Jerebu Berpunca Daripada Kebakaran Di Malaysia, kata Pegawai Indonesia
2019.09.10
Jakarta, Indonesia

Kejadian jerebu yang berlaku hingga memaksa para pegawai Malaysia untuk menutup beratus-ratus sekolah adalah berpunca terutamanya daripada kebakaran hutan di negara itu manakala Indonesia hanya boleh dipersalahkan bagi sejumlah udara kotor sahaja, kata seorang pegawai di Jakarta pada Selasa.
Pihak berkuasa Malaysia telah mengarahkan sekolah-sekolah ditutup di negeri Sarawak di pulau Borneo, yang juga menempatkan beberapa wilayah Indonesia, selepas kualiti udara di negeri itu mencapai paras yang tidak sihat akibat jerebu yang mereka dakwa berpunca daripada kebakaran di Indonesia. Sekurang-kurangnya 409 sekolah terpaksa ditutup dan menjejaskan 157,479 pelajar, kata Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Para pegawai berkata sebanyak 500,000 topeng muka telah dihantar ke Sarawak di mana Indeks Pencemaran Udara (API) mencapai tahap tidak sihat 201 pada pagi Selasa. API menyenaraikan tahap 50 atau kurang daripadanya sebagai sihat.
Sementara itu, Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar menuduh pihak berkuasa Malaysia tidak telus mengenai kebakaran hutan di negara mereka sendiri.
"Ada maklumat yang mereka enggan dedahkan kerana jerebu yang ada berpunca dari Sarawak dan Semenanjung di Malaysia, sementara sebahagian daripadanya mungkin adalah dari Kalimantan Barat," kata Siti Nurbaya kepada wartawan. "Oleh itu, mereka perlu membuat penjelasan yang objektif."
Siti Nurbaya berkata beliau akan menghubungi Duta Besar Malaysia di Jakarta untuk menggesa negara jiran Indonesia itu supaya memberikan apa yang beliau sifatkan sebagai "maklumat yang betul."
Imej satelit pada 4 dan 5 Sept menunjukkan peningkatan mendadak titik panas yang menunjukkan berlakunya kebakaran di beberapa kawasan di Asia Tenggara khususnya di Semenanjung Malaysia dan Vietnam, kata Dwikorita Karnawati, ketua Agensi Meteorologi, Geofizik dan Klimatologi Indonesia.
Terdapat 1,423 titik panas di Semenanjung Malaysia pada 7 Sept berbanding 1,038 pada hari sebelumnya, kata beliau sambil memberitahu bahawa banyak titik panas juga dikesan di Sarawak.
Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia mengesan sejumlah 1,656 titik panas di wilayah Sumatera, Riau, Jambi dan Sumatera Selatan serta wilayah Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan pada 8 Sept.
BNPB berkata pihak berkuasa telah mengerahkan 9,000 anggota untuk memadamkan kebakaran hutan di enam wilayah di Sumatera dan Kalimantan.
"Sebanyak 37 helikopter digunakan untuk memadamkan kebakaran secara pengeboman air manakala sebuah pesawat digunakan di Riau untuk menghasilkan hujan tiruan," kata jurucakap BNPB Agus Wibowo kepada BeritaBenar.
Jerebu menyebabkan jarak penglihatan berkurangan kepada 800 meter (2,620 kaki) di Pekanbaru, ibu kota wilayah Riau di pulau Sumatera, lapor media tempatan pada Selasa. Sekolah-sekolah turut ditutup di beberapa bahagian wilayah dan klinik pula mendapati adanya peningkatan pesakit berkaitan masalah pernafasan.
Jerebu juga memaksa dua penerbangan dibatalkan di lapangan terbang Supadio di Pontianak, wilayah Kalimantan Barat, pada Isnin, kata pegawai lapangan terbang tersebut.
Suspek
Sekurang-kurangnya 175 orang dan empat syarikat dianggap sebagai suspek yang dikaitkan dengan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, kata jurucakap polis nasional, Dedi Prasetyo, tanpa menyebut nama syarikat atau individu berkenaan.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 21 telah dikemukakan ke pejabat pendakwa," katanya kepada BeritaBenar.
Sementara itu, kumpulan aktivis alam sekitar, Walhi, menggesa kerajaan supaya menyemak semula lesen perhutanan dan perladangan yang diberikan kepada syarikat-syarikat.
Pengarah eksekutif Walhi, Nur Hidayati, berkata Indonesia tidak pernah mengambil iktibar daripada kejadian kebakaran hutan yang berlaku sebelum ini.
"Sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk mendedahkan syarikat-syarikat yang konsesinya menyebabkan berlakunya kebakaran," kata Nur Hidayati kepada BeritaBenar. "Bilangan permit yang diberikan oleh kerajaan tidak mencerminkan keupayaan kerajaan untuk mengawal selia mereka."
Pada awal tahun ini, pemerhati alam sekitar, Greenpeace, berkata para pemilik perladangan gagal membayar denda berjumlah lebih AS$1 bilion yang dikenakan oleh mahkamah Indonesia dalam beberapa tahun kebelakangan kerana kemusnahan akibat kebakaran pertanian dan pembalakan haram.
Mahkamah memihak kepada 10 saman yang dikemukakan kerajaan terhadap syarikat-syarikat balak dan pemilik ladang kelapa sawit yang didapati melakukan amalan pembersihan tanah dengan menyebabkan kebakaran antara 2012 dan 2015, serta memerintahkan mereka membayar denda sebanyak 2.7 trilion rupiah ($192.2 juta), kata Greenpeace.
Badan pemerhati itu berkata mahkamah turut mengenakan denda sebanyak 16.2 trilion rupiah ($ 1.1 bilion) terhadap sebuah syarikat balak berhubung pembalakan haram yang dijalankan sejak 2004.
Kebakaran pertanian adalah masalah tahunan yang dihadapi Indonesia dan jerebu sering memberi kesan kepada negara-negara jiran iaitu Singapura, Malaysia dan Thailand. Pencemaran udara boleh mencapai tahap yang berbahaya, mengganggu aktiviti ekonomi dan memaksa sekolah ditutup.
Satu kajian oleh para penyelidik dari Universiti Harvard dan Universiti Columbia mendapati lebih 100,000 orang di Asia Tenggara meninggal dunia pada 2015 mungkin akibat kebakaran pertanian di Indonesia. Para penyelidik menyifatkan kematian itu berpunca kerana menghidu zarah-zarah berasaskan karbon yang tinggi.
Selain itu, sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dalam kebakaran hutan pada 2015, menurut kerajaan Indonesia. Bank Dunia pula menganggarkan kerugian ekonomi akibat kebakaran adalah sebanyak $16 bilion (226 triliun rupiah).
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.