Malaysia Setuju Mansuh Hukuman Mati Mandatori Terhadap Pesalah Dadah

Hadi Azmi
2017.08.07
Kuala Lumpur
170807-my-death-620.jpg Amaran hukuman mati mandatori di Malaysia untuk pengedaran dadah menghiasi dinding primeter Penjara Pudu yang penuh bersejarah, di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur, 1 November 2007.
AFP

Kabinet Malaysia bersetuju memansuhkan hukuman gantung mandatori sampai mati ke atas pesalah dadah dengan menyokong pindaan Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya (1952), yang sekaligus memberi mahkamah kuasa memutuskan hukuman berdasarkan kepada budi bicara hakim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Isnin.

Azalina Othman Said, Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal berkaitan undang-undang Malaysia bagaimanapun berkata keputusan mengenainya bergantung kepada keputusan Parlimen,

Menteri itu berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Anggota Parlimen Parti Tindakan Demokratik [DAP] Bukit Gelugor Ramkarpal Singh yang bertanyakan mengenai status terkini serta langkah kerajaan dalam menyemak semula hukuman mati mandatori.

“Pemansuhan itu akan memberi ruang kepada hakim untuk menggunakan budi bicaranya untuk menjatuhkan hukuman, selain menetapkan hukuman yang bersesuaian keatas kes-kes di mana pesalah sebenarnya lebih wajar hanya dihukum penjara, tetapi mungkin dalam peruntukan sedia ada hakim tiada pilihan selain daripada menjatuhkan hukuman mati,” kata Azalina Othman dalam jawapan kepada parlimen pada Selasa.

Azalina juga berkata, seramai 651 rakyat Malaysia telah dijatuhi hukuman mati sejak 1992 yang kebanyakannya disebabkan kesalahan berkaitan dadah.

Peguam Negara kerajaan Malaysia Mohamed Apandi Ali pada tahun 2015 mencadangkan kepada kabinet agar hukuman mati mandatori dimansuhkan, supaya hakim diberi pilihan untuk menjatuhkan hukuman penjara ke atas seseorang atau hukuman gantung sampai mati.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri pada tahun lepas memberitahu, rang undang-undang akan dibentangkan di sidang Dewan Rakyat pada tahun ini untuk memberi lebih kuasa kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman.

“Saya telah berbincang dengan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali dan beliau telah memberikan sokongan walaupun saya sedar perkara ini amat sukar untuk negara, tetapi saya harap ia dapat diselesaikan segera,” katanya dalam laporan Utusan Malaysia.

Cadangan kerajaan untuk mengemukakan pindaan Rang Undang-Undang menghapuskan hukuman mati mandatori pada masa itu disambut baik oleh badan penggerak hak sivil di Malaysia sejak permulaan cadangan itu dibuat lagi.

Sementara itu, pertubuhan Amnesty International Malaysia melalui pengarah eksekutifnya, Shamini Darshni Kaliemuthu menyambut baik keputusan tersebut namun menggesa kerajaan untuk melaksanakan pindaan keatas hukuman mati mandatori terhadap kesalahan lain.

“Kami mengalu-alukan langkah tersebut bahawa hukuman mati mandatori adalah sejenis hukuman berat. Namun kami tetap bimbang terhadap perubahan undang-undang yang hanya terhad kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 serta hukuman mati terus dilaksanakan terhadap pesalah lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau juga menggesa kerajaan Malaysia menangguhkan kesemua hukuman gantung di negara itu sementara kajian sepenuhnya terhadap hukuman itu dilaksanakan.

“Sementara Malaysia sedang mengkaji hukuman mati, semua hukuman mati harus dihentikan. Malaysia perlu mengenakan moratorium terhadap hukuman itu dengan segera dan kami menggesa kerajaan untuk membawa pembaharuan itu bagi semua kesalahan yang dikenakan hukuman mati,” kata Shamini.

Malaysia adalah antara 23 negara di dunia yang mengenakan hukuman mati bagi sabitan jenayah yang membabitkan pembunuhan, dadah, penculikan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, statistik terkini menunjukkan seramai 1,122 penjenayah sedang menunggu hukuman mati, di mana 60 peratus daripada mereka dipenjarakan akibat kesalahan melibatkan dadah.

Nancy juga dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, usaha meminda undang-undang itu telah lama dibincangkan iaitu sejak 2012 lagi, namun ianya tidak dapat dilaksanakan berikutan beberapa isu melibatkan aspek teknikal.

Beliau berkata, walaupun Malaysia secara amnya mematuhi standard antarabangsa berhubung dengan hukuman mati, tetapi ia sentiasa mendapat kritikan daripada pelbagai pihak di peringkat nasional, juga antarabangsa.

Manakala itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada Mac lalu berkata hukuman mati mandatori melanggar hak asasi untuk hidup, seperti termaktub dalam undang-undang hak asasi kemanusiaan antarabangsa.

"Suhakam berpendapat hukuman mati mandatori perlu dimansuhkan supaya hakim diberi kuasa budi bicara mereka untuk membuat keputusan dalam menjatuhkan hukuman ke atas seseorang yang disabitkan," kata pengerusinya Razali Ismail dalam satu kenyataan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.