Malaysia Bakal Terima Ketua Polis Negara Baru

Hadi Azmi
2017.08.23
Kuala Lumpur
170823-my-khalid-620.jpeg Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar semasa persidangan media di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis, 24 Mei 2015.
BeritaBenar

Kerajaan Malaysia dijangka melantik Ketua Polis Negara baru awal bulan depan selepas pegawai tertinggi Polis DiRaja Malaysia [PDRM] pada Rabu mengesahkan hasrat persaraannya dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang sering dikritik oleh kumpulan sivil Malaysia, yang telah mengetuai pasukan polis negara itu sejak empat tahun lalu, akan mula bersara seperti yang ditetapkan pada 5 September depan.

“Tempoh jawatan saya akan tamat apabila umur saya mencecah 60 tahun. Timbalan Ketua Polis Negara akan mengambil alih jawatan itu,” kata Khalid semasa dihubungi tanpa mengulas lanjut.

Noor Rashid Ibrahim yang kini merupakan timbalan kepada Khalid sejak Disember 2014 akan dilantik ke jawatan Ketua Polis Negara berkenaan.  

Menurut laporan Berita Harian, Khalid berkata persaraannya merupakan keputusannya sendiri dan “sudah sampai masanya saya berehat."

Khalid sebelum ini telah mendiamkan diri ketika ditanya media sama ada kontraknya sebagai ketua keselamatan Malaysia akan dilanjutkan.

Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 17 Mei 2013 menggantikan Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.

Sementara itu, laman berita The Malaysian Insight melaporkan selain Noor Rashid yang akan mengambil alih jawatan Khalid, Pengarah Cawangan Khas Mohamad Fuzi Harun juga dikatakan akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Malaysia baru-baru ini menyaksikan pelantikan kontroversi dua hakim tertinggi negara itu, Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif serta Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka selama tiga tahun awal bulan ini.

Khalid, Ketua Polis Malaysia yang ke-10, sering dikritik kerana menggunakan laman sosial Twitter untuk mengumumkan siasatan serta mengarahkan pegawainya melakukan siasatan atau menahan suspek yang membuat catatan berunsur hasutan di media sosial itu.

Beliau yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan telah memulakan kerjayanya sebagai anggota polis pada tahun 1976 dan pernah menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan pada 2005 serta dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, dan seterusnya Ketua Polis Selangor pada Jun 2007.

Khalid kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman pada 2010 sebelum mendapat kepercayaan menerajui pasukan itu sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada April 2011.

Sementara itu, Noor Rashid pula merupakan lulusan fizik dari Universiti Malaya, menyertai pasukan polis pada 1987 sebagai asisten superintenden polis.

Polis Malaysia telah melalui rombakan besar-besaran awal bulan ini apabila sejumlah 74 pegawai ditukar atau dinaikkan pangkat selepas beberapa serbuan yang menyaksikan sejumlah anggota polis ditahan untuk siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.