Dua Negeri Di Utara Malaysia Tutup Semua Sekolah
2016.03.21
Kuala Lumpur

Malaysia menutup semua sekolah di Kedah dan Perlis selama dua hari mulai Selasa berikutan cuaca kering dan panas serta gelombang haba dengan suhu melebihi 37 darjah celcius yang sedang melanda negara itu, kata Kementerian Pendidikannya.
Kementerian itu dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa penutupan sekolah yang melibatkan 853 buah sekolah itu, dengan 232 buah sekolah menengah dan 621 buah sekolah rendah, adalah sebagai langkah untuk menjaga kesihatan murid semasa cuaca panas.
“Lebih 827,572 murid, iaitu 413,786 murid sekolah menengah, 397,832 murid sekolah rendah dan 15,954 murid pra sekolah terlibat dalam penutupan sekolah di kedua-dua negeri itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Jawatankuasa khas mengenai cuaca panas Kementerian Sumber Asli pada Jumaat lepas telah memutuskan supaya Kementerian Pendidikan menutup sekolah apabila cuaca melebihi 37 darjah celcius selama tiga hari berturut-turut.
Semua sekolah di negara itu baru menamatkan cuti penggal dan telah dibuka untuk sesi persekolahan pada Ahad atau hari ini [Isnin].
Pakar meteorologi sebelum ini meramalkan Malaysia akan mengalami cuaca panas lebih teruk berbanding minggu lepas disebabkan fenomena ‘ekuinoks’ – matahari melintasi garisan Khatulistiwa-, yang memberi impak lebih drastik terhadap perubahan cuaca panas yang sedang melanda negara itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan bahawa keadaan hanya akan berakhir pada Mei atau Jun.
Kenyataan KPM itu juga menegaskan penutupan itu hanya melibatkan ketidakhadiran murid dan ianya tidak perlu diganti, manakala guru dan kakitangan sekolah hendaklah hadir dan bertugas seperti biasa.
Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid dipetik media tempatan sebagai berkata, keputusan samaada kesemua sekolah tersebut akan terus ditutup hanya akan dibuat pada hari Rabu ini.
El-Nino bukan ekuinoks
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Madius Tangau memberitahu, Alor Setar di Kedah, Chuping di Perlis dan Lubok Merbau di Perak mengalami cuaca melebihi 37 darjah celcius pada Ahad.
Beliau berkata, kesemua bacaan suhu yang dicatatkan itu, belum mengatasi suhu paling panas yang pernah direkodkan dalam sejarah negara di Chuping, yang mencecah 40.1 darjah celcius, pada 1998 ketika kesan El-Nino kuat pada tahun itu dan bukannya akibat fenomena ‘ekuinoks’.
“Keadaan cuaca panas yang dialami di beberapa tempat pada masa ini bukanlah berkaitan dengan fenomena ‘ekuinoks’ tetapi disebabkan oleh kesan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda negara.
“Kejadian jerebu yang melanda terutama di kawasan Lembah Klang pada masa ini adalah bersifat tempatan disebabkan keadaan cuaca panas kering dan juga beberapa kejadian kebakaran terbuka terutama kebakaran hutan serta belukar,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga menasihatkan orang ramai menghadkan aktiviti luar semasa keadaan cuaca panas dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini cuaca.
Kematian pertama
Sehingga Isnin sebanyak satu kematian akibat kelesuan haba kerana cuaca panas melampau direkodkan di Malaysia yang membabitkan seorang pelatih polis di Segamat, Johor pada Jumaat lepas dan pada masa yang sama 13 kes kelesuan haba dicatatkan di seluruh negara.
Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kenyataannya memberitahu, kes kematian di Segamat, membabitkan mangsa yang berusia 23 tahun mengalami masalah dehidrasi yang kritikal ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat.
"Mangsa telah didedahkan kepada cuaca dan suhu yang terlalu tinggi selain menghadapi kekurangan air dalam badan.
"Ia telah sampai pada keadaan yang begitu teruk yang menyebabkan sistem saluran darah di mana darahnya telah menjadi pekat dan penyaluran darah ke tisu-tisu menghadapi masalah, sekaligus semua tisu tidak dapat oksigen mencukupi," jelas kenyataan tersebut.