Dua Juruterbang TUDM Maut Dalam Nahas Jet Pejuang Terhempas

Fadzil Aziz
2017.06.15
Kuala Lumpur
170615-my-hawk-620.jpg Mangsa jet pejuang terhempas Mejar Mohd Hasri Zahari dari Bandar Baru Jempol, Negeri Sembilan (kiri) dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof dari Kuala Lumpur, 15 Jun, 2017.
[Ihsan Kementerian Pertahanan]

Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Khamis terbunuh apabila jet pejuang mereka terhempas di Cukai, Terengganu. Jet pejuang tersebut hilang dari radar 30 minit selepas berlepas dari pangkalan udara Kuantan, Pahang.

Dua juruterbang dari 6 Skuadron yang berpangkalan di TUDM Labuan, Mejar Mohd Hasri Zahari, 31 dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, terkorban dalam nahas tersebut, demikian disahkan oleh Panglima TUDM Jeneral Affendi Buang pada petang Khamis.

“Pasukan penyelamat menemui dua mayat pada pukul 2:30 petang dalam jarak 20 meter antara satu sama lain di kawasan hutan di Chukai, Terengganu.

“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua juruterbang dipercayai berjaya keluar dari pesawat menggunakan kerusi anjal dan payung terjun,” katanya dalam satu sidang media di Pangkalan Udara Kuantan pada Khamis.

Tambah Affendi, pesawat terhempas di kawasan hutan berpaya kira-kira 30 batu nautika dari Pangkalan TUDM Kuantan,  jet pejuang jenis Hawk 108 itu berlepas pada kira-kira pukul 11 pagi Khamis.

Selepas hilang dari radar, Affendi berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan bantuan sebuah pesawat Hercules C130 dan Eurocopter EC725.

Kejadian kelima membabitkan Hawk


Sehingga kini, bangkai pesawat Hawk 108 masih belum dijumpai dan usaha menjejakinya sedang dijalankan.

“Dengan bantuan helikopter, kedua-dua mayat juruterbang pesawat Hawk 108 TUDM dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan untuk proses bedah siasat,” katanya.

Difahamkan, jet itu sedang melakukan latihan rutin.

“Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof dari Negeri Sembilan telah berkhidmat selama 19 tahun dan merupakan jurulatih pesawat sejak 6 tahun lalu.

“Manakala Allahyarham Mejar Mohd Hasri Zahari pula adalah juruterbang operasi dan telah berkhidmat selama 13 tahun. Beliau berasal dari Kuala Lumpur,” kata Affendi.

Jelasnya, kali terakhir nahas melibatkan jet pejuang Hawk 108 kira-kira lebih 10 tahun lalu dan kejadian terbaharu ini, merupakan yang ke-lima melibatkan pesawat pejuang dari jenis berkenaan.

“Berikutan kejadian terbaharu itu, saya mengarahkan semua operasi melibatkan jet pejuang HAWK 108 dihentikan sementara.

“Pada masa sama, sebuah jawatankuasa khas turut ditubuhkan bagi menyiasat punca nahas.
“Lembaga siasatan itu akan menentukan tindakan sewajarnya yang perlu diambil,” katanya.

Siasatan terperinci


Sementara itu, Perdana Menteri Najib Razak menerusi laman Twitternya merakamkan takziah kepada kedua keluarga juruterbang tersebut sambil memaklumkan bahawa satu siasatan terperinci akan dibuat segera.

“Innalillah. Terima berita sedih dua juruterbang yang hilang dijumpai maut. Takziah kepada keluarga. Siasatan terperinci akan dilaksana,” katanya dalam catatan itu.

TUDM, menurut Affendi, turut mengenalpasti bantuan kebajikan yang sewajarnya untuk kedua-dua waris dan anggota keluarga juruterbang yang terlibat dalam kejadian itu.

Jet pejuang Hawk 108 buatan BAE Systems Hawk dari Britain adalah pesawat dua tempat duduk yang digunakan untuk melatih juruterbang TUDM dan mula digunakan sejak tahun 1996 sebagai pesawat latihan lanjutan dan pesawat pejuang ringan.

Mengikut rekod, TUDM memiliki enam pesawat Hawk 108 untuk tujuan latihan lanjutan dan 16 unit Hawk 208.

Disember lalu, sebuah pesawat jenis Beechcraft King Air 200T juga milik TUDM terhempas selepas berlepas dari Pangkalan TUDM Subang

Kejadian itu mengorbankan seorang juruterbang dan mencederakan tiga anak kapal pesawat.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.