Kebakaran Hutan Indonesia Akibat Penguatkuasaan Lemah, Peruntukan Sedikit, Kata Pakar

Ahmad Syamsudin
2019.09.20
Jakarta, Indonesia
190920_ID_haze_1000.jpg Aktivis Indonesia memegang poster semasa mengadakan protes di Palangkaraya, ibu kota wilayah Kalimantan Tengah, sambil mendesak pihak pemerintah supaya mempercepatkan tindakan untuk menangani kebakaran hutan, 20 September, 2019.
[AP]

Penguatkuasaan undang-undang yang lemah, perlakuan rasuah dan peruntukan kerajaan yang sedikit menyumbang kepada berulangnya kebakaran pertanian yang memusnahkan sejumlah besar kawasan hutan di Indonesia dan menyelebungi sebahagian negara itu dan negara-negara jirannya dengan asap dan abu yang beracun, kata pakar pada Jumaat.

Melakukan pembakaran bagi tujuan membersihkan tanah adalah perbuatan yang melanggar undang-undang dan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun di bawah undang-undang alam sekitar Indonesia 1999, tetapi para pemimpin tempatan sering tidak menghiraukan amalan tersebut, kata Herry Purnomo, seorang saintis di Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (CIFOR) .

"Insentif ekonomi bagi kaedah melakukan pembakaran adalah sangat besar. Untuk membersihkan tanah tanpa melakukan pembakaran boleh menelan belanja kira-kira 5.5 juta rupiah (A$391) sehektar tetapi dengan melakukan pembakaran, ia hanya memerlukan 300.000 rupiah (A$21) dan jumlah perbezaan kos itu nyata sukar ditolak," kata Herry kepada BeritaBenar.

Jerebu yang berpunca daripada kebakaran yang berlaku sukar dibendung di Indonesia dan menjadi yang paling buruk sejak 2015, kata pihak berkuasa. Asap tebal menyebabkan penutupan banyak sekolah di seluruh rantau itu. Para pegawai kesihatan di negara-negara yang terbabit telah memberi amaran tentang pencemaran udara yang bertoksik manakala para penduduk pula merungut tentang kesukaran bernafas dengan baik.

Pada akhir minggu ini, para penduduk Thailand dan Filipina turut terkena tempias jerebu selepas ia menyelubungi  beberapa bahagian di Indonesia, Malaysia dan Singapura. Menurut laporan terdapat beratus-ratus orang utan yang diancam pupus di Pulau Borneo turut menderita kerana terpaksa bernafas dalam udara kotor.

Herry berkata para pemimpin tempatan yang bimbang kehilangan undi kerana mencegah amalan itu adalah faktor yang menyebabkan undang-undang tidak dikuatkuasakan dengan tegas, terutamanya semasa musim pilihan raya.

"Penguatkuasaan undang-undang jarang dilakukan di lapangan," kata Herry. "Kerajaan pusat sering menyalahkan pemerintah tempatan, tetapi pegawai-pegawai tempatan terpaksa berdepan dengan penduduk mereka sendiri dan tidak boleh menghentikan amalan itu tanpa memberikan alternatif yang tidak melibatkan banyak kos."

Para pekebun kecil, syarikat, ahli perniagaan tempatan serta elit politik, tentera dan polis bertanggungjawab terhadap kebakaran yang berlaku di pulau Sumatera dan Borneo di Indonesia, katanya.

Minggu ini, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia menyalahkan industri perkayuan dan perladangan negara itu bagi  berulangnya kebakaran hutan, dengan menyatakan dalam satu kenyataan bahawa hanya kira-kira 22 peratus atau 2,179 syarikat yang mempunyai permit perhutanan telah mengemukakan laporan mandatori mengenai kawalan kebakaran.

"Penguatkuasaan undang-undang belum cukup tegas terhadap pesalah peringkat pertengahan yang melakukannya tetapi tanpa entiti yang sah," kata Herry.

