Polis Malaysia Berlepas ke Indonesia Bawa Pulang Jamal Yunos
2018.07.03
Kuala Lumpur & Jakarta

Pegawai Polis Malaysia akan membawa pulang pada Rabu atau Khamis Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos, yang menjadi buruan polis selepas menghilangkan diri dari tahanan untuk membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadapnya, kata sumber kepada BeritaBenar pada Selasa.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Polis Selangor, Mazlan Mansor dalam satu kenyataan berkata, Jamal ditahan di Hospital Ampang Puteri oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor bersabit satu kes yang disiasat di bawah Seksyen 34 Akta Senjata Api 1960 yang dilaporkan pada 12 Mei lalu.
Jamal bagaimanapun berjaya melepaskan diri dari tahanan di hospital berkenaan beberapa hari kemudian, sebelum urusan dokumentasi jaminan mahkamah terhadap dirinya selesai.
“Beberapa pegawai Polis Malaysia akan terbang ke Jakarta pada Rabu untuk menyiapkan proses mengekstradisi Jamal. POLRI [Polisi Republik Indonesia] dijangka menghantarnya pulang esok [Rabu] atau sehari selepas itu,” demikian kata sumber yang rapat dengan siasatan kepada BeritaBenar pada Selasa.
Semasa ditanya sama ada Jamal akan dibawa pulang oleh Polis Malaysia, sumber berkenaan berkata “Ya, beliau adalah orang yang dikehendaki selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. Kami akan menyerahkannya kepada Polis Selangor untuk tindakan lanjut sebaik beliau tiba di Tanahair,"
Sementara itu, Ketua Polis Negara Republik Indonesia Tito Karvanian berkata Jamal ditahan di kawasan Tebet, Jakarta Selatan, pada malam Isnin.
"Pada masa ini, pihak berkuasa menahannya di pejabat kepolisian daerah Polda Metro Jaya… Beliau [Jamal] akan dihantar pulang ke Malaysia, sebaik sahaja polis dari negara jiran tiba di Indonesia.
"Pegawai polis Malaysia dijangka tiba hari ini untuk mengiringinya pulang, dan deportasi boleh dilakukan pada Rabu atau esoknya," kata Tito pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Negara Republik Indonesia, di Jakarta pada Selasa.
Malaysia hubungi Indonesia
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada lewat Selasa berkata pihaknya sudah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia untuk tujuan mengekstradisi Jamal pulang ke Malaysia.
"Saya sudah berhubung dengan POLRI dan mereka mengesahkan Jamal ditangkap dan kini dalam keadaan baik. Polis akan mengambil tindakan susulan, namun kita tidak beri tempoh sehari atau dua hari, ia bergantung kepada persetujuan pihak berkuasa Indonesia," kata pada Selasa seperti dilaporkan akhbar tempatan Berita Harian.
Penangkapan Jamal di Indonesia telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam Isnin.
“POLRI sudah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelaraskan urusan membawa Jamal pulang. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pemerintah Republik Indonesia, khususnya Polis Negara Republik Indonesia atas bantuan mereka," kata Muhyiddin dalam kenyataan itu.
Akhbar tempatan Malaysia, Berita Harian melaporkan yang Jamal ditahan selepas POLRI membuat pengawasan dan pemantauan pergerakan pemimpin UMNO itu lebih sebulan.
Jamal ditahan selepas selesai menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta, demikian menurut sumber seperti yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan.
Semasa diburu, Jamal pernah memuat naik video menyatakan masih berada di dalam negara dan memaklumkan bahawa usaha kerajaan meminta kerjasama daripada pihak berkuasa negara luar termasuk polis antarabangsa (Interpol) adalah tindakan sia-sia.
Pada 1 Jun lalu, Mohamad Fuzi mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal, yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia dan ketua perhimpunan ‘Baju Merah’ telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.
Jamal turut didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam.
Selain itu beliau juga disiasat mengikut Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau berkelakuan tidak senonoh dengan turut disiasat berkaitan beberapa kes lain yang dikaitkan dengannya.
Jamal melarikan diri semasa proses ikat jamin dijalankan di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.
Mahkamah Majistret Shah Alam juga mengeluarkan waran tangkap ke atas Jamal pada 8 Jun lalu.