Malaysia Gesa ASEAN Sepakat Dalam Isu Keselamatan & Pertahanan

Hata Wahari
2016.11.17
Kuala Lumpur
161117-my-hishammuddin620.jpg Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN bergambar bersama Presiden Laos, Bounnhang Vorachith, selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Ke-10 di Istana Presiden di Vientiane, Laos, 17 November 2016.
[Ihsan Kementerian Pertahanan Malaysia]

Malaysia mahukan negara-negara anggota Asia Tenggara (ASEAN) tidak hilang fokus dan sentiasa sepakat dalam perihal keselamatan dan pertahanan terutamanya di Selat Sulu agar tidak menjadi “Somalia Baru” di rantau ini, kata Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein di Laos pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan Hishammuddin, yang ketika ini sedang menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang ke-10 di negara berkenaan.

Beliau berkata, militan Negara Islam (IS) kekal sebagai ancaman utama kepada ASEAN dan usaha berterusan memerangi kumpulan itu di Mosul, Iraq dan Aleppo serta Raqa di Syria yang dilihat bakal membawa kesan langsung kepada rantau ini.

“Ini bukanlah satu fenomena baru. Malah, ASEAN pernah melalui situasi seumpama ini ketika berdepan dengan gerakan Jemaah Islamiyah yang terdiri daripada mereka yang pulang dari konflik yang berterusan di Afghanistan pada awal tahun 2000,’’ tegasnya dalam kenyataan itu.

Katanya lagi ASEAN dilihat berpotensi untuk dijadikan markas dan sasaran baru kumpulan berkenaan, memandangkan Laut Sulu terkenal dengan aktiviti pelanunan dan penculikan.

Rondaan bersama bakal bermula

Hishamuddin juga berkata menteri pertahanan ketiga-tiga negara – Malaysia, Indonesia dan Filipina juga telah mengadakan Mesyuarat ke-4 Trilateral mengenai Selat Sulu dengan perbincangan tertumpu kepada operasi latihan bersama serta rondaan maritim dan udara yang seragam.

Inisiatif itu, katanya, perlu dilaksanakan bagi mencegah keadaan seperti di Somalia di mana kapal dagang takut untuk belayar di laluan laut negara yang dilanda sengketa itu.

Beliau menambah yang inisiatif itu akan dimulakan tidak lama lagi tetapi tidak menyebut tarikh permulaan.

Sejak beberapa bulan para pegawai dari Malaysia, Indonesia dan Filipina telah berbincang mengenai rondaan bersama yang bertujuan untuk memelihara Laut Sulu dan Sulawesi dari lanun dan penculikan, tetapi rancangan tersebut masih belum dilaksanakan.

“Saya juga menekankan mesyuarat Presiden Filipina Rodrigo Duterte dengan Perdana Menteri Najib Razak minggu lepas dengan persetujuan prosedur operasi standard (SOP) untuk “mengejar” penculik ke sempadan Filipina,” katanya.

Perairan yang memisahkan selatan Filipina dan Malaysia di sekitar Sabah telah dibelenggu oleh kes penculikan pelaut Malaysia dan Indonesia dari kapal-kapal yang belayar di sekitar kawasan perairan itu, tahun ini.

Sepuluh rakyat Malaysia diculik setakat 2016, dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) masih menahan enam daripada mereka, kerana dilaporkan mahu menuntut wang tebusan bagi pembebasan mangsa culik itu

Pakar Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan menegaskan bahawa Hishammuddin bimbang sesetengah negara ASEAN seperti Indonesia dan Filipina tidak mempunyai undang-undang anti-keganasan yang ketat.

“Peringatan Hishamuddin itu ialah untuk menggesa Indonesia dan Filipina supaya mengambil pendekatan holistik seperti Malaysia supaya pengaruh IS dapat dikekang,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.

Dalam pada itu, penganalisa hubungan antarabangsa dan politik, Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu BeritaBenar ‘Somalia Baru’ merujuk kepada Selat Sulu kerana Malaysia tidak mahu kawasan tersebut dijadikan tempat kegiatan perlanunan seperti di Laut Merah.

Menteri Pertahanan ASEAN hubung dengan DCL


Hishammuddin berkata, menteri-menteri pertahanan itu juga menyaksikan demonstrasi Komunikasi Hubung Langsung (DCL) yang telah dicadangkan oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan kemudiannya diambil alih oleh ADMM.

“Tujuan DCL adalah menyediakan satu kaedah keselamatan diantara dua orang Menteri Pertahanan ASEAN untuk berkomunikasi di antara satu sama lain bagi mendapatkan keputusan bersama ketika mengendalikan krisis – terutamanya di alam maritim – untuk meredakan salah faham, menghindari tindakbalas dan menggalakkan respon pantas,” katanya.

Mengenai mesyuarat tidak rasmi Menteri pertahanan ASEAN dan Jepun, Hishammuddin berkata beliau bersetuju dengan Menteri Pertahanan jepun Tomomi Inada bahawa dunia kini semakin berbeza dan ancaman keselamatan telah berubah dan lebih dramatik.

“Ancaman keganasan semakin tidak berpusat, sukar untuk dikesan dan lebih sukar untuk dihalang,” katanya dengan menggesa Jepun supaya meneroka inisiatif bersama ASEAN dalam Operasi Pengaman (PKO) dan Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR).

Bagi PKO, Hishammuddin menekankan sumbangan besar Jepun terhadap Pusat Pengaman Malaysia terutamanya dalam memberi sokongan kepada Malaysia untuk membina kapasiti bagi memainkan peranan di dalam latihan pengaman yang mempunyai dimensi pelbagai hala.

“Saya berharap kedua-dua perkara itu boleh dibangunkan dan dibincangkan lagi untuk dipertimbangkan dalam ‘Kertas Kerja Konsep Kerjasama Pertahanan ASEAN-Jepun,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.