Kerajaan tidak membelanjakan dengan secukupnya bagi usaha pengesanan awal kebakaran yang melibatkan masyarakat tempatan, katanya.

"Dalam beberapa kes, hanya 1 juta rupiah (A$71) diperuntukkan sebulan untuk 10 orang. Bagaimana mereka boleh melakukan rondaan dan membeli petrol untuk motosikal mereka?" kata Herry.

Beliau menarik perhatian kepada peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan sebanyak 7 trilion rupiah (A$497,000) bagi mengawasi 125 juta hektar (309 juta ekar) hutan.

Polis: Beratus-ratus suspek

Di Jakarta, jurucakap polis nasional Muhammad Iqbal berkata seramai 244 orang dan sebanyak enam syarikat perladangan dan perkayuan dinamakan sebagai suspek berhubung kebakaran yang berlaku.

"Bilangan syarikat yang dinamakan sebagai suspek pasti akan bertambah. Kami berusaha keras untuk mengumpulkan bukti dan menguatkuasakan undang-undang untuk mengelakkan berulangnya kebakaran, "katanya.

Kualiti udara semakin baik di wilayah Riau di Sumatera, kata Iqbal kepada wartawan. Tetapi, jerebu bertoksik telah memaksa negara jiran  Malaysia untuk menutup lebih daripada 2,000 sekolah berikutan kualiti udara yang semakin buruk hingga mencapai tahap "sangat tidak sihat" berdasarkan indeks rasmi di kebanyakan kawasan di negara itu.

Daniel Murdyarso, seorang profesor perhutanan di Institut Pertanian Bogor, berkata kurangnya pencegahan adalah satu daripada penyebab jerebu.

"Apa yang diperlukan adalah untuk mewujudkan kesan pencegahan dengan mengenakan denda berganda - alam sekitar, jenayah dan rasuah - ke atas para pesalah. Ini harus dikenakan terhadap semua termasuk mereka yang membeli tanah yang telah dibersihkan dengan pembakaran, "kata Daniel kepada BeritaBenar.

Beliau berkata walaupun adanya larangan pembersihan tanah secara pembakaran, tetapi para petani tempatan tidak menganggap  membakar rumput dan membuang biojisim sebagai melanggar undang-undang.

Beliau menggesa kerajaan supaya melibatkan lebih ramai masyarakat tempatan dalam mencegah kebakaran hutan.

"Kerajaan tidak boleh melakukannya sendirian. Kuasanya mesti digunakan untuk menggerakkan masyarakat dan menguatkuasakan undang-undang untuk mewujudkan ketenteraman awam, "katanya.

Hujan Yang Melegakan

Di wilayah Kalimantan Tengah di Borneo, hujan lebat selepas kaedah pembenihan awan dilakukan nyata memberi kelegaan kepada sesetengah masyarakat pada Jumaat, kata Agus Wibowo, jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).

Pesawat CASA C-212 menghumban 800 kilogram garam dalam awan bagi menghasilkan hujan buatan di Pulang Pisau di Kalimantan Tengah, menyebabkan hujan lebat selama 30 minit, kata Agus.

"Operasi pengubahsuaian cuaca akan berterusan dan dipergiatkan bagi memadamkan kebakaran hutan supaya kita dapat melihat langit yang cerah sekali lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kualiti udara kekal di tahap berbahaya di beberapa kawasan di wilayah itu dengan hampir 500 kawasan titik panas dikesan, menurut data yang dikeluarkan oleh BNPB pada Jumaat.

Secara keseluruhannya, sebanyak 2,873 titik panas dikesan di enam wilayah di Sumatera dan Kalimantan, iaitu nama Indonesia bagi Borneo, dengan indeks kualiti udara menunjukkan bacaan dari tahap bahaya hingga sederhana, kata BNPB.

Menurut agensi itu, lebih 884,000 pesakit yang mengalami masalah pernafasan telah direkodkan di enam wilayah sejak Februari lalu, ketika bermulanya kebakaran hutan.

