Indonesia setuju ketepi larangan sementara libatkan pekerjanya di Malaysia
2022.07.28
Kuala Lumpur & Jakarta

Indonesia telah bersetuju untuk mengetepikan larangan sementara yang dikenakan terhadap warganya yang mahu bekerja di Malaysia bermula 1 Ogos depan, demikian menurut menteri dari kedua-dua negara pada Khamis, selepas Kuala Lumpur bersetuju untuk melaksanakan tindakan bagi melindungi hak buruh asing.
Kemasukan pekerja dari Indonesia itu dijangka bakal memberikan lonjakan ekonomi kepada Malaysia, dengan Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata ia akan membantu mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja yang dianggarkan sebanyak 1.2 juta dalam sektor pembuatan, perladangan dan pembinaan.
"Kedua-dua menteri memberikan persetujuan untuk penyambungan semula pengambilan dan penempatan tenaga kerja Indonesia di Malaysia bermula 1 Ogos 2022, tertakluk kepada pelaksanaan semua komitmen di dalam Perjanjian Persefahaman Mengenai Pekerjaan dan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia di Malaysia secara efektif," kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri Malaysia Saravanan dengan Menteri Ketenagakerja Indonesia, Ida Fauziyah pada Khamis.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan di Jakarta itu hadir selepas selesai mesyuarat pertama Kumpulan Kerja Bersama antara kedua-dua negara sehari sebelum itu.
Malaysia dan Indonesia juga mengesahkan bahawa Sistem Satu Saluran (OCS) adalah mekanisme tunggal yang akan digunakan dalam mengambil dan menempatkan tenaga kerja Indonesia di Malaysia dengan perlaksanaannya akan dibuat melalui integrasi sistem atas talian yang diuruskan Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia di mana Jabatan Imigresen Malaysia turut akan menggunakannya.
"Kedua-dua menteri bersetuju untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan prosedur serta norma yang telah dipersetujui di dalam MOU dipatuhi sepenuhnya dengan melibatkan jabatan yang relevan di dalam kerajaan masing-masing," kata Saravanan dan Fauziyah.
Di dalam kenyataan berasingan, Saravanan berkata beliau percaya persetujuan yang berjaya dicapai antara Malaysia dan Indonesia itu akan melancarkan kemasukan pekerja ke negaranya, dan mengingatkan semua majikan yang ingin mengambil pekerja Indonesia bahawa mereka boleh mula membuat urusan pengambilan bermula minggu depan.
"Saya percaya penyelesaian isu-isu dalam MOU PDI ini akan mendorong kepada kelancaran kemasukan pekerja warga Indonesia ke Malaysia dalam sektor pekhidmat domestik mahupun sektor lain yang dibenar untuk penggajian pekerja warga asing," kata menteri Malaysia itu.
Sistem satu saluran
Fauziyah pula dalam satu sidang media di Jakarta berkata mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama mengakui bahawa terdapat masalah sebelum ini dalam pelaksanaan polisi dan perkara teknikal yang boleh memberikan kesan kepada pelaksanaan MOU untuk melindungi tenaga kerja Indonesia.
"Oleh itu, dalam mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama ini kita bersetuju mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan pelaksanaan keseluruhan implementasi MOU, terutama membabitkan Sistem Satu Saluran."
Kira-kira dua minggu lepas, Indonesia telah mengambil tindakan menghentikan buat sementara penghantaran pekerja ke Malaysia dan menyelar Kuala Lumpur kerana didakwa melanggar MOU berkaitan pengambilan pekerja Indonesia serta meletakkan mereka dalam keadaan berisiko digunakan sebagai buruh paksa.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono dilaporkan berkata bahawa Kuala Lumpur masih menggunakan sistem pengambilan secara dalam talian yang tidak sah untuk menggaji pembantu rumah dari Indonesia, yang bercanggah dengan perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua negara pada April lepas.
Menurut beliau lagi, Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) yang digunakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia boleh meletakkan pekerja Indonesia dalam keadaan berisiko kerana ia membenarkan mereka memasuki negara itu menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja.
Amalan buruk
Sementara itu, Alex Ong, seorang aktivis buruh dengan Migrant Care Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), menyatakan bahawa tindakan diambil Indonesia sebelum ini adalah satu bentuk protes terhadap "amalan buruk" di mana pengambilan pembantu rumah dilakukan secara atas talian.
"Indonesia terus memantau dan menilai amalan buruk pengambilan pembantu domestik secara atas talian. Duta Besar Indonesia sebelum ini menggunakan perkataan "tabiat buruk", menunjukkan ketegasan Indonesia dalam menentang amalan tersebut. Kementerian Sumber Manusia perlu menyelesaikan masalah ini dengan Kementerian Dalam Negeri," kata Ong kepada BenarNews.
Aktivis itu juga menggesa supaya kerajaan melakukan rombakan kepada kepimpinan "birokrat" di kementerian yang berkenaan, dan mendakwa bahawa mereka sebenarnya adalah punca yang menyebabkan negara berada dalam masalah.
Malaysia menghadapi kekurangan kira-kira 1.2 juta pekerja di seluruh sektor seperti pembuatan, perladangan dan pembinaan, lapor Reuters baru-baru ini memetik data industri serta kerajaan.
Pada 2021, Jabatan Negara AS telah meletakkan Malaysia di kedudukan terakhir Tier 3 dalam laporan tahunannya, yang menilai usaha negara di seluruh dunia dalam memerangi pemerdagangan manusia, kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk memenjarakan pegawai kerajaan yang terlibat.
Bagi memerangi isu seperti pemerdagangan manusia dan buruh paksa, peruntukan perjanjian yang dipersetujui antara Malaysia dan Indonesia termasuk memperkenal Sistem Satu Saluran untuk pengambilan, pemantauan dan penghantaran pulang pekerja asing.
Menurut Kedutaan Indonesia, kira-kira 352,000 pekerja Indonesia telah didaftarkan di Malaysia dengan kebanyakan mereka bekerja di sektor perladangan.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.