Menteri-Menteri Luar ASEAN Adakan Mesyuarat Bincang Krisis Myanmar

Komuniti antarabangsa mengutuk kematian 18 penunjuk perasaan pada Ahad susulan tindakan keras pasukan keselamatan Myanmar.
Ronna Nirmala
2021.03.01
Jakarta
Menteri-Menteri Luar ASEAN Adakan Mesyuarat Bincang Krisis Myanmar Penunjuk perasaan melarikan diri dalam satu demonstrasi yang diadakan bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera di Yangon, 1 Mac 2021.
[AFP]

Menteri-Menteri Luar Asia Tenggara akan mengadakan mesyuarat khas pada Selasa bagi membincangkan krisis politik di Myanmar, demikian menurut Kementerian Luar Indonesia semasa komuniti antarabangsa mengutuk tindakan keras pasukan keselamatan negara itu terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi pada hujung minggu yang membawa maut.

Mesyuarat secara dalam talian itu dijadualkan bermula pada 3 petang waktu Jakarta (8 pagi waktu GMT) dan akan dihoskan Brunei, yang merupakan pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun ini, kata jurucakap Kementerian Luar Indonesia Teuku Faizasyah pada Isnin.

“Kami sedang membuat persiapan bagi mengadakan mesyuarat itu,” kata Faizasyah kepada BeritaBenar.

Indonesia dan Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang menggesa agar mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan tindakan tentera Myanmar pada 1 Feb lepas menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih rakyat.

Satu mesyuarat khas menteri-menteri luar ASEAN akan diadakan secara sidang video esok dan kami akan mendengar penjelasan wakil pihak berkuasa tentera Myanmar," kata Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan di parlimen pada Isnin, menurur Reuters.

Pada Ahad, Myanmar secara jelas tidak mengendahkan gesaan Indonesia semasa pertemuan bersemuka minggu lepas dengan seorang wakil junta agar semua pihak di negara dilanda konflik itu bertenang dan mengelak pertumpahan darah.

Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh manakala lebih 30 lagi cedera pada Ahad di seluruh Myanmar apabila pasukan keselamatan negara itu menembak peluru hidup dan peluru getah selain melontarkan bom tangan ke arah penunjuk perasaan.

Keganasan itu tercetus beberapa hari selepas Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi memaklumkkan rakan sejawatnya di Myanmar bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat Myanmar adalah perkara “paling utama.”

Susulan pertumpahan darah yang berlaku pada Ahad, Indonesia berkata negara itu “amat bimbang dengan keganasan yang semakin meningkat di Myanmar” dalam satu kenyataan yang jarang diluahkan oleh sebuah negara ASEAN berhubung hal ehwal dalaman rakan kumpulan negara 10 anggota itu,

“Indonesia menggesa agar pasukan keselamatan bertenang dan tidak menggunakan kekerasan bagi mengelak kehilangan lebih banyak nyawa serta mencegah situasi menjadi semakin buruk,” menurut kementerian luar itu dalam satu kenyataan pada Ahad.

Penggunaan kekerasan yang membawa maut terhadap orang awam tidak boleh “dimaafkan”

Negara jiran ASEAN lain pada Isnin turut menyertai gesaan agar keganasan dihentikan di Myanmar.

“Kami amat bimbang dengan kehilangan nyawa dan kecederaan yang dialami oleh mereka yang tidak bersalah dalam situasi yang sedang berlaku di Myanmar,” kata Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan.

“Semua pihak yang berkaitan perlu bertenang dan mengelak daripada menggunakan kekerasan yang boleh menjejaskan keselamatan orang awam serta terus memburukkan keadaan di negara itu,” kata beliau selepas berbincang dengan rakan sejawatnya dari Brunei iaitu Erywan Yusof di Bandar Sri Begawan.

Susulan kritikan bahawa negara-negara ASEAN tidak mengambil pendirian yang sama dan kukuh berhubung rampasan kuasa di Myanmar, Hishammuddin berkata blok serantau itu perlu memainkan “peranan yang lebih proaktif” untuk menyumbang ke arah menjadikan keadaan kembali normal di negara itu.