Tidak ada anggaran rasmi tentang kerugian yang berpunca akibat jerebu tetapi BNPB berkata hampir 330,000 hektar (815,000 ekar) hutan telah musnah sejak kebakaran berlaku tahun ini.

Ketua BNPB Doni Monardo yang memeriksa kawasan terbakar di Kalimantan dengan menaiki helikopter telah membuat kesimpulan bahawa kebakaran itu sengaja dilakukan, kata Agus.

"Terdapat corak yang lazim dan hanya kawasan di luar lading yang dibakar," kata Agus kepada BeritaBenar.

Lebih 29,000 pekerja dikerah dan 44 buah helikopter digunakan untuk memadamkan kebakaran, yang meningkat dengan ketara berbanding lebih 9,000 orang pada seminggu yang lalu, kata agensi pengurusan bencana itu pada Jumaat.

'Mereka timbulkan masalah setiap tahun'

Jerebu yang dibawa angin monsun juga mula menjejaskan beberapa kawasan di Filipina, kata pegawai di Manila pada Jumaat.

Jerebu tahap ringan hingga sederhana menyelubungi bandar raya di selatan Zamboanga, pusat bandar raya Cebu dan Dumaguete serta wilayah barat Palawan, kata Landrico Dalida Jr, timbalan ketua Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina, kepada Associated Press.

"Ia jelas kelihatan, ini bermakna ada zarah yang sememangnya datang dari kawasan-kawasan di Indonesia dan ia tiba di tempat kami," kata Dalida.

Kualiti udara di beberapa bahagian di Sarawak yang terletak di Borneo Malaysia telah mencecah tahap tidak sihat dan berbahaya pada Jumaat, kata pihak berkuasa.

Pada Rabu, Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, berkata  bahawa kerajaannya sedang menimbang untuk menggubal undang-undang bagi menghukum syarikat tempatan yang enggan bertanggungjawab terhadap kebakaran di ladang-ladang mereka di Indonesia.

"Kami juga mahu mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai ladang di luar Malaysia, yang menyumbang kepada jerebu akibat pembakaran di lading-ladang mereka," kata Mahathir kepada pemberita.

Pihak berkuasa Indonesia telah menamakan anak syarikat tempatan dari empat konglomerat minyak sawit Malaysia - Ladang Sun Darby, IOI Corporation, TDM Berhad dan Kuala Lumpur Kepong Berhad – sebagai antara yang didakwa menyebabkan kebakaran hutan itu.

Di Singapura, kualiti udara bertambah baik pada Jumaat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara 24 jam berada pada tahap 59 hingga 64 iaitu dalam lingkungan sederhana, lapor Straits Times.

Jerebu dari Sumatera telah menjejaskan lima wilayah paling selatan di Thailand dan dijangka berada di kawasan berkenaan selama tiga hari lagi, kata Thananchai Wannasut, pengarah alam sekitar di Songkhla.

"Pada 18 September, kami mengukur zarah halus pada tahap 100 mikrogram setiap meter padu udara dan tahap tertinggi pada 230 mikrogram, yang paling teruk dalam tempoh 3 tahun," kata Thananchai kepada BeritaBenar.

Tahap udara selamat negara itu ialah 50 mikrogram setiap meter padu udara.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata beliau telah mengarahkan pihak berkuasa kesihatan tempatan supaya menyediakan topeng muka untuk para penduduk. Beliau mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami kesukaran untuk bernafas, batuk atau pening.

Di pejabat konsulat Indonesia di Songkhla, sekumpulan kecil penduduk berhimpun untuk mendesak kerajaan Indonesia supaya menyelesaikan masalah jerebu.

"Kami menuntut agar kerajaan Indonesia menyelesaikan masalah ini secepat mungkin, mencegah kejadian ini daripada berulang kerana mereka yang menimbulkan masalah ini setiap tahun," kata Sarawuth Srisong, yang turut menyertai perhimpunan bantahan itu, kepada BeritaBenar.

Pimuk Rakkanam di Bangkok dan Aminah Farid di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.