Malaysia Tunggu Hasil Kajian Jabatan Peguam Negara Berhubung Hukuman Mati

A. Ariffin
2016.10.11
Kuala Lumpur
161011-my-hukuman-mati620.jpg Pengunjung dan ahli keluarga tertuduh memakai lencana Anti Hukuman Mati sebagai tanda menentang hukuman mati di Malaysia semasa berlangsungnya sambutan Hari Anti Hukuman Mati Sedunia di Kuala Lumpur, 10 Oktober 2016.
[A.Ariffin/BeritaBenar]

Kabinet Malaysia telah meminta Jabatan Peguam Negara membuat kajian lanjut berhubung cadangan pindaan Rang Undang-Undang menghapuskan hukuman mati mandatori sebelum dibentangkan di Parlimen, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said kepada BeritaBenar pada Selasa.

Beliau berkata, satu nota jemaah menteri mengenai laporan pertama kajian pindaan itu telahpun dibawa ke mesyuarat Kabinet pada 17 Ogos lepas, dan memutuskan kajian lanjut oleh Jabatan Peguam Negara perlu dijalankan terlebih dahulu.

“Apabila kajian itu selesai maka ianya akan dibawa semula ke Kabinet sebelum boleh dibentangkan di Parlimen,” katanya ketika dihubungi BeritaBenar semasa diminta mengulas mengenai cadangan pindaan undang-undang supaya hukuman mati tidak dijadikan mandatori.

Azalina bagaimanapun tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri pada Nov lepas seperti dilaporkan media tempatan dipetik sebagai berkata, usaha meminda undang-undang itu telah lama dibincangkan iaitu sejak 2012 lagi, namun ianya tidak dapat dilaksanakan berikutan beberapa isu melibatkan aspek teknikal.

Nancy juga berkata, kajian oleh International Centre for Law and Legal Studies (I-Cells) akan dijalankan sebaik sahaja Jabatan Peguam Negara menjalankan kajian komprehensif mengenai isu hukuman mati di Malaysia.

Selain itu, kerajaan Malaysia juga akan mengadakan perundingan dan mendapatkan pandangan daripada Profesor Dr Roger Hood iaitu Profesor Kriminologi dan Emiritus Fellow of All Souls College Oxford, seorang daripada pakar yang arif mengenai hukuman mati, kata beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga dilaporkan berkata, pada masa ini di Malaysia hukuman mati adalah mandatori bagi 12 kesalahan, sementara 20 kesalahan lain boleh dijatuhi hukuman mati mengikut budi bicara.

“Membunuh, pengedaran dadah, dan kesalahan berkaitan keselamatan negara, adalah contoh kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan,” katanya dalam laporan itu.

Beliau berkata, walaupun Malaysia secara amnya mematuhi standard antarabangsa berhubung dengan perlindungan yang berkaitan, pendiriannya mengenai hukuman mati, tetapi sentiasa mendapat kritikan oleh pelbagai pihak di peringkat nasional juga  antarabangsa.

Gesaan NGOs


Cadangan kerajaan untuk mengemukakan pindaan Rang Undang-Undang menghapuskan hukuman mati mandatori disambut baik oleh badan penggerak hak sivil di Malaysia sejak permulaan cadangan itu dibuat lagi.

Mereka berkata langkah mengembalikan hak memutuskan hukuman terhadap pesalah kepada budi bicara hakim, adalah langkah penting dalam meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara lain di dunia yang telah berbuat demikian.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Shamini Darshni berkata, hukuman mati mandatori merupakan satu bentuk hukuman yang kejam secara keseluruhannya dan sehingga kini tiada bukti kukuh hukuman itu mampu mengurangkan kes jenayah di sesebuah negara.

“Hukuman mati mandatori dilihat sebagai satu hukuman yang tidak adil dan kejam kepada seseorang individu walau dia telah disabit kesalahan sekalipun. Masih tiada kajian atau bukti kukuh di dunia ini mengatakan bahawa hukuman mati dapat membantu mengurangkan atau mengekang jenayah di sesebuah negara,” katanya kepada Berita Benar pada Isnin.

Shamini berkata, sejak kebelakangan ini Malaysia telah mula menunjukkan tanda positif dalam memikirkan semula kemungkinan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori yang dilihat mempunyai kekurangan dari segi ketelusan ketika hukuman dijalankan terhadap pesalah, yang antara lain turut mencabul hak sivil terakhir banduan.

Statistik Jabatan Penjara Malaysia sehingga 16 Mei lepas terdapat kira-kira 1,041 banduan di penjara-penjara Malaysia sedang berhadapan dengan hukuman mati, yang melibatkan kesalahan membunuh, pengedaran dadah, senjata api dan penculikan.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar dilaporkan berkata, 46 peratus daripada mereka yang menunggu pelaksanaan hukuman mati disabitkan atas kesalahan berkaitan dadah dengan ramai masih lagi menanti keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan atau Lembaga Pengampunan.

Langgar hak asasi manusia

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Kuala Lumpur dan Selangor, Liau Kok Fah berkata berdasarkan Deklarasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia, setiap insan mempunyai hak untuk hidup, tidak kira dia telah disabitkan kesalahan atau tidak.

“Tiada sesiapa berhak untuk mengambil nyawa seseorang. Hukuman mati dilihat sebagai mencabul hak sivil seseorang,” katanya kepada BeritaBenar.

Dalam pada itu anggota parlimen Batu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua meminta kerajaan supaya mengotakan janji untuk meminda undang-undang berkenaan hukuman mati, bukan menggunakannya sebagai jalan penyelesaian bagi menangani jenayah di Malaysia.

“Saya harap hukuman mati mandatori ini dapat dihapuskan buat selama-lamanya,” katanya kepada BeritaBenar.

Seorang ahli keluarga banduan yang dijatuhi hukuman gantung, Sum Ah Yoon, 59, berpendapat bahawa hukuman itu adalah satu hukuman yang tidak adil serta tidak berfaedah kerana pesalah perlu diberi peluang kedua untuk hidup.

Sum berkata, beliau mempunyai seorang adik yang masih meringkuk di dalam penjara sejak 15 tahun yang lalu dan masih menghitung hari menunggu hukuman matinya dan ahli keluarga tidak mempunyai sebarang pengetahuan bila hukuman tersebut akan dijalankan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.