Malaysia Tolak Laporan Kumpulan Hak Asasi HRW

Melati A. Jalil
2016.10.13
Kuala Lumpur
161013-my-hrw620.jpg Timbalan Pengarah Asia bagi Human Rights Watch (HRW) Phil Robertson (tengah), Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen (kanan) dan Anggota Parlimen Batu dari Parti Keadilan Rakyat pada sidang media semasa mengumumkan mengenai laporan Human Rights Watch di Kuala Lumpur, 13 Oktober 2016.
[Melati A. Jalil/BeritaBenar]

Dua pegawai tertinggi Malaysia menolak laporan kumpulan hak asasi bahawa kerajaan negara itu sedang meningkatkan tindakan keras ke atas mereka yang membuat "ucapan secara aman" dan mempunyai perbezaan pendapat dalam usaha melindungi Perdana Menteri Najib Razak.

Kedua-dua menteri di dalam kabinet Najib itu berkata demikian kepada BeritaBenar semasa diminta mengulas mengenai laporan terbaru Human Rights Watch (HRW) setebal 40 muka surat bertajuk "Deepening the Culture of Fear: The Criminalization of Peaceful Expression in Malaysia” di Kuala Lumpur pada Khamis.

Laporan HRW itu menyebut bahawa sikap Malaysia yang tidak bertoleransi serta menggunakan beberapa undang-undang dalam mengambil tindakan jenayah terhadap mereka yang memberi pendapat berbeza serta kritikan semakin meningkat, ketika kerajaan Najib mendapat perhatian antarabangsa berhubung beberapa kontroversi termasuk skandal dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low berkata, tuduhan hasutan di Malaysia telah berkurangan berbanding tahun lalu manakala Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak pula berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) yang digambarkan sebagai "membimbangkan" dalam laporan itu meliputi semua rakyat Malaysia dan bukan hanya Najib.

Low, yang bertanggungjawab dalam tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia berkata, beliau tidak percaya bahawa terdapat peningkatan dalam tindakan keras terhadap ucapan secara aman sehingga boleh disabitkan kesalahan dibawah Akta Hasutan.

“Penggunaan Akta Hasutan telah berkurangan sejak setahun lepas,” kata Low kepada BeritaBenar tetapi tidak memberi angka penurunan yang dikatakannya itu.

"Jika anda bercakap tentang laman web, penutupan laman web, atau yang disekat... (tetapi) jika anda mempunyai kebenaran, ia tidak akan menjadi masalah. Terdapat beberapa portal berita mengemukakan maklumat yang tidak benar, " tambah Low lagi.

Beliau berkata, Malaysia kini menuju ke arah yang positif di mana dakwaan terhadap penentang politik di bawah Akta Hasutan semakin berkurangan. Sambil beliau menggesa orang ramai supaya bertanggungjawab apabila meyuarakan pendapat.

"Jangan disebabkan mempunyai ruang demokratik, kenyataan boleh diucapkan sesuka hati,  sebaliknya perlu bertanggungjawab terhadap apa yang diperkatakan, dengan tidak boleh hanya menuduh (sesiapa) saja. (Saya) tidak hanya bercakap tentang Perdana Menteri, rakyat juga tidak boleh mengeluarkan kata-kata kesat dan hasutan kepada pihak pembangkang atau Anwar (Ibrahim) dalam perkara ini, " katanya sambil memaklumkan yang beliau perlu meneliti laporan HRW itu.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Asia HRW Phil Robertson dalam satu sidang media selepas mengumumkan mengenai laporan hak asasi itu di Kuala Lumpur berkata, Malaysia telah cuba untuk mencontohi negara jiran, Singapura, dalam mengawal maklumat dalam talian.

"Malaysia sedang cuba untuk kembali ke masa di mana kerajaan mampu mengawal kebanyakan maklumat yang diterima oleh rakyat," katanya.

Beliau turut menyifatkan cadangan untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) sebagai membimbangkan, "Sekarang kerajaan Malaysia mencadangkan untuk membuat lebih banyak pindaan terhadap AKM termasuk memaksa laman web dan penulis blog politik untuk mendaftar dengan kerajaan yang sudah tentu akan memberi kuasa yang lebih luas kepada kerajaan untuk mengubah kandungannya atau memerintah mereka yang bertanggungjawab membuat perubahan," kata Phil.

Akta untuk semua bukan Najib sahaja

Salleh pula semasa memberi tindak balas terhadap laporan itu berkata, sebarang siasatan atau tindakan yang diambil menurut akta berkenaan adalah berdasarkan kepada aduan yang dibuat.

"Apabila aduan dibuat, siasatan akan dijalankan. Kemudian akan terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan jika terdapat bukti yang mencukupi untuk mengambil sebarang tindakan berhubung aduan yang diterima itu.

"Peruntukan AKM meliputi semua dan tindakan yang diambil merentasi pelbagai kumpulan masyarakat bukan sahaja terhadap kandungan yang berniat jahat dan berbahaya pada Perdana Menteri tetapi disasarkan kepada individu dan kumpulan lain juga, yang menyentuh mengenai agama, bangsa, pornografi, perjudian, dan lain-lain.

Pada masa yang sama, SKMM juga melakukan banyak program advokasi, " katanya kepada BeritaBenar.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen pada majlis pelancaran laporan itu berkata, Malaysia boleh menjadi seperti Myanmar, dalam menyekat kebebasan bersuara.

"Saya tidak mempunyai keraguan bahawa Malaysia sedang menuju kearah itu, dan akan disebut bakal menjadi seperti Myanmar.

"Hari ini dapat dilihat seorang warga Myanmar telah didakwa kerana memberi komen di laman media sosial Facebook berkaitan Aung San Suu Kyi, kita juga telah melihat di Malaysia berapa kali mereka yang membuat komen di Facebook didakwa, dan dipenjara bertahun semata-mata memberi komen di sosial media.

Eric juga mendakwa Akta Perhimpunan Aman Malaysia telah dimodelkan selepas undang-undang perhimpunan Myanmar.

HRW dalam laporannya itu berkata, kerajaan telah menggunakan Akta Rahsia Rasmi untuk meyekat pembocoran rahsia mengenai laporan yang dikeluarkan kerajaan  pada Januari berhubung siasatan skandal 1MDB.

Akta itu kolot, menurut HRW, kerana undang-undang terlalu meluas dan kini tiada had, terhadap apa yang boleh ditentukan sebagai 'rahsia' dan bertentangan dengan kepentingan awam, dalam mendapatkan akses kepada maklumat yang berkaitan dengan aktiviti kerajaan.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.