanak pelarian dan tanpa kerakyatan yang dinafikan hak pendidikan formal hanya disebabkan Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.
Tuanku Muhriz Munawir dalam titah ucapan semasa sambutan Hari Hak Asasi Manusia telah menyuarakan bertapa pentingnya diberikan akses pendidikan yang menyeluruh dan saksama terhadap semua kanak-kanak termasuk kepada pelarian dan tanpa kerakyatan sebagai usaha membawa keluar daripada kemiskinan yang sekaligus dilihat dapat memberi manfaat jangka masa panjang kepada negara.
"Polisi kerajaan telah menafikan kanak-kanak pelarian dan tanpa kerakyatan daripada mendapat akses kepada pendidikan secara formal. Polisi ini telah mengakibatkan kitaran kemiskinan secara bergenerasi serta kemiskinan yang membebankan masyarakat.
“Sekiranya anak-anak ini diberikan peluang untuk mendapat pendidikan, mereka akan dapat berdikari dan tidak bergantung harap kepada bantuan kerajaan," titah Tuanku Muhriz semasa merasmikan forum setengah hari sempena Hari Hak Asasi Manusia 2022 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Kuala Lumpur pada Isnin.
Tuanku Muhriz merupakan pembesar negeri daripada Negeri Sembilan dan antara sembilan Raja-Raja Melayu di Malaysia.
“Apabila kita mempertimbangkan mengenai hak asasi, yang paling mungkin ‘tertinggal’ ialah mereka yang terpinggir - yang miskin, tanpa kerakyatan dan pelarian. Ini khususnya terpakai kepada hak setiap individu bagi kemudahan kesihatan dan pendidikan.
“Sehubungan itu patik menyeru kerajaan untuk berinteraksi lebih rapat dengan pertubuhan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan untuk mengkaji beberapa dasar kerajaan, di mana dengan langkah itu negara boleh bersama memastikan tiada yang tertinggal,” titah Tuanku Muhriz lagi.
Malaysia adalah negara yang tidak menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara itu, ia juga tidak membenarkan pelarian dan pemohon suaka bekerja secara formal, mendapat kemudahan kesihatan kerajaan di mana kanak-kanak daripada golong itu pula dinafikan hak untuk menerima pendidikan di sekolah awam.
Tetapi atas dasar kemanusiaan, Malaysia telah menjadi hos dan menerima hampir 300,000 pelarian sebagai tempat untuk berlindung, sementara menunggu dipindahkan ke negara ketiga sebagai permastautin.
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dalam statistiknya memberitahu terdapat kira-kira 48,130 kanak-kanak pelarian berusia bawah 18 tahun di Malaysia.
Pindaan akta
Dalam pada itu, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Malaysia, Azalina Othman Said berkata isu membabitkan pelarian, pendatang asing dan mereka tanpa kerakyatan adalah isu yang dihadapi setiap negara di dunia, bukan sahaja Malaysia di mana semua pemimpin dan pentadbiran sedar akan sensitiviti berdepan dengan masalah tersebut.
"Kerajaan perlu menjadi amat sensitif terhadap perkara ini [hak asasi] dan kebimbangan saya selaku menteri yang bertanggungjawab keatas undang-undang di Jabatan Perdana Menteri adalah dari segi perspektif bagaimana dunia melihat kita.
“Selaras dengan semangat hak asasi manusia, pindaan kepada Akta Suhakam 1999 akan disegerakan bagi meningkatkan keberkesanan Suhakam sebagai sebuah institusi yang terus mempromosi dan menegakkan hak asasi manusia di Malaysia.
"Suruhanjaya Undang-Undang juga akan dibentuk untuk mencadangkan pembaharuan kepada undang-undang yang diperlukan Malaysia,” beliau pada pada sambutan Hari Hak Asasi Manusian Malaysia itu.
Pada Oktober 2021, Malaysia telah diterima sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi sesi 2022-2024, selepas menerima undian majoriti sebanyak 183 ketika Perhimpunan Agung PBB di New York.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia susulan daripada pemilihan itu, kerajaan berkata bahawa ia merancang untuk memberikan tumpuan kepada hak kumpulan yang terdedah terutamanya kanak-kanak, wanita, Orang Asli dan orang tua, serta memperkasakan belia untuk memainkan peranan lebih besar dalam semua tahap pembuat keputusan.
Sementara itu, Menteri Luar Malaysia yang baharu Zambry Abdul Kadir melalui mesej videonya pada sambutan tersebut berkata, komitmen Kerajaan adalah untuk menegakkan dan mempromosikan hak asasi manusia kepada semua.
“Malaysia akan terus memajukan dan membawa hak asasi manusia ke arus perdana dengan melaksanakan pendekatan yang selaras dengan undang-undang negara, kewajipan hak asasi manusia menerusi Matlamat Pembangunan Mampan.
“Ini adalah penting kerana hak asasi manusia tidak boleh diabaikan dan perlu dilaksanakan bagi membina daya tahan semasa berdepan krisis,” kata Zambary dalam mesejnya itu.
Penyelaras Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia, Singapura dan Brunei pula berkata Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini mempunyai peluang untuk membawa polisi dan tindakan lanjut untuk mencapai matlamat pembangunan mampan negara itu dengan mengambil kira usaha berdasarkan hak asasi manusia.
"Mencapai matlamat pembangunan mampan dan agenda hak asasi manusia secara asasnya perlu bagi memastikan bahawa tidak ada mana-mana kumpulan, individu, atau wilayah yang ditinggalkan. Ini selari dengan janji yang dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah jawatannya," kata Karima El Korri.
Pada bulan lalu, Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dengan pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan dengan berkata kerajaan itu mewakili seluruh rakyat dengan mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.
"Pengiktirafan hak asasi manusia yang disertakan dengan visi pembangunan yang mementingkan perpaduan telah lama menjadi sesuatu yang penting bagi Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan budaya. Ia adalah semangat dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Karima.