Pembubaran Jemaah Islamiyah: Pengakhiran sebuah era atau satu bentuk transformasi strategik?
2024.07.05
Yogyakarta, Indonesia

Jemaah Islamiyah, kumpulan militan di Asia Tenggara yang pernah dikaitkan dengan al-Qaeda kini telah dibubarkan secara terbuka, satu perkembangan yang menandakan potensi perubahan dalam perang melawan keganasan di Indonesia serta menimbulkan persoalan mengenai masa depan kumpulan berkenaan.
Keputusan pembubaran itu yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin JI pada Ahad telah menerima pelbagai reaksi, dengan beberapa pakar menyatakan rasa skeptikal mereka terhadap motif kumpulan berkenaan serta kemungkinan aktiviti JI diteruskan secara gerakan bawah tanah.
JI adalah kumpulan yang bertanggungjawab melancarkan beberapa serangan keganasan dahsyat yang meragut banyak nyawa di Indonesia dengan menyasarkan lokasi yang mempunyai kepentingan Barat dan pasukan keselamatan Indonesia. Ia termasuk insiden pengeboman di Bali yang mengorbankan 202 nyawa pada 2002.
"Kami sedia untuk menyumbang bakti secara aktif untuk kemajuan dan martabat Indonesia," demikian umum Abu Rusydan, salah seorang pemimpin kumpulan berkenaan ketika membacakan satu kenyataan bertulis di hadapan para pemimpin kanan JI lain dalam satu majlis yang diadakan di pejabat Agensi Anti-Keganasan Kebangsaan di Bogor, kira-kira 50 kilometer (31 batu) di selatan Jakarta.
Mohammad Adhe Bakti, pengarah eksekutif Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi (PAKAR) berkata JI telah beralih dari mengamalkan taktik ganas di bawah kepimpinan Para Wijayanto, yang diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa negara itu untuk dibawa keluar dari penjara bagi menghadiri majlis deklarasi pembubaran pada Ahad.
"Pimpinan kanan JI... mereka memilih jalan yang paling masuk akal dengan membubarkan JI," kata Adhe kepada BenarNews.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan kegusaran mengenai kemungkinan ahli peringkat bawah JI enggan mengikut jejak pemimpin mereka.
"Saya risau (pembubaran ini) akan mewujudkan kumpulan serpihan di peringkat bawahan," kata beliau.
Abdul Rahim Ba’asyir, anak kepada salah seorang pengasas JI, Abu Bakar Bashir mengalu-alukan tindakan membubarkan kumpulan itu.
"Ia adalah satu langkah yang baik di pihak mereka untuk membubarkan (JI) dan mengumumkan bahawa mereka mahu kembali ke pangkuan negara," kata Abdul Rahim kepada BenarNews.
"Ia akan membantu melenyapkan tanggapan bahawa umat Islam adalah pengganas."
Anggota polis anti-keganasan Densus 88 mengepung sebatang jalan ketika mereka menggeledah sebuah rumah, susulan penahanan seorang lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan Negara Islam (IS), di Surabaya, wilayah Jawa Timur, 19 Jun 2017. [AFP]
JI ditubuhkan pada tahun 90-an dengan objektif utama untuk mewujudkan sebuah wilayah Islam di Asia Tenggara.
Selain insiden pengeboman di Bali pada 2002 dan 2005, kumpulan tersebut juga bertanggungjawab terhadap kejadian serangan terhadap Hotel JW Marriott di Jakarta pada 2003 dan 2009, serta pengeboman kedutaan Australia di ibu negara Indonesia itu pada 2004.
Kerajaan Indonesia memulakan usaha melawan JI selepas kejadian pengeboman yang pertama di Bali dengan menangkap dan memenjarakan ramai pemimpinnya.
Kumpulan berkenaan telah diharamkan kerajaan Indonesia pada 2008, namun menurut pegawai kerajaan dan penganalisis, JI tetap meneruskan aktiviti mereka dengan beroperasi secara senyap bagi merekrut ahli baharu, mengumpul dana dan mengadakan latihan ketenteraan.
Keputusan untuk membubarkan JI dibuat selepas tekanan hebat oleh pihak berkuasa Indonesia sejak bertahun-tahun, yang menyaksikan ramai ahlinya ditahan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua kumpulan itu pada masa kini, Para yang dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun pada 2020 bersabit aktiviti berkaitan keganasan, dipercayai lebih cenderung ke arah pendekatan sederhana dengan memfokuskan aktiviti kepada penyebaran agama Islam, kata beberapa orang penganalisis.
Bagaimanapun, pembubaran JI telah disambut secara skeptikal oleh sesetengah pihak yang mengesyaki ia berkemungkinan satu bentuk muslihat kumpulan berkenaan untuk melindungi aset dan sumber kewangan mereka terutamanya jaringan sekolah agama milik mereka.
Bekas ahli JI, Sofyan Tsauri berkata terdapat ketidakpuasan hati dalam kalangan kumpulan-kumpulan dalam JI sendiri terhadap deklarasi pembubarannya. Dia turut memberikan amaran mengenai kemungkinan berlaku penubuhan satu kumpulan baru yang lebih radikal, "neo-JI".
