Rasuah: Pegawai Imigresen Bersama Dua Warganegara Asing Didakwa Di Mahkamah
2020.12.11
Kuala Lumpur

Seorang pegawai Imigresen Malaysia bersama dua warga asing masing-masing dari Pakistan dan Bangladesh telah didakwa secara berasingan di Makhamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas kesalahan menerima dan memberi rasuah melibatkan sindiket membantu melepaskan warga asing yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, untuk keluar dari negara itu tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Ketiga-tiga mereka adalah antara 65 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Ops Selat yang dijalankan agensi itu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia yang melibatkan serbuan di Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching November lepas, dengan pendakwaan pada Jumaat adalah yang pertama terhadap mereka yang ditahan semasa operasi tersebut.
Pegawai Imigresen Mohd Al Ridhuan Ahmad Zaini, 35, mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM23,000 daripada seorang wanita bagi melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangasa Kuala Lumpur, selepas semua pertuduhan dibacakan keatasnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.
“Anda, Mohd Al-Ridhuan didakwa menerima wang berjumlah RM23,000 (AS$5,676) daripada Nur Amanina Maulad Adnan melalui akaun Maybank dan CIMB Bank kepada akaun Bank Muamalat milik Syarikat Entiti Maju Enterprise, milik Nur Natasha Andrew iaitu isteri anda di Jalan Tasik Utama 7, Medan Niaga Tasik Damai, di sini, antara 25 Julai dan 11 November 2020.
“Wang itu diterima sebagai upah untuk diri kamu sebagai Pegawai Imigresen (KP19), Jabatan Imigresen Malaysia, untuk membantu melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 [Akta 155] untuk keluar daripada negara Malaysia melalui pintu keluar udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 tanpa diambil tindakan undang-undang.
“Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama,” kata jurubahasa semasa membacakan pertuduhan terhadap pegawai itu di hadapan hakim Rozina pada Jumaat.
Jika didapati bersalah seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan lima kali ganda suapan atau RM10,000 (AS$2,468) atau nilai mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, menawarkan jaminan RM80,000 (AS$19,745) dengan seorang penjamin dan turut minta ditambah syarat tambahan bagi tertuduh.
"Cara tertuduh melakukan kesalahan itu adalah cara seorang pengkhianat kepada negara. Sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihak pendakwaan memohon syarat tambahan antaranya melaporkan diri setiap bulan di Ibu Pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi yang akan terbabit dalam kes ini serta menyerahkan pasport kepada mahkamah," katanya.
Peguambela Mohd Al-Ridhuan, Harcharanjit Singh merayu ikat jamin dikurangkan kepada RM20,000 (AS$4,936) bagi anak guamnya kerana beliau mempunyai tiga anak kecil dan isteri yang turut mempunyai masalah kesihatan.
Hakim Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 (AS$7,404) dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dikemukakan pendakwaan dan menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula kes.
"Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi termasuk isteri tertuduh sehingga kes selesai," kata Hakim itu.
Warga asing didakwa
Di mahkamah yang sama, seorang peniaga kain warga Pakistan, Muhammad Irfan, 34, telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 30 hari dan denda RM10,000 (AS$2,468) selepas mengaku bersalah memberi suapan berjumlah RM12,500 (AS$3,085) kepada seorang pegawai imigresen sebagai upah membantu melepaskan 21 warga asing pulang ke negara asal, bulan lepas.
"Saya memerintahkan Muhammad Irfan menjalani hukuman penjara bermula hari ini (Jumaat) dan menambah hukuman penjara 30 hari lagi jika tertuduh gagal membayar denda," kata Rozina selepas mendengar pengakuan bersalah lelaki Pakistan itu.
Muhammad Irfan didakwa memberi suapan berjumlah RM12,500 (AS$3,085) kepada seorang pegawai imigresen daripada Unit Kawalan Pintu Masuk Udara di Pejabat Imigresen KLIA, Sepang, sebagai upah kepada pegawai tersebut membantu melepaskan kesemua warga asing berkenaan untuk pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan undang-undang bagi kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Muhammad Irfan di dalam sebuah kereta berhadapan restoran di Presint 8, Putrajaya antara 3.25 hingga 3.32 petang, 16 November lepas.
Muhammad Irfan yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan beliau perlu menanggung keluarga serta empat anak selain memaklumkan kepada mahkamah bahawa urusan kelahiran bayinya yang baru lahir dua hari lepas masih belum dibuat.
Mengikut kertas pertuduhan, pada 15 November lepas, Muhammad Irfan telah menghubungi seorang pegawai imigresen yang merupakan ejen penyamar melalui aplikasi WhatsApp dengan memohon bantuannya untuk melepaskan 21 warga asing itu dan melalui aplikasi berkenaan, tertuduh menawarkan sejumlah wang rasuah sebagai upah kepadanya.
Siasatan juga menunjukkan tertuduh telah menjadi ejen warga asing dan menjalankan kegiatan ini sejak Oktober lepas.
Sementara itu, di mahkamah sesyen berasingan, seorang lelaki warga Bangladesh Ahmmed Md Rana, 37, didakwa memberi suapan berjumlah RM8,500 (AS$2,097) kepada pegawai imigresen sama sebagai upah untuknya melepaskan lapan warga Bangladesh pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan undang-undang bagi kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan tarikh sama dengan Muhammad Irfan, antara pukul 6.10 sehingga 6.15 petang, mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 (AS$3,085) mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Azura Alwi berikutan tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Malaysia terhadap beliau.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 (AS$3,085) serta seorang penjamin warganegara Malaysia sementara menunggu pertuduhan dibacakan semula terhadap lelaki itu oleh jurubahasa Bangladesh, Isnin depan.
Ketiga-tiga tertuduh itu antara yang terawal didakwa di mahkamah membabitkan Ops Selat yang mendedahkan isu rasuah di pintu masuk sempadan Malaysia yang melibatkan pegawai gred terendah Imigresen, KP19 bersekongkol dengan sindiket melibatkan warga asing masuk dan keluar ke negara itu secara haram.