Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan Lepaskan Jawatan

Hadi Azmi
2018.06.13
Kuala Lumpur, Malaysia
180613-my-judge1000.jpg Hakim Mahkamah ketika melawat tempat kejadian semasa mengendalikan satu kes berprofile tinggi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, 24 Oktober 2017.
AP

KEMASKINI pada 8 pm waktu tempatan pada 2018-06-13

Dua hakim terkemuka Malaysia mengumumkan peletakan jawatan pada Rabu selepas didesak berbuat demikian oleh kerajaan selain tentangan yang berlarutan mengenai isu pelantikan mereka yang dipersoalkan oleh ahli-ahli perundangan negara itu.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu, Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin menyatakan kedua mereka telahpun menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 7 Jun selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada 15 Mei untuk memaklumkan beliau tentang keputusan perletakkan jawatan itu mulai 31 Julai depan.

Berita peletakan jawatan Md Raus dan Zulkefli muncul selepas kedua hakim berkenaan menemui ahli Majlis Penasihat Negara pada hari Ahad, dengan pengerusinya Daim Zainuddin menyarankan supaya kedua hakim tersebut mengosongkan jawatan.

Md Raus dan Zulkefli dilantik ke jawatan masing-masing pada 1 April 2017 dan dijadualkan bersara pada 3 Ogos tahun yang sama apabila umur kedua-duanya mencecah usia persaraan wajib iaitu pada 66 tahun dan 6 bulan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Walau bagaimanapun, pada 7 Julai, 2017, kerajaan pimpinan Najib Razak mengumumkan dalam satu kenyataan media bahawa kontrak Md Raus disambung tiga tahun lagi dari 3 Ogos manakala kontrak Zulkefli pula disambung dua tahun lagi dari 28 September 2017; keputusan yang mengundang kecaman dari pelbagai pihak.

Kerajaan telah mengumumkan bahawa langkah itu dibuat mengikut Perkara 122 Perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong Malaysia, bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang telah meluluskan pelantikan itu.

Pelantikan Md Raus juga mendapat bantahan daripada badan tertinggi peguam di Malaysia, Majlis Peguam Malaysia, yang telah mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), di mana Majlis tersebut sebulat suara meluluskan usul tidak percaya terhadap keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan dua hakim tertinggi negara itu.

Resolusi yang diluluskan oleh Majlis Peguam Malaysia itu secara majoriti menolak langkah kerajaan melanjutkan pelantikan Md Raus dan Zulkefli dengan menyifatkan ia sebagai tidak berperlembagaan dan menggugat kebebasan kehakiman negara.

Dalam satu artikel yang ditulis dalam portal Free Malaysia Today pada tarikh yang sama, setiausaha Majlis Peguam Negara Chan Weng Keng berkata langkah oleh PM Najib pada waktu itu melanggar perlembagaan oleh kerana beliau pada masa yang sama terlibat dalam beberapa kes pendakwaan.

Walaupun terdapat tentangan terhadap pelantikan tersebut, kedua-dua hakim itu terus mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada 4 Ogos, 2017 sekitar jam 10 malam.

Sebaik saja pelantikan dibuat, Hakim Negara Md Raus menguruskan beberapa keputusan kontroversi melibatkan Najib dan pentadbiran beliau.

Pada 13 Mac 2018, Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Md Raus enggan membenarkan rayuan keatas dua keputusan oleh Mahkamah Rayuan yang dilakukan pada 2017 berkenaan proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya PilihanRaya dengan alasan bahawa cadangan tersebut tidak terbuka untuk semakan kehakiman.

Dalam pada itu, satu lagi panel yang dipengerusikan oleh Md Raus pada 27 Febuari lepas telah memutuskan untuk menolak rayuan keatas saman salahlaku yang berlaku dalam kerajaan ke atas perdana menteri Najib Razak berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad yang difailkan oleh Mahathir dan seorang lagi plantif.

Runtuhkan kebebasan kehakiman

Peguam dan juga pengarah eksekutif kumpulan guaman Lawyers for Liberty  dalam satu kenyataan, menyifatkan keputusan eksekutif untuk melantik kedua-dua hakim tersebut sebagai satu usaha untuk meruntuhkan kebebasan kehakiman melalui ‘pintu belakang.’

“Pelantikan mereka sebagai hakim tambahan jelas melanggar perlembagaan, tetapi mereka terus memegang jawatan mereka hampir setahun walaupun menerima banyak kritikan dan turut dicabar melalui proses undang-undang yang difailkan ke atas mereka,” kata Eric.

Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa pelantikan hakim tambahan dalam Mahkamah Persekutuan cuma boleh diisi oleh hakim bersara, manakala Md Raus dan Zulkefli keduanya masih memegang jawatan hakim ketika dilantik.

Manakala peguam terkemuka Syahredzan Johan berkata peletakan jawatan Md Raus dan Zulkefli adalah jalan terbaik menyelesaikan isu berkenaan.

“Keputusan mereka untuk letak jawatan akan menghindari krisis perlembagaan yang berpanjangan yang mungkin boleh memberi kesan kepada proses pembangunan negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan.”

Beliau berkata untuk memupuk keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap kebebasan kehakiman, perdana menteri perlu mendapatkan maklumbalas dari organisasi perundangan seperti Majlis Peguam Negara, Majlis Guaman Sarawak, Majlis Perundangan Sabah dan juga Pejabat Peguam Negara sebelum menasihati Yang Di-Pertuan Agong dalam pelantikan pengganti bagi Md Raus dan Zulkefli.

Sementara itu, SPR mengumumkan bahawa tempoh jawatan pengerusinya, Mohd Hashim bin Abdullah, telah dipendekkan dan akan tamat pada 1 Julai depan.

Hashim dalam tempoh jawatannya telah bertindak luar dari kebiasaan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 seperti mengumumkan keputusan agak lewat sehingga menjadi bahan kritikan calon, media dan juga masyarakat awam.

Hashim menyertai Suruhanjaya pada tahun 2014 sebagai timbalan pengerusi sebelum dilantik menjadi pengerusi menggantikan Abdul Aziz Mohd Yusof yang tamat perkhidmatannya pada 24 Januari 2016.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.