Malaysia Kenalpasti RM6.9 bilion Lagi Dana 1MDB di Luar Negara
2020.03.17
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia komited mahu mendapatkan kembali dana syarikat negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diselewengkan bernilai RM6.9 bilion (AS$1.58 bilion) di luar negara, dan pada masa yang sama sejumlah RM1.4 bilion(AS$321 juta) daripada pelbagai sumber telah dikembalikan kepada pentadbiran Putrajaya, demikian menurut Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.
Jumlah berbilion ringgit yang berjaya dikembali itu adalah hasil usaha pasukan khas menjejak dana 1MDB di luar negara, kata kenyataan yang dikeluarkan itu, susulan daripada satu taklimat khas oleh pasukan berkenaan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Putrajaya.
“Dalam taklimat itu, Perdana Menteri dimaklumkan bahawa sejumlah RM1.4 bilion dana berjaya dikembalikan hasil usaha pasukan petugas berkenaan, manakala sebanyak RM6.9 bilion lagi sudah dikenal pasti," kata kenyataan rasmi tersebut.
Kenyataan turut memaklumkan yang pasukan petugas itu adalah terdiri daripada wakil di Jabatan Peguam Negara, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Bank Negara dan Kementerian Kewangan.
“Pasukan petuga turut memberi perincian tindak yang telah dilaksanakan membawa pulang dana 1MDB yang disyaki disalahgunakan di 17 buah negara dengan Perdana Menteri mengarahkan agar usaha untuk menjejak dan mengembalikan dana 1MDB daripada pelbagai negara terus dilaksanakan,” kata kenyataan itu.
Fikir sebelum serah kembali wang
Agensi berita antarabangsa Reuters baru-baru ini melaporkan yang Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) telah menangguhkan pemulangan AS$240 juta (RM1 bilion) yang diseleweng daripada dana 1MDB dengan keputusan itu dibuat susulan ketidaktentuan politik berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, pada 24 Februari lalu.
DOJ dilaporkan berkata, lebih AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) diseleweng daripada dana di bawah kawalan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, yang kini dihadapkan ke mahkamah dengan 42 pertuduhan jenayah rasuah berkaitan kerugian yang dialami oleh 1MDB dan entiti kerajaan lain.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dalam wawancara bersama Reuters selepas Perikatan Nasional mengambil alih pucuk pimpinan pentadbiran kerajaan mengesa Amerika Syarikat berfikir dua kali sebelum menyerahkan semula wang yang diperolehi hasil siasatan anti-kleptokrasi ke atas dana 1MDB kepada Malaysia.
Pemimpin veteran berusia 94 tahun itu membuat kenyataan itu selepas parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dituduh mengamalkan rasuah 1MDB kembali berada dalam Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.
Mahathir, meletak jawatan secara tiba-tiba pada bulan lalu sebelum digantikan oleh Muhyiddin, yang menubuhkan gabungan baru bersama bekas parti pemerintah, UMNO yang telah ditolak oleh pengundi pada pilihan raya umum dua tahun lepas kerana dikaitkan dengan pelbagai skandal rasuah, pengubahan wang haram dan menyalahgunaan kuasa.
DOJ, dalam kes anti kleptokrasi terbesar, berjaya mendapatkan semula kira-kira AS$1 bilion(RM4.3 bilion) hasil penyitaan dan penjualan aset yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB itu.
Media tempatan Malaysia, Berita Harian melaporkan yang DOJ telah memulangkan kepada Malaysia hampir AS$200 juta (RM870 juta) pada Mei lalu, tetapi pemindahan kedua yang berjumlah kira-kira AS$240 juta (RM1 bilion) ditangguhkan bulan lepas susulan ketidakpastian berikutan peletakan jawatan Mahathir.
"Apabila kami mengambil alih, DOJ bersedia memulangkannya kerana kami menggulingkan orang yang mencuri duit itu. Sekarang, mereka yang mencuri akan dapat semula wang yang mereka curi itu, saya fikir DOJ perlu berfikir dua kali," kata Mahathir dalam temubual bersama Reuters minggu lepas.
Sekurang-kurangnya enam negara sedang menyiasat dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB, yang ditubuhkan oleh Najib Razak selepas beliau mengambil alih perdana menteri daripada Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2009.
Selepas kemenangan pilihan raya yang tidak dijangka pada 2018, Mahathir membuka semula siasatan ke atas 1MDB dan penglibatan Najib dalam kes berkenaan.
BeritaBenar melaporkan sebelum ini, Najib dibicarakan atas tujuh pertuduhan berkaitan dengan AS$10 juta yang disalahgunakan dari 1MDB dan keputusan perbicaraan itu dijangka dalam beberapa bulan lagi dan kini beliau dalam peringkat pembelaan diri.
Skandal 1MDB ini turut mendapat liputan meluas apabila Najib ditampilkan dalam dua musim siri dokumentari Netflix, Dirty Money yang diarahkan Zach Heinzerling.
Berdasarkan penerangan Netflix untuk episod berkenaan, dokumentari tersebut akan menampilkan sesi temu bual bersama Najib yang memaparkan dengan lebih mendalam bagaimana berbilion dollar diseleweng daripada sebuah dana pelaburan negara Malaysia - 1MDB – yang digunakan untuk memenuhi poket orang ternama termasuk selebriti Hollywood, eksekutif-eksekutif Goldman Sachs, dan anggota tertinggi kerajaan Malaysia.
"Ini termasuk sesi temu bual dengan bekas perdana menteri Najib Razak sendiri," kata Netflix dalam penerangan mengenai dokumentari tersebut.
Dirty Money ialah rancangan berunsur penyiasatan terhadap rasuah dalam kerajaan atau syarikat korporat dengan musim kedua dokumentari itu mula disiarkan pada 11 Mac.
Pihak pendakwaraya menuduh Najib telah mengambil AS$681 juta dari 1MDB dengan wang tersebut digunakan untuk membiayai cara hidup mewah bekas pemimpin itu dan isterinya Rosmah Mansor, yang turut berdepan dengan pertuduhan rasuah.
Bagaimanapun Najib menafikan segala pertuduhan jenayah rasuah itu dan kesnya sedang dibicarakan di sebuah Mahkamah di Kuala Lumpur.