Malaysia-Perancis Tingkat Perkongsian Risikan

Staf BeritaBenar
2015.09.01
150901-MY-HISHAMMUDDIN620 Menteri Pertahanan Perancis Jean-Yves Le Drian dan Menteri Pertahanan Malaysia Hishamuddin Hussein memberi isyarat sebelum memulakan mesyuarat mereka di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.1 September 2015.
AFP

Malaysia dan Perancis bersetuju untuk meningkatkan perkongsian risikan dalam usaha menangani ancaman Kumpulan Negara Islam (IS) yang semakin berleluasa, kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein pada Selasa

Beliau berkata, Perancis telah menyatakan persetujuan untuk menjalin kerjasama dalam mengukuhkan perkongsian maklumat risikan berhubung dengan aktiviti kumpulan militan yang semakin meningkat terutamanya di perairan Sulu.

Hishammuddin berkata, Abu Sayyaf, MILF (Barisan Pembebasan Islam Moro), MNLF (Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro) dan BIFF ( Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro) telah mengisytiharkan kesetiaan kepada IS,

"Perairan Sulu mesti diselamatkan bagi mengelakkan kumpulan yang tidak bertanggungjawab (Abu Sayyaf) daripada mengawasi perairan itu di bawah sistem khalifah Islam," kata Hishammuddin seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama), selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatanya dari Perancis Jean-Yves Le Drian di Kuala Lumpur.

Laut Sulu adalah sebuah perairan luas yang terletak di antara Malaysia, Filipina dan Indonesia. Kebanyakan kumpulan militan Abu Sayyaf berasal daripada beberapa kepulauan di perairan Sulu.

Hishammuddin berkata, Malaysia menganggap Perancis sebagai rakan kongsi negara Eropah dalam bidang pertahanan dan berharap ia akan membawa kepada manfaat bersama bagi kedua-dua negara.

IS ancaman terbesar

“Adalah penting mempunyai rakan seperti Perancis, dan penglibatan negara itu tepat pada masanya ketika  Malaysia berusaha memerangi ancaman kumpulan militan secara bersendirian,” katanya.

Dalam pada itu, Le Drian berkata, isu maritim seperti kegiatan lanun dan keganasan, mesti diambil berat oleh kedua-dua negara.

"Ancaman IS adalah antara ancaman terbesar dan telah membimbangkan seluruh negara," kata Menteri Pertahanan dari Perancis itu.

Sejak beberapa hari lepas semasa berada di Sabah, Hishammuddin memberitahu pemberita yang kementerian itu sedang mengambil beberapa pendekatan melibatkan pertahanan negara di Sabah dan Sarawak serta perairan Laut China Selatan.

Semasa berucap di Tenom, Sabah pada 29 Ogos lepas, Menteri itu seperti dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, Malaysia berusaha mempertingkatkan perkongsian maklumat perisikan serta skop kerjasama lebih luas dengan agensi keselamatan dari negara jiran terutamanya Indonesia dan Filipina bagi menangani dan mengekang penyebaran fahaman militan IS di rantau ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius dan sentiasa berwaspada terhadap perkembangan fahaman IS yang boleh mengancam keselamatan negara, khususnya di Sabah berikutan gerakan kumpulan itu secara terang-terangan mendokong perjuangan IS.

"Kerjasama risikan ini bukan sahaja daripada kita (Malaysia) tetapi juga dari Filipina dan Indonesia...saya tahu rakan sejawat dari kedua-dua negara ini, termasuk Brunei juga peka terhadap ancaman ini," katanya.

Tambah beliau, pemantauan terhadap individu yang pulang setelah berjuang di Iraq dan Syria, turut dilakukan kerana dikhuatiri terbabit mengembangkan model perjuangan IS di rantau ini.

Beliau berkata, walaupun keadaan dan keselamatan di Sabah masih terkawal, kerajaan akan sentiasa mengambil langkah yang perlu serta  memantau penularan fahaman IS, supaya tidak mendatangkan ancaman serius.

"Kerajaan mempertingkatkan pemantauan keselamatan di Pantai Timur Sabah termasuk memperkukuhkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan menerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)," katanya.

Sehari selepas itu, semasa di Sepanggar, juga di Sabah, Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia sedang mengatur gerak dua pengkalan laut di perairan pantai timur Sabah.

Dua pengkalan itu ialah Pengkalan Laut Tun Azizan dan Pengkalan Laut Tun Sharifah Rodziah agar usaha mempertingkatkan keselamatan maritim di perairan berkenaan dapat diselaras dan diperluaskan.

Tambah beliau, lima pesawat pejuang Hawk telah ditempatkan di Pengkalan Udara Labuan dan kerajaan kini merancang untuk menaikkan taraf pengkalan berkenaan bagi menyokong operasi penempatan sekurang-kurangnya satu skuadron pesawat pejuang Hawk.

“Lapangan Terbang Lahad Datu di Sabah turut dirancang untuk dinaik taraf sebagai pengkalan hadapan bagi operasi yang melibatkan helikopter,” katanya.

Tambah beliau, adalah mustahil bagi kerajaan menangani IS secara bersendirian, oleh itu sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia telah meminta semua negara anggota, menyokong usaha-usaha menentang IS dan Perancis ingin terlibat secara langsung terutamanya berhubung isu keselamatan maritim.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.