Enam Negara ASEAN Mulakan Usaha Perkongsian Perisikan

Anton Muhajir
2018.01.25
Nusa Dua, Indonesia.
180125-ID-MY-region-intel-620.jpg Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu mengetuk gong yang sekaligus menandakan pelancaran “Our Eyes Initiative”, dengan wakil dari negara anggota memerhatikannya di Nusa Dua, Indonesia, 25 Jan, 2018.
[Ihsan Kementerian Pertahanan Indonesia]

Enam negara Asia Tenggara pada Khamis memulakan inisiatif perkongsian maklumat dan perisikan yang bertujuan membantu mereka bertindak balas dengan cepat dan tepat semasa berlakunya ancaman keselamatan rentas sempadan.

Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu dan pegawai-pegawai pertahanan kanan dari Brunei, Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina hadir untuk melancarkan "Our Eyes Initiative" [Inisiatif Mata Kita] selepas sehari berbincang mengenai butiran operasi.

"Ketika rantau ASEAN menghadapi ancaman yang nyata, pelancaran Inisiatif Mata Kita diharapkan dapat memberi dorongan yang tepat kepada kepimpinan pertahanan dalam memerangi keganasan dan radikalisme di rantau ini," kata Ryamizard.

Ryamizard menambah, kerjasama antara enam negara akhirnya dapat diperluaskan ke kawasan keselamatan lain juga termasuk negara anggota ASEAN yang lain.

Dengan bertukar-tukar maklumat, anggota negara ASEAN yang mengambil bahagian akan lebih cepat dan tepat bertindak dalam menangani ancaman pengganas, katanya.

"Memandangkan setiap negara mempunyai cara yang berbeza untuk menangani ancaman, sinergi dan koordinasi diperlukan untuk mendapatkan maklumat strategik," katanya.

‘Pentingnya’

Indonesia pertama kali mencadangkan "mini-Interpol" pada Oktober lepas semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Filipina, tidak lama selepas negara itu mengalahkan militan yang berkaitan dengan Negara Islam yang menawan bandar Marawi di selatan Filipina. Pejuang yang melarikan diri dapat berlindung di negara lain, Ryamizard memberi amaran pada masa itu.

Rakyat Malaysia dan Indonesia adalah antara pejuang asing yang terbunuh di Marawi, tetapi yang lain diketahui telah melarikan diri dari pertempuran selama lima bulan itu.

Penduduk di rantau itu juga perlu berwaspada terhadap pejuang asing yang pulang dari Syria dan Iraq dan mereka merupakan pengganas Negara Islam yang disebut (IS) telah dikalahkan di sana.

Konsep untuk “Our Eye”[Mata Kita] berasal daripada perjanjian perkongsian risikan  "Five Eyes" [Lima Mata] di kalangan negara seperti Australia, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat [AS].

John Blaxland, penganalisa risikan dari Australian National Unviersity, berkata negara-negara ASEAN mempunyai "tahap ketidakpercayaan yang tinggi" dalam kerjasama perisikan dan menggelar inisiatif pelbagai hala "pembangunan yang ketara."

"ASEAN telah lama berusaha untuk mencari kerjasama yang lebih mendalam dari segi keselamatan,"agensi berita Reuters memetiknya sebagai berkata.

Amerika Syarikat juga telah bersetuju untuk menyediakan "alat yang canggih" untuk menyokong usaha itu, kata Ryamizard awal minggu ini setelah bertemu dengan Setiausaha Pertahanan AS Jim Mattis di Jakarta.

Pendekatan Holistik

Timbalan Menteri Pertahanan Mohammad Johari Baharum menyambut baik usaha baru itu.

"Pelbagai ancaman dan cabaran keselamatan yang kita hadapi  - bersifat kompleks dan melibatkan rentas sempadan - memerlukan kita untuk merumuskan perspektif baru yang sesuai dan boleh dilaksanakan di rantau kita," katanya dalam ucapan yang disampaikan pada pelancaran itu.

"Kita harus memulakan pendekatan holistik antara kerajaan dengan menggunakan berbagai cara untuk menghapus ancaman Daesh dan pelbagai bentuk keganasan di rantau kita," katanya, menggunakan nama alternatif untuk IS.

Beliau berkata Malaysia, Indonesia dan Filipina telah melancarkan rondaan tiga hala melibatkan maritim dan udara pada 2017 dalam usaha untuk menamatkan pelanunan, penculikan maritim dan aktiviti haram lain di Laut Sulu, yang terletak di antara ketiga-tiga negara tersebut.

Pada awal bulan ini, angkatan tentera Filipina dan Indonesia bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam memantau pergerakan merentas sempadan negara masing-masing, seperti mewujudkan "hotline" untuk memberi amaran tentang ancaman keselamatan dan keganasan di sepanjang sempadan bersama.

 

Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.