Malaysia Tumpas Sindiket Pasport Palsu, Tangkap Dua Lelaki Bangladesh
2019.09.13
Kuala Lumpur, Malaysia

Jabatan Imigresen Malaysia [JIM] berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan pasport antarabangsa Bangladesh dan menahan dua lelaki termasuk ‘mastermind’ yang dipercayai aktif di sekitar Kuala Lumpur, sejak dua tahun lalu, demikian kata Ketua Pengarahnya pada Jumaat.
Khairul Dzaimee Daud berkata, ‘mastermind’ yang dikenali dengan panggilan ‘Mama Bangla’, berusia 25 tahun, ditahan di Jalan Munshi, selepas jabatan itu menangkap seorang lelaki Bangladesh, berumur 39 di Brickfields pada Khamis.
“Seramai 15 pegawai Imigresen dari Bahagian Risikan, Operasi Khas dan Analisa Putrjaya, telah menyerbu tiga lokasi sekitar Kuala Lumpur, dalam usaha menumpaskan sindiket pemalsuan pasport dan pas kerja warga asing pada Khamis, 12 September, 2019,” kata Ketua Pengarah JIM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.
Tambah beliau, “Dalam serbuan pertama seorang lelaki Bangladesh berusia 39 tahun telah ditahan di Brickfields dengan pemeriksaan yang dijalankan keatasnya menjumpai satu sampul surat yang berisi empat pasport Bangladesh, enam keping pelekat PL(KS)(Pas Lawatan Kerja Sementara) dan enam keping i-Kad dan kesemua dokumen tersebut dipercayai palsu."
Beliau berkata, hasil siasatan mendedahkan dalang sebenar yang mengetuai sindiket tersebut adalah lelaki Bangladesh yang dikenali sebagai ‘Mama Bangla’.
“Sebelum menahan ‘Mama Bangla’, pihak berkuasa terlebih dahulu perlu "memancing" lelaki tersebut untuk keluar dan mengadakan pertemuan di Jalan Mushi, dan dalam pertemuan yang diadakan, lelaki berkenaan telah ditahan untuk disoal siasat.
“Pegawai Imigresen juga menemui 2 pasport Bangladesh daripada Mama Bangla yang kemudiannya membawa anggota Imigresen ke sebuah kondominium di Jalan Putramas. Sejumlah 17 pasport warganegara Bangladesh, 6 keping pelekat Pas Lawatan (Kerja Sementara) yang kesemuanya palsu di temui dilokasi ketiga itu,” kata Khairul Dzaimee.
Beliau berkata, turut dijumpai di kondominium itu ialah peralatan untuk membuat dokumen palsu tersebut seperti Komputer, mesin pencetak, alat pengimbas dan sebagainya.
Menurut Ketua Pengarah JIM itu lagi, Mama Bangla dipercayai mengenakan bayaran sebanyak RM 200 (AS$47.95) bagi setiap satu pasport palsu, RM200 untuk sekeping pelekat PL(KS) palsu dan RM 50 (AS$11.99) untuk i-Kad dan Kad CIDB palsu.
Katanya, suspek pertama yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport bukan miliknya, dan dibawah seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan dokumen yang dipalsukan.
Lelaki berusia 39 tahun itu juga didakwa dibawah Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama kerana bersubahat.
"Subjek kedua ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan kesalahan di bawah Seksyen 55D kerana memalsukan dokumen. Kedua-dua subjek ditahan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut," kata Khairul Dzaimee.
Bagi Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi Seksyen 55D denda tidak kurang daripada RM30,000 dan penjara tidak kurang 5 tahun tetapi tidak melebihi 10 tahun dan juga sebat tidak lebih 6 sebatan.
Tangkapan warga Bangladesh di dalam sindiket pemalsuan pasport bukanlah fenomena baru.
Pada bulan Ogos, JIM menahan seorang lelaki warga Bangladesh dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Nagasari, Kuala Lumpur.
Khairul Dzaimee berkata, dalam serbuan itu sebanyak 99 passport pelbagai negara iaitu 90 pasport Bangladesh, lapan pasport Indonesia dan satu pasport India dipercayai palsu berjaya dirampas.
“Modus operandi sindiket ini hanya menyasarkan kepada warganegara Bangladesh, Indonesia dan India. Kita juga percaya sindiket ini mahir meminda biodata di muka hadapan pasport,” katanya seperti yang dilapor akhbar tempatan Berita Harian.
Pada Julai, agensi berita nasional Malaysia, Bernama melaporkan bahawa JIM menahan dua lelaki dan tiga wanita warga Vietnam yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket pemalsuan cop dalam serbuan di kondominium di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
JIM menemui lapan cop keselamatan Imigresen yang dipalsukan iaitu cop keluar dan cop masuk selain, satu unit komputer riba dan 61 pasport milik warganegara Vietnam.
Khairul Dzaimee berkata kira-kira 9,000 pendatang tanpa izin ditahan di 14 depot tahanan Imigresen di seluruh negara.