Rohingya: Myanmar Perlu Dibawa Ke Mahkamah Antarabangsa

Hadi Azmi
2019.03.26
Kuala Lumpur, Malaysia
RohingyaICC.jpeg Komuniti Rohingya bertemu di kem pelarian Kutupalong di Cox's Bazar, Bangladesh, untuk mendokumentasikan kekejaman yang dilakukan terhadap etnik itu di Myanmar, 19 Julai 2018.
[AFP]

Isu kemanusian dan pembersihan etnik terhadap Rohingya oleh kerajaan Myanmar, perlu dibawa ke muka pengadilan antarabangsa dengan segera, demikian kata ahli panel sebuah simposium yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa.

Syed Hamid Albar yang merupakan wakil khas Pertubuhan Kerjasama Islam [OIC], sebuah badan besar dunia Islam ke Myanmar memilih Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai alat untuk membawa Myanmar ke muka pengadilan.

Pada Simposium Antarabangsa Mengenai Percaturan Keadilan Bagi Rohingya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak dekat Kuala Lumpur, bekas Menteri Luar Malaysia itu berkata, tindakan membawa Myanmar ke ICC adalah satu isyarat yang kuat terhadap kerajaan negara itu daripada komuniti antarabangsa yang serius dalam menamatkan pembersihan etnik yang berlaku di negara tersebut.

“ICC bukanlah ikhtiar yang terakhir tetapi ia merupakan satu jalan yang kita patut pertimbangkan dengan serius kecuali Myanmar mengambil beberapa langkah positif untuk mengubah keadaan.

“Mereka yang terlibat dalam jenayah genosid [pembersihan etnik], jenayah terhadap kemanusiaan mesti dibawa ke muka pengadilan atas sebab keadilan dan kemanusiaan,” tambah Syed Hamid.

Dalam pada itu, Gregory Stanton, Pengarah Genocide Watch, sebuah badan bukan kerajaan yang menjadi penyelaras perikatan bagi 60 organisasi dari seluruh dunia yang melawan genosid,  mahu segala peruntukan yang dibenarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa(ICJ) dikaji terlebih dahulu sebelum membawa pentadbiran Myanmar ke ICC.

“ICC hanya boleh mendakwa individu. Apa yang perlu dilakukan adalah membawa Myanmar ke ICJ kerana genosid merupakan jenayah negara,” tambah beliau.

Beliau juga berkata, ketidakadilan berterusan terhadap etnik Rohingya oleh kerajaan Myanmar terjadi kerana kurangnya kesanggupan politik daripada negara yang terkesan daripadanya.

Stanton turut mencadangkan kepada pentabdiran Malaysia, sebagai pihak yang terkesan dengan isu kemanusian dan pembersihan etnik Rohingya itu supaya memfailkan permohonan di mahkamah antarabangsa segera dan kes tersebut boleh didengari secepat mungkin kerana jumlah kes yang kecil yang dibawa ke peringkat mahkamah tersebut.

“Proses dan peruntukan yang diperlukan lebih mudah berbanding ICC yang mungkin boleh mengambil masa bertahun tetapi Malaysia mestilah mempunyai kesanggupan politik untuk berbuat demikian,” tambah Stanton lagi.

Walaupun mempunyai nama yang hampir sama, ICC dan ICJ merupakan dua entiti yang berbeza. ICC merupakan satu tribunal antarabangsa yang mengadili individu seperti pemimpin politik yang dituduh melakukan jenayah antarabangsa seperti genosid, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Manakal ICJ pula merupakan satu badan penghakiman di bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang menyelesaikan pertikaian undang-undang yang difailkan oleh ahli pertubuhan dan keputusan kehakiman itu akan dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Katherine Southwick dari Sekolah Penganalisaan Konflik dan Resolusi, Universiti George Mason Amerika Syarikat pula berkata, ICC tidak mampu mengubah kerajaan kerana ia hanya membawa kepada hukuman penjara individu yang terlibat.

Sementara itu pada 11 Mac lalu, Pengarah Bahagian Bidang Kuasa, Komplementari dan Kerjasama ICC, Phakiso Mochochoko dan delegasinya telah berada di Bangladesh selama tujuh hari untuk bertemu pihak berkuasa negara itu dan turut berkesempatan melawat pelarian Rohingya di kem pelarian di Cox’s Bazar.

Mochochoko pada satu sidang media semasa lawatan itu berkata, delegasi ICC melawat kem pelarian dan bertemu dengan pihak berkuasa Bangladesh, agensi kemanusiaan, badan bukan kerajaan serta bertemu dengan etnik Rohingya dan mendengar pandangan dan kebimbangan mereka dengan teliti.

“Lawatan ICC itu bukan satu penyiasatan, sebaliknya membuat penilaian menentukan samada kriteria ‘Rome Satute’ dalam siasatan wajar diguna pakai. Dalam misi ini juga anggota delegasi tidak mengutip sebarang bukti atau melakukan apa-apa aktiviti siasatan lain,” tambah beliau.

Heret ke muka pengadilan

Sementara itu, Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia sedang mempertimbangkan mengambil langkah mengheret mereka yang bersalah dalam isu Rohingya ke ICC.

“Percaturan yang lebih drastik dengan menggunakan perundangan antarabangsa mungkin menjadi pilihan selepas pelbagai resolusi dan siri rundingan gagal menyaksikan pengakhiran terbaik bagi masyarakat Rohingya,

“Langkah seterusnya yang lebih praktikal adalah sama ada menerusi gerakan sesebuah negara secara individu atau berkumpulan menggunakan pentas antarabangsa? dan
adakah ICC pilihan seterusnya atau ada langkah alternatif lain yang boleh diambil bagi menyelesaikan isu ini?,” tambah beliau dalam ucapatamanya pada majlis itu.

Ahmad Azam Abdul Rahman, pengerusi Global Peace Malaysia (GPM) pula berkata adalah penting untuk berunding dan menggunakan diplomasi dalam menyelesaikan masalah tersebut bagi mengelakkan komuniti Rohingya dari terus kecewa dan menggunakan kekerasan untuk mendapatkan keadilan.

“Orang muda merasakan bahawa proses perundingan adalah sia-sia dan mereka boleh terpengaruh untuk memegang senjata dan melawan kerajaan Myanmar,” kata Ahmad Azam sambil menambah pengalaman 17 tahun berkerjasama dengan komuniti itu, pemikiran tersebut makin terserlah di kalangan warga Rohingya yang membesar di Malaysia.

Malaysia merupakan tempat perlindungan bagi 100,000 pelarian Rohingya dan kekejaman terhadap komuniti itu sudah berlarutan berpuluh tahun lamanya.

Sejak dua tahun lepas, jumlah yang melarikan diri meningkat mendadak dengan sebahagian besar komuniti itu melarikan diri ke Bangladesh dan selebihnya ke negara-negara lain seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Radzi Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.