Malaysia hantar pulang pekerja Kemboja yang sifatkan Hun Sen sebagai ‘keji’

Nuon Toeun ditahan beberapa hari selepas memuat naik hantaran itu di laman media sosial Facebook.
RFA Khmer
2024.10.02
Malaysia hantar pulang pekerja Kemboja yang sifatkan Hun Sen sebagai ‘keji’ Seorang wanita sedang mengemop lantai dengan berlatarbelakangkan suasana matahari terbenam.
[Stok Adobe]

Malaysia telah menghantar pulang seorang pekerja warga Kemboja selepas beliau menyifatkan bekas pemimpin negara itu Hun Sen sebagai “seorang lelaki yang keji,” demikian menurut aktivis di Malaysia dan seorang rakan yang mengenali wanita itu kepada Radio Free Asia, sebuah perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews.

Nuon Toeun, seorang pekerja domestik di negara ini sejak enam tahun lepas, telah ditahan di rumah majikannya pada Sabtu di negeri Selangor, yang terletak berdekatan ibu negara Malaysia iaitu Kuala Lumpur, dan dihantar pulang pada Isnin, kata Ahmad Jamal, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pelarian Parti Nasional Kemboja iaitu parti pembangkang yang telah diharamkan di negara itu, di Malaysia.

Menurut Ahmad Jamal, polis Malaysia memaklumkan Nuon Toeun bahawa mereka menahan beliau kerana telah mengkritik kerajaan Phnom Penh di media sosial.

Polis Malaysia tidak memberikan maklum balas kepada permintaan untuk mendapatkan komen namun rakan Nuon Toeun mengesahkan kepada RFA bahawa wanita itu telah memaklumkan kepadanya bahawa itu adalah alasan beliau ditahan.

Ahmad Jamal juga berkata Nuon Toeun telah diiringi ke Kemboja oleh seorang pegawai kedutaan dan wanita itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa Kemboja pada pukul 7 malam oleh pegawai imigresen Malaysia.

Bagaimanapun pihak berkuasa imigresen Malaysia semasa dihubungi BenarNews mengesahkan yang Nuon Toeun telah dihantar pulang ke negara asal.

“Nuon Toeun telah dihantar pulang ke negara asal, saya tidak dapat memberi maklumat lanjut lain kerana kes sulit seperti ini melibatkan saluran kerajaan dengan kerajaan dan tugas pihak berkuasa hanya untuk melaksanakan perintah itu,” kata beliau yang namanya tidak boleh didedahkan kerana sensitiviti isu.

Beliau kini berada di Pusat Koreksional 2, juga dikenali sebagai Penjara Prey Sar di Phnom Penh, kata Nuht Savna, jurucakap Jabatan Penjara Kemboja kepada RFA.

“Beliau akan didakwa dengan pertuduhan menghasut untuk melakukan perbuatan yang menyebabkan gangguan serius kepada keselamatan sosial dan menggalakkan diskriminasi," kata Nuth Savna.

Nuon Toeun sering menggunakan media sosial untuk mengkritik kepimpinan Kemboja termasuk Perdana Menteri Hun Manet dan bapanya, Hun Sen yang memegang jawatan itu dari 1985 hingga tahun lepas sebelum melepaskan jawatan tersebut kepada anak lelakinya dan memegang jawatan baharu sebagai Presiden Senat.

Wanita itu turut mengkritik cara kerajaan Kemboja menangani isu sosial.

Beberapa hari sebelum penahanannya, Nuon Toeun telah memuat naik sebuah video di laman Facebooknya sebagai respons kepada komen yang meminta beliau “agar berhati-hati dengan subjek yang boleh membawa dosa,” yang merujuk kepada cara beliau melontarkan pandangan negatif tentang Hun Sen.

“Jika saya telah berdosa kerana saya telah mengutuk lelaki keji ini, saya gembira menerima dosa ini kerana beliau telah menganiaya rakan senegara saya dengan begitu teruk,” katanya menerusi video itu. “Saya bukan ahli politik tetapi saya seorang pemerhati politik dan meluahkan kemarahan bagi pihak rakyat yang tinggal di Kemboja.”

Nuon Toeun ialah penyokong Parti Nasional Kemboja atau CNRP, yang menjadi parti pembangkang utama di negara itu sebelum Mahkamah Agung mengisytiharkan bahawa ia diharamkan dan membubarkan parti itu pada 2017.

Ahmad Jamal turut mengutuk pihak berkuasa Malaysia kerana menghantar pulang Nuon Toeun dan berkata “Ia adalah satu penyalahgunaan hak asasi manusia yang tidak seharusnya dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi. Bekerjasama dengan pemerintahan diktator adalah bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.”

Nuon Toeun bekerja secara sah di Malaysia dan beliau tidak sepatutnya ditahan atau dihantar pulang, kata Sadat Samathi, Presiden Global Cambodian Youth Network di Malaysia, kepada RFA.

“Penahanan oleh Kedutaan Kemboja dengan Kerjasama polis Malaysia adalah satu tindakan tidak bermoral dan melanggar undang-undang,” kata Sadat Samathi. Pelarian Kemboja di Malaysia kini berada dalam ketakutan dan mencari tempat yang selamat untuk mengelak daripada penahanan dan penghantaran pulang yang tidak bermoral itu.”

Radio Free Asia, sebuah perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews, menghasilkan laporan ini dengan sumbangan daripada koresponden BenarNews Nisha David di Kuala Lumpur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.