Mahathir Tidak Tahu Rundingan Bebaskan Siti Aisyah

Staf BeritaBenar
2019.03.12
Kuala Lumpur, Malaysia
190312-MY-ID-siti-620.jpg Presiden Indonesia Joko Widodo (tengah) mengiringi Siti Aisyah (bertudung hitam) dan keluarganya selepas sesi pertemuan di Istana Presiden di Jakarta, 12 Mac, 2019.
[AFP]

Sehari selepas seorang daripada dua wanita yang dibicarakan di Malaysia atas pertuduhan membunuh abang tiri pemimpin diktator Korea Utara dibebaskan oleh mahkamah negara itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Selasa berkata beliau tidak mengetahui mengenai sebarang rundingan dengan Indonesia yang membawa kepada pembebasan rakyatnya.

Keputusan untuk membebaskan rakyat Indonesia, Siti Aisyah, dilakukan "mengikut undang-undang," kata pemimpin baru Malaysia itu.

Sementara itu di Indonesia, Presiden Joko "Jokowi" Widodo menerima kunjungan Siti Aisyah bersama-sama ibu dan bapanya di Istana Presiden di Jakarta, dan memuji usaha diplomatik dalam memastikan pembebasan wanita tersebut.

Pada Selasa juga, Menteri Luar Negeri Vietnam meminta Malaysia membebaskan rakyatnya, Doan Thi Huong, seorang lagi tertuduh yang sedang dibicarakan bagi kes pembunuhan Kim Jong Nam di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur pada Feb 2017.

Sementara itu, bapa Doan berkata beliau berusaha meminta kerajaan Vietnam supaya menggesa pembebasan anak perempuannya itu.

Ditanya pada Selasa sama ada terdapatnya rundingan dengan Indonesia sehingga membantu pembebasan Siti Aisyah, Mahathir memberitahu pemberita: "Saya tidak mempunyai maklumat sedemikian."

"Saya tidak tahu butirannya. ... Tetapi dari apa yang saya faham, pihak pendakwaan boleh menarik balik pertuduhan," kata Perdana Menteri sambil memberitahu "ada proses dalam undang-undang yang boleh menarik balik pertuduhan dan itulah yang dilakukan."

Pada Isnin, semasa Doan mula membela diri dalam perbicaraan itu yang telah ditangguhkan beberapa bulan, pihak pendakwaan mengumumkan keputusan untuk tidak meneruskan kes terhadap Siti Aisyah, yang kemudiannya meninggalkan kamar mahkamah dan pulang ke Jakarta.

Siti Aisyah dan Doan dituduh menggunakan agen saraf bertoksik VX untuk membunuh Kim Jong Nam, yang merupakan abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un, ketika mangsa mendaftar masuk untuk menaiki penerbangan AirAsia ke Macau di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb 2017.

Dalam sepucuk surat yang ditunjukkan kepada pemberita pada Isnin, Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas telah memaklumkan seorang pegawai kanan Indonesia mengenai pembebasan dan pelepasan Siti Aisyah dengan berkata keputusan beliau dalam perkara itu dibuat "dengan mengambil kira hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara."

Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur menyifatkan pembebasan Siti Aisyah sebagai kemuncak usaha diplomatik yang diterajui Presiden Joko Widodo, yang berhasrat memenangi penggal kedua jawatan itu dalam pilihan raya yang dijadualkan pada 17 April ini.

Semasa mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana membebaskan Siti Aisyah, Duta Besar Indonesia ke Kuala Lumpur, Rusdi Kirana, memberitahu pemberita bahawa Presiden Jokowi telah bercakap dengan Mahathir mengenai usaha membebaskan wanita itu daripada tahanan Malaysia semasa pertemuan kedua-dua pemimpin negara tersebut di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat tahun lepas.

Selain itu, Menteri Kehakiman Indonesia Yasonna Laoly, yang menyambut kepulangan Siti Aisyah di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di Jakarta pada Isnin, turut memaklumkan mengenai usaha bagi pembebasan wanita itu.

"Atas perintah Presiden, ketua polis negara, peguam negara dan pegawai-pegawai lain telah bekerjasama dalam mencari kaedah untuk membebaskannya serta berkomunikasi dengan baik dengan kepimpinan bekas perdana menteri Najib Razak serta kerajaan Perdana Menteri Mahathir Mohamad," katanya.

Pada Selasa, Jokowi bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Siti Aisyah dan keluarganya.

"Beginilah caranya kerajaan memberi perhatian kepada rakyatnya, dan semalam kerajaan yang diwakili oleh Menteri Luar Negeri secara rasminya telah menyerahkan Siti Aisyah kembali kepada keluarganya. Saya mengalu-alukannya, dan mengucapkan tahniah kerana selamat kembali kepada keluarganya," kata Presiden itu.

 

Usaha membebaskan Doan

Di Vietnam, Doan Van Thanh berkata beliau berharap Hanoi akan menggesa Kuala Lumpur supaya membebaskan anak perempuannya.

"Pada masa ini, saya mengharapkan Huong dibebaskan dan pulang ke rumah, tetapi saya tidak tahu apa yang Malaysia akan lakukan," katanya kepada Radio Free Asia (RFA), sebuah entiti BeritaBenar.

"Saya mengharapkan kerajaan Vietnam dapat membantu untuk membuktikan Huong tidak bersalah dan dibebaskan."

Sementara itu, seorang pegawai kerajaan negara itu mengumumkan bahawa beliau telah berhubung dengan rakan sejawatannya dalam usaha untuk membebaskan Doan.

Menteri Luar Negeri Vietnam Pham Binh Minh berkata beliau telah bercakap dengan Menteri Luar Negeri Malaysia, Saifuddin Abdullah.

Doan dijadualkan dihadapkan semula ke mahkamah pada Khamis.

Azmi Ariffin, Hakim di Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan untuk melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah daripada pertuduhan itu, yang bermakna wanita itu boleh didakwa semula jika terdapat bukti baharu dalam kes itu, berkata beliau “keberatan” untuk membenarkan petisyen bagi pihak Doan.

Hakim itu berkata perbicaraan akan disambung semula pada 10 pagi Khamis, jika Pejabat Peguam Negara menolak permohonan pasukan peguambela Doan yang mahu Peguam Negara mengkaji semula kes itu bagi membolehkan pertuduhan terhadap Doan ditarik balik atas alasan yang sama seperti Siti Aishah


Radzi Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.