“Adalah penting ASEAN menerajui perbincangan yang jujur dan konstruktif dengan melibatkan Myanmar serta semua pihak berkepentingan bagi membuktikan bahawa ASEAN adalah efektif sebagai kumpulan serantau yang kohesif, dalam menangani jangkaan rakan kongsi luaran kita dan mengelak respons unilateral yang tidak diperlukan serta mungkin menjejaskan rantau ini,” katanya.

Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnandi parlimen negara itu pada Isnin pula berkata penggunaan kekerasan yang boleh membawa maut oleh pasukan keselamatan Myanmar terhadap orang awam “tidak boleh dimaafkan,” menurut media serantau.

“Kami terkejut dengan kekerasan yang digunakan dan kami akan menyatakannya esok,” kata menteri itu dalam temu bual di News Tonight yang disiarkan di Channel 5 Mediacorp berhubung mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.

Menteri-Menteri Luar ASEAN juga akan mengingatkan tentera Myanmar bahawa rampasan kuasa itu akan mengakibatkan “kemusnahan yang teruk” kepada negara itu, kata Vivian.

Retno dan rakan sejawatnya dari Thailand iaitu Don Pramudwinai bertemu di Bangkok pada Rabu lepas dengan wakil luar junta Myanmar, Wunna Maung Lwin, yang mencetuskan kritikan daripada aktivis yang mendakwa tindakan itu seolah-olah memberikan restu kepada para jeneral di Naypyidaw.

Retno mempertahankan pertemuan itu dan berkata “untuk tidak melakukan apa-apa bukan satu pilihan.”

Vivian berkata ASEAN boleh memainkan peranan konstruktif dalam membantu mengembalikan keadaan normal dan kestabilan di Myanmar meskipun prinsip asas blok itu adalah tidak campur tangan.

Bagaimanapun, langkah ini hanya boleh berjaya jika junta Myanmar membebaskan Suu Kyi dan tahanan politik lain, kata beliau.

Lebih 1,100 orang telah ditahan, didakwa dan dihukum sejak pihak tentera Myanmar mengisytiharkan darurat sebulan lepas, menurut Assistance Association for Political Prisoners yang berpangkalan di Thailand.

AS kutuk “kekerasan melampau”

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres “mengutuk sekeras-kerasnya” kekerasan yang digunakan di Myanmar.

“Setiausaha Agung menggesa komuniti antarabangsa untuk bersatu dan menghantar isyarat jelas kepada pihak tentera bahawa ia mesti menghormati kehendak rakyat Myanmar seperti yang dizahirkan melalui pilihan raya dan menghentikan penindasan,” kata jurucakap Guterres iaitu Stephane Dujarric dalam satu kenyataan pada Ahad.

Rakyat Myanmar berhak berhimpun secara aman dan menuntut pemulihan kuasa demokrasi, kata jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ravina Shamdasani pada Ahad.

“Kesemua hak asas ini harus dihormati oleh pihak tentera dan polis, bukannya dibalas dengan keganasan dan penindasan berdarah,” katanya.

Sementara itu, Amerika Syarikat mungkin mengenakan sekatan tambahan terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi keganasan di Myanmar, kata Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jabatan Perbendaharaan AS pada 11 Feb telah mengumumkan sekatan kewangan terhadap “sepuluh individu dan tiga entiti yang mempunyai kaitan dengan pihak tentera yang bertanggungjawab melakukan rampasan kuasa itu.”

“Kami akan terus menyelaras dengan teliti bersama sekutu serta rakan kongsi di rantau Indo-Pasifik dan seluruh dunia untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab bagi keganasan itu dan mengulangi sokongan kami kepada rakyat Myanmar,” kata Sullivan pada Ahad.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken turut mengutuk “kekerasan melampau” yang digunakan oleh pasukan keselamatan Myanmar ke atas penunjuk perasaan.

Kami “akan terus mempromosi akauntabiliti terhadap pihak yang bertanggungawab,” kata Blinken di Twitter.

Wartawan Perkhidmatan Myanmar Radio Free Asia, entiti BeritaBenar, Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.