"Selepas pembubaran, mesti ada pemantauan dan bimbingan dan ini adalah tanggungjawab kerajaan. Tanpa semua ini, pembubaran ini tidak mempunyai sebarang makna," kata Sofyan kepada BenarNews.
Sofyan turut menyuarakan kekhuatiran mengenai jaringan hampir 100 sekolah di bawah kumpulan tersebut, yang dikatakan mengajar Islam versi tegas dan literal.
"Ini mesti diubah," kata beliau.
Dalam deklarasi mereka, pimpinan JI memberikan komitmen mereka untuk merombak isi kandungan pelajaran di sekolah-sekolah mereka bagi menyesuaikan dengan ajaran Islam versi arus perdana.
Orang ramai menandatangani sepanduk untuk mengingati mangsa letupan bom di luar Hotel JW Marriott di Jakarta, 20 Julai 2009. [Reuters]
Sidney Jones, penasihat kanan di Institut Analisa Polisi Mengenai Konflik yang berpusat di Jakarta, menyifatkan pembubaran JI sebagai "kemuncak kepada usaha berpanjangan untuk menoktahkan kewujudan JI sebagai sebuah organisasi sulit dan beroperasi secara terbuka untuk kepentingan pendidikan dan dakwah Islam."
"Ini sesuatu yang benar berlaku. Langkah ini bermula lebih kurang dalam tahun 2009 tetapi ia menjadi semakin kuat selepas Para Wijayanto menjadi ketua," kata beliau kepada BenarNews.
Jones bagaimanapun, bersetuju dengan potensi kewujudan kumpulan pecahan.
"Pasti sesetengah ahli JI melihat perkara ini sebagai satu pengkhianatan," kata beliau.
Dalam satu temuramah dengan BenarNews pada Mei lepas, Ali Imron yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas pembabitannya dalam pengeboman Bali pada 2002 berkata JI telah ketiadaan pemimpin sejak pertengahan 2000-an.
Operasi pembanterasan yang dijalankan pihak berkuasa Indonesia telah menyebabkan JI ketiadaan kepimpinan yang jelas, katanya.
"Tidak ada pemimpin JI yang rasmi sekarang," kata Imron, dan menambah bahawa perjanjian dalaman menunjukkan bahawa JI telah berhenti menjadi sebuah organisasi yang rasmi.
Ketika kes keganasan yang diketuai JI semakin menurun, sebuah lagi kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang diinspirasikan oleh Islamic State pula muncul sebagai ancaman baharu di Indonesia.
JAD yang diasaskan pada 2015 dan kini diharamkan di negara itu bertanggungjawab melakukan serangan terhadap beberapa buah gereja di Surabaya pada 2018 dan sebuah katedral di Makassar ketika sambutan Palm Sunday.
Seorang penyerang yang mempunyai kaitan dengan JAD juga telah mengebom sebuah ibu pejabat polis di Medan pada 2019. Bagaimanapun, tiada lagi sebarang serangan didalangi JAD dilaporkan selepas itu.
Dalam gambar fail bertarikh 18 Jun 2014, seorang lelaki memakai ikat kepala yang menunjukkan simbol kumpulan Negara Islam semasa protes menggesa sebuah kompleks pelacuran tempatan ditutup di Surabaya, Indonesia. [AP]
Irfan Idris, pengarah pencegahan di Badan Nasional Anti-Keganasan (BNPT) berkata pengumuman pimpinan JI pada Ahad merupakan satu kejayaan besar untuk pasukan keselamatan dan masyarakat dalam usaha melawan keganasan dan satu langkah ke arah mencapai status "zero-attack" (sifar serangan) di Indonesia.
"Kami beroperasi mengikut undang-undang dan terus berwaspada terhadap apa juga ancaman yang mungkin timbul," kata beliau. "Keganasan dan ideologinya merupakan ancaman besar terhadap penyatuan negara."
Bagi Bilveer Singh, seorang profesor madya di Universiti Nasional Singapura, meskipun pembubaran JI kelihatan seperti perkembangan positif, ia sebenarnya mendedahkan sesuatu yang lebih kompleks dan realiti yang mungkin lebih membimbangkan sekiranya dilihat secara lebih dekat.
Beliau memberikan amaran bahawa sejarah menunjukkan kumpulan pengganas di Indonesia seperti JI selalu berlaku transformasi dan kemunculan semula.
"Kumpulan radikal tidak pernah lenyap di Indonesia sejak 1945," kata beliau kepada BenarNews sambil menambah bahawa JI sendiri mempunyai sejarah berevolusi setiap 15 ke 20 tahun.
Singh juga memberikan amaran bahawa pembubaran itu mungkin dilihat sebagai satu langkah strategik oleh sesetengah ahli yang akan meneruskan aktiviti mereka secara gerakan bawah tanah dan berpotensi mewujudkan satu kumpulan baharu dan lebih berbahaya.
"Deklarasi Bogor mungkin membubarkan JI, tetapi terdapat risiko akan munculnya sebuah organisasi yang lebih bahaya daripada JI di Indonesia," kata Singh.