Tiga Nelayan Indonesia Dipercayai Diculik di Perairan Sabah, kata ESSCOM

Noah Lee
2019.09.23
Kuala Lumpur, Malaysia
190923-MY-ID-Sabah1000.jpg Nelayan-nelayan dari etnik Bajau Laut, di Sabah berjalan bersama tentera Filipina, selepas dibebaskan oleh kumpulan Abu Sayyaf yang dipercayai menculik mereka, di kem tentera di Jolo, Wilayah Sulu di selatan Pulau Mindanao, 22 Jun, 2019.
[AFP]

Tiga nelayan Indonesia dipercayai diculik oleh sekumpulan individu yang tidak dikenali dalam satu kejadian pada tengahari Isnin, selepas didapati hilang di perairan Sabah berdekatan dengan sempadan Malaysia-Filipina, demikian kata pihak berkuasa Malaysia.

Kehilangan ketiga-tiga nelayan itu disahkan oleh Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Hazani Ghazali kepada BeritaBenar lewat Isnin.

“Ya, mereka dipercayai hilang berdekatan dengan sempadan Malaysia – Filipina. Lebih kurang 3.5 batu nautika, berhampiran Pulau Tambisan,” kata Hazani semasa diminta mengulas mengenai kehilangan ketiga-tiga lelaki itu yang berkemungkinan telah diculik.

Menurut Komander ESSCOM itu lagi, setakat ini pihak berkuasa masih belum mengetahui siapa yang bertanggungjawab keatas kes kehilangan ketiga-tiga nelayan itu, sama ada mereka diculik atau melibatkan Kumpulan Abu Sayyaf yang dikenali sebagai kumpulan yang aktif melakukan penculikan untuk mendapatkan tebusan di perairan Sabah.

“Masih terlalu awal untuk kita rumusan dan juga tidak tahu ke mana mereka telah dibawa,” tambah beliau.

Hazani juga memaklumkan yang pasukan polis marin menerima maklumat pada sekitar jam 3 petang dari penduduk di kawasan tersebut yang mengatakan ada dua bot laju sedang menunda satu bot nelayan.

“Tetapi apabila polis marin tiba, bot laju itu sudah tidak kelihatan manakala bot nelayan itu pula kosong. Setakat ini, pemilik bot masih belum membuat laporan polis.

“Siasatan awal mendapati kesemua mangsa dipercayai warga Indonesia, tetapi kami tidak mempunyai butir peribadi mereka. Mereka yang hilang itu, berkerja sebagai nelayan di atas bot milik warga tempatan,” tambah Hazami kepada BeritaBenar lagi.

Bawa ke Tawi-Tawi

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal memberitahu media di Kota Kinabalu bahawa ketiga-tiga nelayan yang hilang itu mungkin sudah dibawa oleh penculik mereka ke Pulau Tawi-tawi di Filipina.

“Kejadian itu berlaku pada jam 11.58 pagi dan saya difahamkan ia melibatkan penculikan nelayan dari Indonesia serta saya juga difahamkan bahawa mereka telah dibawa ke Pulau Tawi-Tawi. Kami kini sedang mendapatkan butiran lanjut mengenai nasib dan kedudukan sebenar mereka,” kata Shafie.

Pulau Tambisan terletak 130 kilometer jauhnya dari Lahad Datu, kawasan yang berlakunya pencerobohan oleh kira-kira 200 pejuang bersenjata dari Sulu, Filipina, pada Feb dan Mac 2013.

Pencerobohan itu merupakan krisis keselamatan paling serius di Malaysia pada zaman ini, dengan menyebabkan seramai 72 orang terbunuh, termasuk 56 lelaki bersenjata pengikut Kesultanan Sulu dan 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia serta enam orang awam.

Pertempuran semasa pencerobohan itu berlaku selama beberapa minggu dan berakhir dengan saki baki anggotanya melarikan diri kembali ke Filipina.

Mohd Shafie juga memaklumkan yang kejadian terbaru itu berlaku di lokasi sama dengan kejadian penculikan yang lepas.

“Ya, lebih kurang sama dengan tempat kejadian sebelum ini. Tempat ini tidak dikawal sepenuhnya. Saya sudahpun mencadangkan satu post formal di situ sebagai penghalang(deterrent). ESSCOM ada mengawal cuma kawasan yang dinyatakan itu tiada dan merupakan kawasan terpencil,” kata Ketua Menteri itu lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci tentang kejadian sebelum ini, Shafie dipercayai merujuk kepada kejadian pada 18 Jun lepas dimana kumpulan individu bersenjata menculik sepuluh nelayan dari etnik Bajau Laut.

Pada kejadian 18 Jun itu, sepuluh mangsa diambil dari dua buah kapal nelayan yang membawa 16 nelayan apabila kedua kapal itu dihampiri sekumpulan mereka yang bersenjata rifel M-16 yang kemudiannya membawa mereka ke Pulau Sitangkai di Selatan Filipina.

Mereka kesemuanya dilepaskan tanpa dicederakan tiga hari kemudian oleh penculik yang bersenjata api dan mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf selepas gagal mendapatkan wang tebusan, demikian menurut polis Filipina.

Kejadian penculikan nelayan di perairan Sabah bukanlah sesuatu yang baru sehingga mendorong Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia untuk mengeluarkan notis perjalanan ke timur Sabah dan mengekalkannya pada Tahap 2.

Menurut Duta AS ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdir tahap itu adalah merupakan tahap kedua terakhir dalam kategori 4 tahap risiko keselamatan.

Menurut notis perjalanan itu Malaysia diletakkan dalam Tahap 1 (ambil langkah berhati-hati) yang dikemaskini pada 9 April tahun ini kecuali timur Sabah yang secara terperinci diletakkan di Tahap 2 yang meminta pengunjung lebih berhati-hati kerana risiko penculikan.

“Tahap 2 hanya untuk kawasan tertentu di Sabah. Ia sama sahaja dengan tahun lepas tetapi kami buang indikator T (terrorism) dan C (Jenayah) kerana ianya salah serta menukarkannya kepada K (Penculikan). Kami mengambil maklum tentang risiko di timur Sabah,” kata Ladhkir kepada pemberita seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan The Star.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.