Malaysia-Indonesia Sepakat Buka Koridor Perjalanan
2021.11.10
Washington

Pada lawatan sulung sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bertemu dengan Presiden Indonesia di Jakarta, di mana kedua-dua pemimpin bersetuju membuka koridor perjalanan antara Malaysia dan Indonesia kepada mereka yang sudah divaksinasi, selain turut menyatakan kebimbangan terhadap ketidakstabilan di Myanmar yang boleh meningkatkan penghijrahan etnik Rohingya ke pantai di kedua negara.
Semasa sidang media bersama Presiden Joko Widodo (Jokowi) selepas mengadakan kunjugan ramsi di Istana Bogor, Ismail Sabri berkata perlaksanaan koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement atau Vaccinated Travel Lane yang dijangka dilaksanakan pada awal tahun hadapan itu akan mempermudahkan pergerakan semula rakyat selepas pintu sempadan ditutup pasca COVID-19.
“Saya dan bapak Presiden (Jokowi) telah mencapai persetujuan supaya Malaysia dan Indonesia dapat melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement (TCA) atau Vaccinated Travel Lane (VTL).
“Inisiatif koridor perjalanan ini akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara, kemudian boleh ditambah destinasi-destinasi lain yang telah menunjukkan risiko yang rendah. Ia akan memberi keutamaan kepada mereka yang telah divaksinasi penuh, bagi kategori pengembara untuk tujuan rasmi, perniagaan, perubatan dan kemanusiaan,” katanya.
Ismail Sabri yang dalam lawatan rasmi pertama selama tiga hari ke negara jiran sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 pada Ogos lepas memberitahu bahawa koridor perjalanan berkenaan turut akan melibatkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi COVID-19 dan standard keputusan ujian saringan PCR COVID-19.
“Inisiatif ini tentunya akan memudahkan pergerakan semula rakyat kedua-dua negara. Pembukaan semula sempadan secara kaedah yang selamat adalah penting dalam mengimbangi di antara keperluan membuka dan membangunkan semula ekonomi dan menjaga aspek keselamatan dan kawalan kesihatan awam,” tambah beliau.
Jokowi dalam sidang media yang sama turut meminta Ismail Sabri menyelesaikan masalah sekatan pergerakan antara Malaysia dan Indonesia.
“Kita berharap dalam waktu yang sesingkat-singkatnya masalah ini dapat segera diselesaikan,” kata Presiden itu.
Myanmar dan Rohingya
Dalam pada itu mengenai isu Myanmar, Ismail Sabri memberitahu yang beliau dan Presiden Indonesia telah bersependapat bahawa isu berkenaan perlu ditangani dengan baik dengan Malaysia menyokong penuh Konsensus Lima Perkara yang telah dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin ASEAN serta menyeru pelaksanaannya dapat dilakukan dengan segera.
Perdana Menteri itu berkata, Malaysia dan Indonesia juga sepakat berkaitan isu penyertaan Myanmar di mesyuarat-mesyuarat ASEAN buat masa ini.
“Berkaitan isu Rohingya, Malaysia yang secara langsung terkesan kerana terpaksa menerima jumlah pelarian Rohingya yang tinggi, akan terus mendokong usaha-usaha ke arah proses repatriasi warga Rohingya ke tempat asal mereka di Wilayah Rakhine.
“Saya berharap negara-negara terbabit akan dapat membantu Malaysia menyelesaikan masalah pelarian ini,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah berkata kebimbangan Malaysia mengenai situasi di Myanmar mempunyai asas yang kukuh kerana ia kini menempatkan lebih 200,000 pelarian Rohingya.
"Kenapa kami amat bimbang? Kerana apabila tiada keamanan, tidak ada penghantaran pulang (pelarian) dan kami sudah ambil 200,000 orang. Lebih tidak stabil keadaan di Myanmar maka lebih ramai lagi akan datang ke negara kami.
"Walaupun kami bukan negara yang menandatangani UNHCR [Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian] tetapi Malaysia sentiasa menunjukkan simpati dalam cara yang tersendiri dan kami tidak sewenang-wenangnya menghalau orang yang dalam kesusahan," katanya.
Sehingga penghujung tahun lalu, kira-kikra 178,610 pelarian dan pencari suaka telah mendaftar dengan UNHCR di Malaysia, dan kebanyakan mereka berasal dari kawasan yang dilanda konflik di Myanmar atau melarikan diri daripada tindakan penganiayaan di sana, menurut agensi itu.
Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 tetapi, menurut UNHCR, prinsip non-refoulement diamalkan di negara itu sebagai sebahagian daripada undang-undang antarabangsa, yang turut mengikat semua negara di dunia.
Laut China Selatan
Pada sidang media bersama antara dua pemimpin itu, Ismail Sabri berkata Malaysia menyatakan pendirian bahawa Laut China Selatan perlu kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman.
“Malaysia berpegang teguh bahawa kedaulatan dan kepentingan negara menjadi asas utama berhubung pendirian dan tindakan yang akan diambil. Kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan keutuhan wilayah, hak-hak kedaulatan dan kepentingan negara.
“Semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif. Sebarang pertikaian mengenai Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berlandaskan universally recognised principles of international law, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung Undang-Undang Laut 1982,” kata Perdana Menteri itu.
Ismail Sabri juga menambah yang Malaysia terus komited mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan pembatasan sempadan maritim di antara kedua-dua negara serta bersepakat agar usaha dan perbincangan selanjutnya dapat diteruskan.
Sementara itu, Jokowi turut memaklumkan mengenai perbincangan melibatkan pentingnya perlindungan terhadapat rakyat Indonesia yang berada di Malaysia.
“Sebagai negara tetangga dekat dan bangsa serumpun, Indonesia dan Malaysia harus memperkuat kerjasama berdasarkan prinsip yang saling menghormati dan saling menguntungkan.
“Dalam kaitan inilah, memorandum persefahaman (MoU) perlindungan tenaga kerja domestik Indonesia dapat segera diselesaikan.
“Mengenai izin Community Learning Center di Malaysia juga perlu diberikan izinnya sesuai dengan prinsip hak pendidikan bagi semua,” tambah Jokowi.
Ismail Sabri dalam kenyataan balas turut memberi jaminan bahawa Putrajaya akan terus memastikan kebajikan dan perlindungan tenaga kerja Indonesia di Malaysia akan terus dipelihara dan MoU Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia akan dimuktamadkan secepat mungkin.
Menurut pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, lebih 2.7 juta pekerja Indonesia bekerja di Malaysia dengan lebih 700,000 memiliki dokumen yang sah.
Muzliza Mustafa turut menyumbang kepada laporan ini.