Malaysia Hantar Pulang 88,000 Pekerja Asing Tanpa Dokumen Bawah Program Pengampunan
2021.08.02
Kuala Lumpur

Malaysia telah menghantar pulang hampir 90,000 warga asing tanpa dokumen sejak November lepas dan mengutip RM52 juta (AS$12.3 juta) denda daripada mereka di bawah satu program pengampunan kerajaan yang memberi peluang untuk berada di negara itu secara sah atau pulang ke negara asal mereka, kata Jabatan Imigresen pada Isnin.
Lebih 100,000 warga asing yang tinggal di Malaysia tanpa dokumen sah atau melebihi tempoh masa yang dibenarkan telah menyertai program 'rekalibrasi' tersebut. Tarikh akhir program itu juga telah dilanjutkan daripada hujung Jun 2021 kepada akhir tahun, menurut pihak berkuasa.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud, kerajaan dianggarkan telah kehilangan di antara RM100 juta dan RM130 juta (AS$23.7 juta ke AS$30.8 juta) dalam bentuk hasil caj levi yang sepatutnya dibayar oleh para pekerja berkenaan sekiranya mereka berada dalam negara secara sah.
"Dari segi statistik, jumlah yang telah mendaftar sehingga 1 Ogos 2021 ialah 107,524 dan seramai 88,034 daripada mereka telah pulang," kata Khairul Dzaimee ketika satu lawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin.
"Jumlah kompaun yang telah dikutip melalui program ini ialah sebanyak RM52,087,000 (AS$12.23 juta)," tambah beliau.
Dalam bulan Julai sahaja, lebih 8,000 pekerja asing tanpa dokumen telah dihantar pulang ke negara asal melalui lapangan terbang, kata Khairul Dzaimee.
BenarNews telah menghubungi kumpulan hak asasi pekerja asing Tenaganita untuk mendapatkan komen namun belum mendapat respon dari mereka. Jabatan Imigresen juga tidak memberikan respon kepada permintaan untuk mendapatkan lebih butiran mengenai penghantaran pulang pekerja asing itu.
Bagi mempercepatkan proses penghantaran pulang, lebih banyak kaunter khas imigresen telah dibuka di KLIA, kata Khairul Dzaimee, sambil menambah bahawa sesetengah daripada migran sebelum ini telah mengadu bahawa mereka terlepas penerbangan pulang kerana kesesakan yang berlaku, serta bilangan kaunter yang tidak mencukupi.
Jabatan Imigresen juga merancang untuk membuka lebih banyak kaunter di pelabuhan dan lapangan terbang di beberapa negeri lain.
Pada November lepas, Malaysia memulakan dua program rekalibrasi, di mana para warga asing tanpa dokumen diberi peluang untuk memohon dihantar pulang ke negara mereka selepas membayar denda sebanyak RM500 (AS$118), atau terus tinggal dalam negara untuk bekerja secara sah dalam sektor yang dilabelkan sebagai 'kotor, berbahaya dan sukar'.
Di bawah program tersebut, warga asing tanpa dokumen boleh menghantar permohonan kepada kerajaan melalui majikan sekiranya mahu bekerja secara sah. Hanya majikan dari empat sektor - pembuatan, pembinaan, pertanian dan perladangan - dibenarkan untuk menawarkan pekerjaan kepada para pekerja asing tanpa dokumen di bawah program itu.
Para pekerja dibenarkan untuk terus berada di Malaysia sementara majikan membuat permohonan untuk mereka, kata Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan yang dikeluarkan ketika program tersebut dilancarkan pada November 2020. Program itu juga terpakai kepada pekerja asing tanpa dokumen yang telah ditahan pihak berkuasa.
Manakala bagi pekerja asing yang didapati tidak layak untuk menyertai program, mereka dibenarkan untuk meninggalkan negara dengan dikenakan denda minima.
Kekurangan tenaga buruh
Program tersebut diperkenalkan kerajaan ketika Malaysia menghadapi kekurangan tenaga kerja disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Kementerian Dalam Negeri, yang menguruskan polis dan Jabatan Imigresen, berkata bahawa program itu adalah penting bagi pemulihan semua sektor ekonomi yang terkesan dengan impak negatif COVID-19.
Bank Dunia menganggarkan antara 1.23 ke 1.46 juta warga asing tanpa dokumen berada di Malaysia pada 2017, manakala agensi berita Reuters pula melaporkan terdapat kira-kira dua juta lagi warga asing dengan dokumen sah.
Ladang-ladang kelapa sawit di negara itu adalah antara sektor utama yang bergantung kepada tenaga buruh asing. Menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia, terdapat 265,000 pekerja asing yang sah bekerja di ladang kelapa sawit, menjadikan mereka antara 80 ke 85 peratus dari keseluruhan jumlah tenaga kerja sektor tersebut.
Pada Jun, Duta Indonesia ke Kuala Lumpur, Hermono, memberitahu media tempatan bahawa 51,000 warga Indonesia telah mendaftar untuk program rekalibrasi, dengan 44,000 daripada mereka telah dihantar pulang.
Menurut anggaran pihak kedutaan, lebih kurang 2.7 juta pekerja Indonesia masih bekerja di Malaysia, namun hanya 704,000 daripada mereka memiliki dokumen yang sepatutnya.
‘Hidup selesa’
Pada Isnin, Khairul Dzaimee turut memberi amaran akan menahan pekerja asing tanpa dokumen dan majikan yang menggajikan mereka jika gagal mengambil peluang daripada program rekalibrasi yang dilanjutkan sehingga hujung tahun itu.
"Sesiapa yang ditangkap, samada pekerja atau majikan, akan dihadapkan ke muka pengadilan," tambah Ketua Pengarah Imigresen itu.
Beliau turut mendakwa bahawa ramai warga asing tanpa dokumen yang dihantar pulang melalui program tersebut telah tinggal lebih masa di Malaysia antara tiga ke lima tahun, dan telah berjaya menjana pendapatan yang baik untuk diri mereka.
Khairul Dzaimee berkata, ramai yang pulang dengan membawa peralatan elektrik, set televisyen, serta antara dua ke tiga beg bersama mereka. Tambah beliau, sesetengah daripada mereka turut memiliki e-wallet - iaitu sejenis akaun digital prabayar atau bersambung dengan akaun bank mereka - serta kad debit, yang digunakan mereka untuk membayar denda.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, kerajaan Malaysia telah kehilangan pendapatan yang mungkin boleh diperolehi sekiranya pekerja tersebut mempunyai dokumen sah.
Para majikan dalam sektor perladangan dan pertanian perlu membayar sebanyak RM640 bagi setiap pekerja asing mereka setahun, manakala bagi mereka yang berada dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan, setiap pekerja dikenakan caj levi sebanyak RM1,850 seorang.
"Jadi, mengikut kiraan, kita anggarkan bahawa jumlah yang kerajaan gagal kutip kerana pekerja asing ini bekerja tanpa permit sah, adalah di antara RM100 dan RM130 juta," kata Khairul Dzaimee.