Wanita Indonesia Dituduh Bunuh Kim Jong Nam Akan Dibebaskan, Kata Peguam Bela
2018.07.11
Jakarta, Indonesia

Seorang peguam Malaysia yang mengunjungi Indonesia dan mewakili seorang wanita tempatan yang didakwa membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Kuala Lumpur tahun lalu, menyuarakan keyakinannya pada Rabu bahawa anak guamnya itu akan dibebaskan.
Warganegara Indonesia, Siti Aisyah, dan tertuduh bersama Doan Thi Huong, rakyat Vietnam, sedang ditahan di Malaysia kerana dituduh membunuh Kim Jong Nam dalam satu serangan senjata kimia di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Februari 2017. Tetapi, peguam Siti Aisyah, Gooi Soon Seng, mendakwa bukti terhadap anak guamnya itu adalah tidak kukuh.
"Saya sangat yakin bahawa Siti Aisyah akan didapati tidak bersalah. Saya pasti amat kecewa jika hakim memutuskan sebaliknya," kata Gooi kepada wartawan di Jakarta.
Gooi berkata, terdapat kelemahan dalam usaha pendakwa raya untuk mengaitkan Siti Aisyah dengan pembunuhan itu.
Menurut peguam bela itu, seorang jururawat yang merawat Kim di klinik lapangan terbang tersebut berkata, lelaki itu memberitahu kakitangan klinik tersebut bahawa dia telah diserang oleh seorang wanita, yang berbeza dengan kenyataan yang dibuat oleh pengawal keselamatan di terminal yang menyatakan bahawa dua wanita terlibat.
Selain itu, tiada kesan VX, agen saraf yang diklasifikasikan sebagai senjata kimia yang diharamkan di peringkat antarabangsa, ditemui pada kuku Aisyah.
Tiada motif yang dibangkitkan bagi pembunuhan tersebut, kata peguam Malaysia itu.
"Bagaimanakah Siti Aisyah boleh disabitkan manakala empat suspek lagi masih bebas dan tidak didakwa," katanya yang merujuk kepada empat lelaki Korea Utara, yang menurut pihak berkuasa Malaysia dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu dan melarikan diri dari negara berkenaan dalam masa beberapa jam selepas serangan itu.
Pendakwa raya berkata Siti Aisyah dan Doan, yang berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan itu, tahu bahawa mereka mengendalikan VX semasa menyerang Kim Jong Nam di terminal perlepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dan melumurkan bahan itu pada wajahnya.
Kedua-dua wanita itu mengaku tidak bersalah dan menegaskan bahawa mereka telah ditipu oleh lelaki berkenaan untuk mempercayai bahawa mereka dibayar bagi melakukan aksi gurauan video.
Siti Aisyah, seorang penduduk Jakarta yang berusia 20-an tahun, merupakan ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki. Ibu bapanya berasal dari wilayah Jawa Barat yang terletak berdekatan.
Menurut polis Malaysia, Siti Aisyah dan Doan tiba di Malaysia beberapa hari sebelum Kim dibunuh tetapi kedua-duanya pernah bekerja di negara itu. Siti Aisyah bekerja di sebuah spa tempatan.
Penghujahan pendakwa raya bagi kes itu berakhir pada 28 Jun dan mahkamah dijadual membuat keputusan pada 16 Ogos.
"Sekiranya mahkamah memutuskan adanya kes prima facie, mereka akan meneruskan pembelaan. Jika tidak, Siti Aisyah mesti dibebaskan," kata Lalu Muhammad Iqbal, pengarah perlindungan rakyat di Kementerian Luar Negeri Indonesia.
Lalu berkata, beliau menjangkakan kes itu akan dilanjutkan sehingga tahun depan jika mahkamah memutuskan bahawa pembelaan mesti diteruskan.
Sementara itu, Savitri Wisnuwardhani, penyelaras nasional bagi Rangkaian Pekerja Migran Indonesia, menganggap Siti Aisyah sebagai mangsa.
"Kebanyakan orang, termasuk Siti Aisyah, tidak dapat membezakan VX dengan minyak untuk bayi," katanya.
"Kerajaan mestilah mendapatkan kebenarannya."