Malaysia: Kumpulan Hak Asasi Manusia Persoalkan Usaha Pembaharuan Kerajaan

Radzi Razak & Aminah Farid
2019.05.08
Kuala Lumpur, Malaysia
190508-MY-humanrights-620.jpg Perdana Menteri Mahathir Mohamad memberitahu pemberita mengenai tindakan menarik diri daripada Statut Rom, di Putrajaya, Malaysia, 5 April 2019.
[AP]

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal memenuhi janjinya untuk memperbaiki kedudukan hak asasi manusia di Malaysia selepas genap setahun berkuasa setelah memenangi pilihan raya umum yang mencipta sejarah mengejutkan, kata dua pemerhati utama hak asasi global menjelang ulang tahun pertama PH sebagai kerajaan.

Human Rights Watch (HRW) dan Amnesty International mengadakan sidang media bersama untuk menilai rekod hak asasi di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang buat pertama kalinya berjaya menewaskan gabungan parti yang diterajui UMNO selepas 61 tahun.

Human Rights Watch berkata kerajaan PH gagal dalam usaha tahun pertamanya kerana para pegawainya masih belum dapat mengatasi pendapat umum dan bangkit daripada politik yang  "merosakkan".

Timbalan Pengarah Asia HRW Phil Robertson berkata kebimbangan itu sememangnya meresahkan ramai kerana kerajaan PH telah berjanji untuk melakukan pembaharuan dan komitmen terhadap hak asasi manusia.

"Kerajaan sepatutnya mengakui berlakunya kelewatan dalam menamatkan sistem dan undang-undang menindas yang akan terus membawa keperitan kepada rakyat Malaysia," katanya pada sidang media di Petaling Jaya. "Mereka perlu tahu bahawa mereka telah dipilih dan sudah pun membuat komitmen, dan dengan menunaikannya, semua pastinya baik-baik sahaja."

Robertson menarik perhatian kepada tindakan Mahathir menarik balik janji yang dibuat pada November 2018 untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Kerajaan berdepan dengan  kecaman para pengkritik yang menyatakan bahawa langkah itu boleh menjejaskan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang bercakap kepada pemberita pada Isnin sempena ulang tahun pertama pentadbiran PH, memberikan markah "lima daripada 10" kepada anggota Kabinetnya dan berkata mereka masih belajar tentang bagaimana kerajaan berfungsi.

"Dan kami mempunyai satu matlamat iaitu membawa kembali Malaysia seperti yang kami kenal sebelum ini," kata Mahathir, yang menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003 semasa menerajui  Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan gabungan parti Barisan Nasional.

Beliau kembali menerajui kepimpinan negara selepas memimpin kemenangan parti-parti pembangkang PH, yang antara janji pilihan rayanya adalah melakukan pembaharuan hak asasi manusia, pada 9 Mei 2018 – dengan menumbangkan UMNO daripada berkuasa buat pertama kalinya dalam masa enam dekad.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada media pada Rabu, pejabat Mahathir mengesahkan bahawa kerajaan akan menarik diri daripada konvensyen PBB itu dan mahu terus mendukung perlembagaan, tetapi tidak memberikan sebab bagi keputusan itu.

Lima bulan kemudian, Mahathir menarik diri daripada Statut Rom, yang menjadi asas kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Beliau memberitahu sidang media bahawa Malaysia tidak akan mengiktiraf Statut Rom kerana ahli-ahli politik pembangkang telah dapat "menimbulkan kekeliruan dalam fikiran rakyat, bahawa undang-undang itu akan menafikan hak-hak orang Melayu dan Raja-raja."

"Tindakan ini bukan kerana kami menentangnya, tetapi berikutan kekeliruan politik berhubung apa yang diperlukan, yang puncanya dicetuskan oleh mereka yang mempunyai kepentingan," kata Mahathir.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Shamini Darshni Kaliemuthu dan Timbalan Pengarah Asia Human Rights Watch Phil Robertson bercakap kepada pemberita di Petaling Jaya, Malaysia, 8 Mei 2019. [Radzi Razak / BeritaBenar]

Robertson berkata Malaysia bukanlah unik kerana banyak negara mempunyai pelbagai kaum dan agama yang boleh saling hidup bersama dan dapat mengiktiraf konvensyen PBB itu, melaksanakan undang-undang hak asasi manusia serta memastikan keamanan dan ketenangan dikekalkan.

'Kerajaan perlu laksanakan tanggungjawabnya'


"Bagi hak asasi manusia dalam sistem antarabangsa, mereka yang menyandang jawatan adalah kerajaan. Ia bermakna kerajaan yang bertanggungjawab untuk melindungi hak asasi manusia, "kata Robertson. "Jadi, apabila kami tidak melihat ini berlaku, apabila kami melihat janji-janji ditarik balik, ia menimbulkan rasa bimbang berhubung komitmen politik."

Bercakap pada sidang media yang sama, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia (AIM) Shamini Darshni Kaliemuthu berkata tempoh setahun adalah masa yang mencukupi untuk mengetepikan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

"PH merancang banyak perkara dalam manifestonya. Ia memerlukan kesungguhan politik, "katanya. "Ada keputusan yang boleh dibuat oleh kabinet, sama ada untuk menghapuskan, meminda atau mengkaji semula. Tiadanya kesungguhan politik sekarang. "

Dua hari sebelum itu, Mahathir menyatakan sokongan kepada kabinetnya walaupun mengakui ramai anggotanya sedang belajar bagaimana melaksanakan tugas mereka.

"Saya amat konservatif. Saya telah berada dalam kerajaan selama 22 tahun dan saya tahu bagaimana fungsi kerajaan, tetapi orang (menteri) ini baru, mereka tidak tahu bagaimana fungsi kerajaan," katanya.

"Mereka merasa sangat bimbang jika dituduh melakukan kesalahan dan semua ini menyukarkan tindakan membuat keputusan.

"Tetapi, mereka belajar dengan cepat. Kadang-kadang mereka merujuk kepada saya kerana saya mempunyai pengalaman. Saya perlu mengajar dan membimbing mereka supaya mereka boleh melakukan tugas mereka. "

Pengarah Kanan Pusat Kajian Dasar Awam di Institut Strategi dan Kepimpinan Asia Lyana Khairuddin berkata masanya sudah cukup untuk melakukan pembaharuan.

"Kemajuan ada tetapi agak perlahan, jadi, inilah masanya untuk bergerak dengan lebih pantas," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.