Indonesia Sah Penculikan Terbaru Rakyatnya Di Perairan Selatan Filipina

Staf BeritaBenar
2016.06.25
Jakarta
160624-ID-sailor-follow-620 Menteri Luar Retno Marsudi (kiri) bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu mesyuarat di Jakarta untuk membincangkan penculikan terbaru membabitkan anak kapal Indonesia, 24 Jun 2016.
BeritaBenar

Indonesia mengesahkan kejadian penculikan terbaru melibatkan tujuh anak kapalnya oleh kumpulan bersenjata yang dipercayai Abu Sayyaff di perairan berhampiran Tawi-Tawi di selatan Filipina pada Isnin lepas, sambil mengakui kelewatan pentadbiran kerajaan untuk mengumumkan mengenai rentetan penculikan itu.

Para pegawai tertinggi kerajaan negara itu termasuk Menteri Luar, Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Ketua Polis dan agensi perisikan telah mengadakan satu mesyuarat di Jakarta pada Jumaat untuk membincang mengenai krisis terbaru itu.

Bagaimanapun, kerajaan mengakui mereka masih cuba mendapatkan maklumat terkini mengenai penculikan berkenaan sama ada ia melibatkan kumpulan Abu Sayyaf atau kumpulan serpihan.

Tujuh anak kapal dipercayai diculik dari sebuah bot tunda dan sebuah tongkang semasa mereka baru memulakan perjalanan pulang ke Kalimantan selepas menghantar arang batu di Filipina.

Penculikan itu dipercayai dilakukan oleh dua kumpulan bersenjata berbeza, yang turut membebaskan enam daripada 13 anak kapal berkenaan.

Pada Khamis, seorang pegawai kerajaan yang berpengalaman mengendalikan kes penculikan telah mengesahkan kepada akhbar Jakarta Post bahawa tujuh anak kapal  ditawan oleh "rangkaian sama yang merampas kapal tunda Brahma 12 pada Mac." Pegawai itu merujuk kepada penculikan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf terhadap 10 anak kapal Indonesia, yang berjaya dibebaskan pada Mei lepas.

Menurut beberapa laporan media tempatan Indonesia, penculik telah menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta, yang bersamaan dengan AS$4.9 juta atau Rp. 65 bilion tetapi pihak berkuasa belum mengesahkan mengenai tuntutan wang tebusan tersebut.

"Kejadian ketiga ini memang tidak boleh diterima langsung," kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi kepada pemberita selepas beliau menghadiri mesyuarat tergempar berhubung krisis terbaru itu, sambil merujuk kepada tindakan Abu Sayyaf menculik sejumlah 14 warga Indonesia pada Mac dan April.

Beliau berkata, lokasi sebenar ketujuh-tujuh lelaki yang diculik itu belum diketahui, dan kerajaan bertindak mengaktifkan semula Pusat Krisis yang ditubuhkan bagi menyelaras maklum balas berkaitan penculikan terdahulu.

"Pusat Krisis telah ditubuhkan untuk melaksanakan usaha bagi mendapatkan pembebasan tebusan, dan kini ia kembali beroperasi. Kami memperhebatkan komunikasi dengan pihak-pihak di Filipina dan Indonesia bagi mengenal pasti langkah-langkah berikutnya, "kata beliau.

Rondaan bersama

Pada Mei lepas, Menteri Luar dari Malaysia, Indonesia dan Filipina  telah mengadakan pertemuan di Jakarta dan secara bersama bersetuju untuk memperkukuhkan langkah-langkah konkrit terhadap kawalan keselamatan di perairan sempadan Laut China Selatan,

Mesyuarat itu diadakan selepas lahirnya kebimbangan terhadap peningkatan kes penculikan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di perairan Sulu, yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Mesyuarat itu juga bersetuju untuk mewujudkan rangka kerja kawasan rondaan maritim di kawasan yang dikenal pasti sering dicerobohi lanun dan pengganas.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kes penculikan telah berlaku di perairan pantai timur Sabah terutamanya pulau peranginan di kawasan perairan yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia, yang melibatkan rakyat Malaysia, Indonesia dan pelancong luar negara.

Empat rakyat Malaysia telah diculik oleh Abu Sayyaf, kumpulan yang telah berikrar setia kepada kumpulan militan Negara Islam, pada 1 April lepas. Mereka diculik dari kapal tunda ‘Masfive 6’ yang dalam perjalanan pulang ke Sarawak selepas selesai menghantar kayu balak ke Manila.

Lima anak kapal lain yang berada di atas kapal tunda itu yang berdaftar di Malaysia - tiga rakyat Myanmar dan dua dari Indonesia - tidak diculik kumpulan itu.

Penculikan 1 April itu berlaku seminggu selepas kumpulan Abu Sayyaf menculik 10 anak kapal Indonesia di wilayah paling selatan Filipina yang bersempadan dengan negeri Sabah di Malaysia.

Bagaimanapun, kesemua empat anak kapal Malaysia itu telah dibebaskan pada 7 Jun lepas, selepas keluarga mendakwa sejumlah RM12 juta telah diserahkan sebagai pembayaran wang tebusan.

Kumpulan Abu Sayyaf itu juga telah memancung kepala mangsa culik rakyat Kanada, John Ridsdel pada 25 April lepas, dan rakan senegaranya Robert Hall, 50, pada 13 Jun lalu.

Mereka berbuat demikian selepas wang tebusan sebanyak AS$6.2 juta (RM24.8 juta) bagi setiap seorang tebusan itu tidak dibayar.

Maklumat terkini mengenai pengganas di perairan itu ialah bekas anggota Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon atau Abdalah al-Filipina dikatakan telah dilantik sebagai pemimpin Negara Islam bagi Khatibah Nusantara, yang bertanggungjawab kepada rantau Asia Tenggara meliputi Filipina, Malaysia dan Indonesia.

Pengumuman mengenainya telah dibuat dalam satu video yang disiarkan oleh kumpulan berkenaan baru-baru ini.

Isnilon dipercayai berpangkalan di Basilan, sebuah wilayah pulau ang terletak di luar Mindanao. Ssebelum ini, dia merupakan ketua cawangan IS di Filipina, menurut laporan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.