Filipina: Empat Rakyat Malaysia Mangsa Culik Dibebaskan
2016.06.08

Empat rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf daripada sebuah kapal di perairan pantai timur Sabah berhampiran selatan Filipina pada 1 April, telah dibebaskan, jurucakap kerajaan Filipina dan Malaysia mengesahkan mengenai perkara berkenaan.
Jurucakap kerajaan Filipina Maj. Filemon Tan mengesahkan rakyat Malaysia, yang dikenal pasti sebagai Wong Teck Kang, 31, dan saudaranya Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34, tidak mempunyai talian saudara, telah dibebaskan pada pagi Rabu, menurut Agence France-Presse (AFP).
Timbalan Ketua Polis Malaysia, Noor Rashid Ibrahim pula mengesahkan keempat-empat mereka telah dibebaskan.
Noor Rashid mengesahkan perkara itu kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan The New Straits Times dengan berkata bahawa mangsa culik itu berada dalam keadaan OK.
Selepas dibebaskan, kesemua mereka telah dibawa ke pantai di Sulu, wilayah selatan Filipina dan segera diarah menaiki bot laju ke Sandakan, Sabah, menurut kenyataan dari Tan.
"Maklumat yang diterima daripada unit risikan kami, mendedahkan bahawa mangsa yang dibebaskan telah tiba di Sandakan pada kira-kira pukul 6 pagi Rabu," kata Tan, sambil menambah beliau tidak dapat mengesahkan jika wang tebusan telah dibayar.
Laporan sebelum ini mendakwa Abu Sayyaf menuntut RM18 juta ringgit (AS$ 4.46 juta) untuk pembebasan mereka.
Laporan dari Jolo, Filipina, menunjukkan bahawa perunding Malaysia dan Filipina berjaya membawa kepada pembebasan keempat-empat rakyat Malaysia itu selepas beberapa siri pusingan rundingan.
Hubungi ahli keluarga
Akhbar The Star di Malaysia melaporkan bahawa seorang ahli keluarga kepada dua mangsa culik yang tidak dinamakan telah mengesahkan keempat-empat mereka telah dibebaskan.
"Saya dimaklumkan bahawa keempat-empat mereka berada dalam keadaan sihat. Ahli keluarga kini berada di Sandakan menunggu untuk menyambut kepulangan mereka, " kata ahli keluarga itu.
The Star dalam laporannya menyatakan bahawa keempat-empat mangsa culik telah kembali ke Sandakan, Sabah, awal pagi Rabu, selepas dibebaskan lewat malam Selasa oleh Abu Sayyaf, sebuah kumpulan yang telah berikrar setia kepada kumpulan militan Negara Islam.
Keempat-empat mereka diculik dari kapal tunda ‘Masfive 6’ yang dalam perjalanan pulang ke Sarawak selepas selesai membawa kayu balak ke Manila, Filipina. Lima anak kapal lain yang berada di atas kapal tunda membawa kayu balak berdaftar di Malaysia - tiga pelayar dari Myanmar dan dua dari Indonesia - tidak diculik kumpulan itu.
Penculikan 1 April itu berlaku seminggu selepas kumpulan Abu Sayyaf menculik 10 kelasi Indonesia di wilayah paling selatan Filipina yang bersempadan dengan negeri Sabah di Malaysia.
Kesemua rakyat Indonesia yang diculik itu bagaimanapun dibebaskan pada 1 Mei lepas, tetapi para pegawai tidak mahu mengulas sama ada wang tebusan telah dibayar.
Sementara itu Laman facebook seorang lelaki yang dikenali sebagai Hasyim Salamat Al Basilan, dipercayai anggota kumpulan Abu Sayyaf, telah memuat naik gambar keempat-empat rakyat Malaysia mangsa culik yang antara lain menulis ‘Selamat menghirup udara kebebasan china kafir, lain waktu jangan melintasi zon laut perang, keempat tawanan sabah Malaysia telah dibebaskan oleh Mujahiddin selepas persyaratan diselesaikan oleh family korban… untung family kalian mahu berniat baik, kalau tidak nasib kalian sama seperti dua tawanan ini, di ekseksusi bulan lalu,”
Najib cari jalan keluar
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengarahkan semua agensi mencari dan meningkatkan usaha untuk membebaskan keempat-empat mangsa berkenaan.
Beliau juga memberi jaminan peribadi kepada keluarga mangsa culik bahawa kerajaan akan cuba membawa mereka pulang dengan selamat.
Semasa berada dalam tawanan, kumpulan Abu Sayyaf telah memancung kepala mangsa culik rakyat Kanada John Ridsdel pada 25 April lepas, iaitu lima jam selepas tempoh pembayaran tebusan berakhir. Ridsdel, 68, bekas eksekutif perlombongan, diculik bersama-sama dengan rakan senegaranya Robert Hall, 50, seorang warga Norway Kjartan Sakkingstad, 56, dan seorang wanita Filipina, Maritess Flor, 40, di sebuah resort di Pulau Samal, Wilayah Davao, pada September 2015.
Dua minggu sebelum itu, kumpulan Abu Sayyaf telah mengugut untuk memenggal kepala salah seorang daripada tawanannya jika wang tebusan AS$6.2 juta bagi setiap seorang tidak dibayar.
Dalam permintaan terbaru kumpulan berkenaan memberikan sehingga pukul 3 petang pada 13 Jun ini, kepada kerajaan Filipina dan Kanada untuk membayar wang tebusan.