Susulan laporan penderaan, Indonesia minta segerakan penghantaran pulang pekerjanya dari Malaysia

Dandy Koswaraputra & Alvin Prasetyo
2022.06.30
Jakarta
Susulan laporan penderaan, Indonesia minta segerakan penghantaran pulang pekerjanya dari Malaysia Anggota penguat kuasa Imigresen menahan suspek pekerja asing tanpa izin (dua dari kiri, dua dari kanan) dari Indonesia semasa melakukan operasi membanteras pekerja asing tanpa izin di Nilai, di luar Kuala Lumpur, 1 September 2013.
[Bazuki Muhammad/Reuters]

Jakarta menggesa Kuala Lumpur supaya segera menghantar pulang pendatang tanpa izin Indonesia daripada terus menahan mereka, susulan dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa keadaan buruk semasa dalam tahanan menyebabkan 25 kematian di negeri Sabah dalam tempoh 18 bulan lalu.

Laporan NGO itu, yang berdasarkan temu bual dengan rakyat Indonesia yang telah dihantar pulang, memberi sedikit pendedahan mengenai rahsia depot Imigresen Malaysia yang menempatkan sejumlah tahanan di negara itu, yang ekonominya menjadi tarikan selain kebergantungannya kepada tenaga kerja asing.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah, memberitahu BenarNews bahawa seramai 18 pekerja asing telah meninggal dunia pada tahun lalu manakala tujuh lagi pada tahun ini di depot Imigresen di Sabah.

“Punca utama bagi jumlah kematian yang tinggi itu adalah kelewatan penghantaran pulang tahanan berikutan sekatan perjalanan semasa pandemik (COVID-19),” menurut kementerian itu dalam kenyataan.

Pada pertemuan dengan pihak berkuasa Malaysia minggu ini, kerajaan Indonesia "meminta disegerakan penghantaran pulang" tahanan sementara risiko COVID-19 masih rendah pada masa ini, menurut kenyataan itu. Pegawai Indonesia juga menggesa pihak berkuasa Malaysia supaya meningkatkan penjagaan kesihatan dan sanitasi di pusat-pusat tahanan itu.

Temu bual dengan pekerja-pekerja Indonesia yang dihantar pulang pada minggu lalu, yang laporannya dikeluarkan oleh Gabungan Pekerja Migran Berdaulat (KBMB) yang berpejabat di Makassar, mendapati adanya corak penganiayaan, pengabaian dan keganasan di pusat-pusat tahanan, kata ketua gabungan itu Abu Mufakir.

Mereka yang ditahan “dilayan dengan sangat buruk di sana – makanannya teruk, kualiti tidur juga teruk. Jika mereka sakit, mereka tidak dirawat,” dakwanya.

Seorang wanita yang ditahan selama 14 bulan di pusat tahanan di Tawau, Sabah dipetik sebagai berkata dalam laporan KBMB: “Apa yang tidak pernah saya alami di luar, saya terpaksa tabah menghadapi semuanya semasa dalam tahanan. Mungkin itulah yang kami sebut sebagai neraka dunia.”

Dia memberitahu: "Semua jenis kesengsaraan ada di sana. Kadang-kadang tidak ada air selama beberapa hari. Kami mengalami kesukaran untuk mandi, minum dan tidur. Apabila kami mengadu sakit, ada masanya kami dimarahi.”

KBMB berkata dalam laporannya bahawa Malaysia telah menghantar pulang hampir 2,200 pekerja Indonesia tanpa izin antara Mac 2021 dan Jun tahun ini.

Sebahagian daripada mereka yang ditahan itu telah ditangkap di sempadan negara oleh pihak berkuasa Malaysia ketika cuba pulang ke Indonesia.

Menteri Dalam Negeri Malaysia Hamzah Zainuddin berkata pihak berkuasa akan menjalankan operasi besar-besaran untuk memastikan hanya pekerja asing berdaftar dan mempunyai dokumen perjalanan sah dari negara mereka dibenarkan bekerja.

“Kita boleh tangkap sesiapa yang melanggar Akta Imigresen dan apabila kita tangkap, mereka akan dimasukkan ke pusat tahanan…jangan salahkan pihak Imigresen atau KDN jika apa-apa berlaku kepada mereka,” katanya pada Khamis.

"Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan dan itulah sebab mengapa mereka dimasukkan ke pusat tahanan."

Penyeksaan

Sementara itu di Jakarta, Anis Hidayah, pengasas kumpulan advokasi buruh, Migrant Care, berkata laporan penderaan terhadap tahanan perlu dipandang serius oleh kerajaan Indonesia.

“Kerana apa yang saya tahu daripada kajian Migrant Care dan orang yang dihantar pulang dari Malaysia, adanya kes penyeksaan di depot Imigresen,” kata Anis kepada BenarNews.

Timbalan pengarah Asia Human Rights Watch Phil Robertson mendakwa "pendatang dilayan sama seperti haiwan" di Malaysia dengan makanan yang tidak berkualiti, kekurangan air minuman serta sanitasi buruk.

"Jadi, tidak hairanlah berpuluh-puluh tahanan sakit teruk dan meninggal dunia dalam keadaan penahanan yang buruk," katanya.

Beliau menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah berhubung serbuan-serbuan yang menyasarkan pekerja asing tanpa izin dan menyifatkannya sebagai "keterlaluan dan tidak boleh diterima".

“Kegagalan Hamzah untuk melayan orang dengan adab dan hormat menjadi noda hitam terhadap reputasi antarabangsa kerajaan PM [Malaysia] [Ismail] Sabri [Yaakob], dan harus dibangkitkan secara berterusan oleh masyarakat antarabangsa sehingga dilakukan penambahbaikan di pusat-pusat tahanan,” katanya.

Laporan KBMB dibuat dua bulan selepas enam pelarian Rohingya terbunuh, dua daripadanya kanak-kanak, ketika ratusan minoriti Myanmar tanpa kerakyatan bertindak melarikan diri dari pusat tahanan yang sempit di negeri utara Malaysia apabila berlakunya rusuhan. Mereka maut dilanggar kenderaan ketika cuba menyeberangi laluan lebuh raya dalam keadaan gelap.

Pada masa itu, Amnesty International Malaysia menuntut kerajaan menyiasat penuh dan telus kejadian itu "termasuk keadaan terdesak" di dalam pusat tahanan Imigresen Bakap yang membawa kepada cubaan tahanan melarikan diri.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) harus menyiasat berapa banyak pusat tahanan Imigresen sementara yang wujud di seluruh negara, kata pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia, Katrina Jorene Maliamauv, dalam satu kenyataan.

"Keadaan di pusat tahanan Imigresen haruslah didokumenkan, memandangkan berlakunya kejadian pelanggaran hak asasi manusia di depot Imigresen di Malaysia pada masa lalu," katanya. Beliau menyifatkan penahanan tanpa tempoh sebagai "boleh menyebabkan trauma."

Aktivis dan pegawai tenaga kerja Indonesia juga mengkritik sebagai tidak adil keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia pada bulan ini untuk melepaskan dan membebaskan seorang suri rumah yang dituduh membunuh pembantu rumah warga Indonesia pada empat tahun lalu.

Pada April lalu, Indonesia dan Malaysia menandatangani perjanjian untuk memberikan perlindungan lebih meluas kepada pekerja asing di Malaysia, di mana kira-kira 3.1 juta rakyat Indonesia bekerja terutamanya sebagai buruh.

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.